HTM seru umat Islam raih kemuliaan di bulan Ramadhan

altKUALA LUMPUR 21 Ogos 2009 – Sempena Hari Al-Aqsa sedunia, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) Kawasan Kuala Lumpur telah melakukan seruan kepada umat Islam di kawasan perkarangan Masjid Negara. Seruan ini adalah untuk mengingatkan kembali tentang kebiadaban seorang Yahudi (laknatullah), yang telah membakar hangus Masjid Al-Aqsa pada tanggal 21 Ogos 1969, 40 tahun yang lalu. Seruan ini bukanlah setakat untuk memperingati hari tersebut, malah lebih dari itu adalah untuk memberi kesedaran kepada umat Islam, agar segera kembali untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini secara kaffah dengan menegakkan semula institusi Khilafah Islamiyah, selaras dengan banner yang dipaparkan di dalam seruan itu – “Bebaskan Palestin Dengan Khilafah”.
 
Seruan dibacakan oleh Ustaz Isa Abdullah dengan mengungkapkan realiti yang pernah berlaku di masjid Al-Aqsa, bagaimana seorang pelampau Yahudi berketurunan Australia bernama Micheal Denise Rohan telah membakar hangus Masjid Al-Aqsa. Sebahagian besar masjid yang berkah itu mengalami kemusnahan, dan salah satu khazanah umat Islam yang berharga iaitu mimbar Salahuddin Al-Ayyubi juga turut hangus dalam peristiwa itu.
Ustaz Isa Abdullah dengan lantang menyuarakan bahawa seruan pada kali ini ingin mengajak umat Islam berfikir tentang 2 perkara. Pertama, berkenaan persoalan siapakah yang akan membebaskan Al-Aqsa? Adakah kita (umat Islam) masih mengharapkan kepada OIC yang selama ini terbukti gagal untuk membebaskan Al-Aqsa. Untuk itu, umat Islam sebenarnya memerlukan pemimpin seperti Salahuddin Al-Ayyubi, iaitu seorang khalifah yang dibaiat kaum Muslimin untuk menerapkan Islam dan melancarkan jihad. Oleh sebab itu, HTM mengajak umat Islam, khususnya kepada orang-orang yang memegang kekuasaan agar meninggalkan segala bentuk penjajahan pemikiran yang ada seperti Demokrasi, Sekularisme, Liberalisme dan sebagainya, dan segera berhukum kepada hukum Allah. Umat Islam diseru untuk tidak takut kepada Amerika Syarikat, Eropah, Britain dan negara kafir lainnya, tetapi hanya takut kepada Allah SWT.

Kedua, berkenaan kehadiran bulan Ramadhan yang mulia. Ramadhan merupakan bulan diturunkannya Al-Quran, dan di dalamnya Al-Quran menyebut tentang Al-Aqsa, iaitu masjid ketiga suci umat Islam. Ramadhan merupakan bulan untuk memuhasabah diri, menambahkan kefahaman Islam, meningkatkan ketakwaan. Bulan Ramadhan juga merupakan bulan untuk kita selalu berpaling daripada kekufuran dan berpihak kepada Islam dan Iman dengan meninggalkan segala bentuk kemungkaran yang dilarang oleh Allah SWT, dan melaksanakan seluruh perintah Allah SWT. Di samping itu, umat Islam digesa untuk meningkatkan aktiviti dakwah, untuk merebut seluruh kebaikan yang Allah bentang kepada umat Nabi Muhammad SAW. Jadikanlah bulan Ramadhan kali ini, sebagai bulan yang mana kita bersama perjuangan Islam untuk membuktikan kita adalah hamba-hamba-Nya yang taat dan patuh kepada perintah Allah SWT. Seruan akhirnya ditutup dengan bacaan doa kepada Allah SWT agar umat Islam diberi kemenangan, kejayaan dan umat Islam bersatu dalam kesatuan Khilafah Islamiyah.

   

  [youtube:http://www.youtube.com/watch?v=L9h4Nk-kmOs]
 
alt