Hubungan Dagangan Bersulam Darah

Di dalam keadaan umat Islam Rohingya hidup di dalam penuh kesengsaraan akibat kekejaman dan tekanan daripada kerajaan Myanmar,  Kerajaan Malaysia melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) telah menghantar delegasi perdagangan khas ke sana  yang diketuai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Memetik kata-kata Duta Besar Malaysia sempena mengulas delegasi khas ke Myanmar itu, Dr. Ahmad Faisal Muhamad ; “hubungan diplomatik di antara kedua-dua buah negara telah bermula sejak 1958 iaitu setahun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Kata beliau lagi; manakala sejak tahun 1997, hubungan tersebut menjadi semakin baik apabila Myanmar berjaya menyertai ASEAN atas usaha kita. Pada hari ini, suasana di Myanmar amat menarik sehingga hampir setiap hari ada sahaja rombongan perdagangan daripada luar yang datang untuk meninjau peluang pelaburan.

Justeru katanya :”Syarikat-syarikat kita harus bertindak dengan cepat, mereka memerlukan pelaburan baru dari segi infrastruktur, perbankan, perladangan, pelancongan, perlombongan dan stesen jana kuasa elektrik, kesemua ini kita mempunyai kepakaran.”Bukan itu sahaja, pasaran negara itu juga amat luas untuk memasarkan barangan dari negara kita, sebagai contoh, minyak masak Saji telah menguasai kira-kira 30 peratus pasaran negara tersebut,” katanya.

Apabila manfaat dijadikan sebagai asas di dalam semua perkara, maka itu menandakan seseorang itu telah dikuasai oleh pemikiran kapitalisma. Pemikiran  kapitalisma lahir daripada idea kebebasan yang bertunjangkan sistem ekonominya yang menjadikan manfaat  sebagai perkara paling utama untuk diraih. Setiap tindakan yang dilakukan oleh seseorang individu atau negara yang memegang ideologi ini pasti akan bertunjangkan keuntungan material. Adalah menjadi perkara yang lazim mereka sentiasa ingin melakukan pelbagai eksploitasi demi meningkatkan keuntungan material ke tahap yang paling maksimum tanpa mengira hal yang lain.

Amat menyedihkan apabila kerajaan Malaysia tetap menghantar delegasi khas tersebut tatkala seluruh dunia sedang menyaksikan kekejaman dan tekanan kerajaan Myanmar ke atas umat Islam Rohingya di Rakhine. Tindakan biadap tentera Myanmar dan penganut Buddha ke atas penduduk Islam Rohingya di Rakhine tidak boleh diterima oleh mana-mana peradaban manusia. Mereka telah melakukan pelbagai kekejaman seperti membunuh, merogol, membakar penempatan dan menghalau keluar umat Islam Rohingya daripada rumah dan kampung halaman mereka. Kekejaman yang telah berlarutan sejak puluhan tahun lalu benar-benar telah membongkar sikap sebenar kerajaan Myanmar ke atas umat Islam Rohingya.

Jadi, apakah wajar Malaysia menjalinkan hubungan dagangan dengan kerajaan seperti itu? Peluang pelaburan yang ada bukanlah satu alasan untuk menjalinkan hubungan baik dengan pemerintah Myanmar.  Malaysia sepatutnya mendesak kerajaan Myanmar menghentikan segera segala kekejaman dan penindasan yang sedang dilakukan ke atas umat Islam Rohingya dan mengugut untuk memutuskan hubungan dengan Myanmar jika mereka gagal melaksanakannya.
 
Sabda Rasulullah saw:

Daripada Nukman bin Basyir r.a katanya: “Kamu lihat orang-orang yang beriman itu dalam saling kasih mengasihi, saling cinta mencintai dan saling tolong menolong,seperti sebatang tubuh. Kalau ada salah satu anggota yang terkena penyakit, seluruh batang tubuh ikut menderita tidak dapat tidur dan menderita panas.” [Hadis riwayat Bukhari].

Oleh itu, perubahan pemikiran yang tuntas diperlukan agar umat Islam terutama para pemimpin mereka tidak hanya melihat keuntungan dunia semata-mata tetapi melihat seluruh urusan umat Islam melalui kaca mata Islam sebagai satu perkara yang mesti diutamakan. Ingat-ingatlah bahawa Allah SWT Maha mengetahui apa yang ada di dalam jiwa setiap mukmin itu.  Wallahu a’lam.
 
Sumber : Utusan Online, 23/09/2013