Hubbul Wathan vs Ta’asub Wathaniyah

Lahirnya cinta kepada tanah air (hubbul wathan) kerana kita tinggal di suatu daerah/wilayah dalam tempoh yang agak panjang. Kita telah biasa dan sebati dengan keadaan sekeliling sehingga qana’ah (serasi), tidak mahu meninggalkan wilayah tersebut.

Hubbul wathan lahir dalam diri kita secara fitri kerana faktor masa dan suasana. Syarak tidak melarang perasaan ini. Nabi SAW mencintai dua tanah suci, Madinah dan Makkah kerana limpahan fadhilah yang Allah SWT berikan kepada kedua-duanya. Sabda Baginda SAW,

وأَنْتِ أَحَبُّ بِلاَدِ اللهِ إليَّ

“Engkau adalah bumi Allah yang aku cintai” [HR Abu Ya’la].

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda,

وَاللَّهِ إِنَّكِ لَخَيْرُ أَرْضِ اللَّهِ وَأَحَبُّ أَرْضِ اللَّهِ إِلَى اللَّهِ

“Engkau adalah bumi Allah yang paling aku cintai sebab engkau adalah bumi Allah yang paling dicintai Allah” [HR Tirmidzi].

Manakala ta’asub wathaniyah pula ialah warisan budaya jahiliyyah yang memperlihatkan tentang orang-orang yang seringkali membanggakan kabilah dan suku bangsanya. Hal ini telah dikecam oleh lisan Baginda Nabi SAW, bahkan Baginda SAW memaksudkan kebanggaan suku bangsa itu lebih hina daripada cacing tanah. Sabda Baginda SAW:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ قَدْ أَذْهَبَ عَنْكُمْ عُبِّيَّةَ الْجَاهِلِيَّةِ وَفَخْرَهَا بِالآبَاءِ مُؤْمِنٌ تَقِىٌّ وَفَاجِرٌ شَقِىٌّ أَنْتُمْ بَنُو آدَمَ وَآدَمُ مِنْ تُرَابٍ لَيَدَعَنَّ رِجَالٌ فَخْرَهُمْ بِأَقْوَامٍ إِنَّمَا هُمْ فَحْمٌ مِنْ فَحْمِ جَهَنَّمَ أَوْ لَيَكُونُنَّ أَهْوَنَ عَلَى اللَّهِ مِنَ الْجِعْلاَنِ الَّتِى تَدْفَعُ بِأَنْفِهَا النَّتْنَ

“Sesungguhnya Allah telah menghilangkan daripada dirimu kebanggaan dan kesombongan pada masa jahiliyyah dan pemujaan terhadap nenek moyang. Saat ini ada dua jenis manusia iaitu mukmin yang bertakwa dan orang-orang yang melakukan keburukan lagi hina. Kamu semua ialah anak cucu Adam dan Adam tercipta dari tanah. Manusia harus meninggalkan kebanggaan mereka terhadap bangsa mereka kerana hal itu merupakan bahan bakar daripada api neraka. Jika mereka tidak menghentikan semua ini, maka Allah akan menganggap mereka lebih rendah daripada cacing tanah yang menyusupkan dirinya sendiri ke dalam limbah kotoran” [HR Abu Daud dan Tirmidzi].

Ta’asub wathaniyah merupakan sifat jijik yang wajib kita tinggal atau tanggalkan. Hadis yang ditulis oleh Imam al-Tabrizi dalam kitabnya Misykat al-Masabih, Rasulullah SAW bersabda;

مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّة فَكَأَنَّمَا عَضَّ عَلَى هَنّ أَبِيْهِ

“Dia yang menyeru kepada assabiyah laksana orang yang menggigit kemaluan bapanya.”

Sebutan “menggigit kemaluan bapanya” menunjukkan bahawa ta’ashub wathaniyyah merupakan perbuatan yang kotor lagi menjijikkan.

Sesungguhnya munculnya negara-negara bangsa (nation state) di dunia Islam ketika ini merupakan hasil ciptaan tangan para penjajah. Antaranya Perjanjian Sykes & Picot didalangi oleh British dan Perancis yang berhasil memecah belah kesatuan umat Islam ketika berada di bawah naungan Khilafah Islamiyah menjadi negeri-negeri kecil yang ta’asub wathaniyah.

Hal ini memudahkan kaum kafir menguasai wilayah-wilayah kaum muslimin yang sudah tercerai berai. Kesan daripada agenda kufur yang dilancarkan oleh penjajah Barat ini menyebabkan setiap muslim itu bangga dengan suku bangsanya dan bahasanya sehingga menghilangkan kebanggaannya sebagai umat Islam. Bahkan di antara mereka saling bermusuhan seperti Indonesia dengan Malaysia, Arab Saudi dengan Yaman, Turki dan Irak memerangi Suku Kurdis dan sebagainya.

Kecintaan pada tanah air seharusnya diwujudkan bukan dengan slogan kosong, tetapi dengan pembelaan negeri-negeri umat Islam dari cengkeraman neo-imperialisme. Negeri-negeri umat Islam wajib dibebaskn daripada penjajahan kufur, bebas daripada pemikiran sempit assabiyah (ta’asub wathaniyah), nasionalisme, patriotisme dan lain-lain. Pembebasan ini bermaksud bahawa umat Islam diseluruh dunia perlu kembali hidup sebagai satu umat, satu negara dan satu aturan khas; iaitu syariat Islam! Wallahu a’lam bissawab.

Ridhuan Hakim
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia