Hudud Adalah Jalan Penyelesaian Bagi Rompakan
Beberapa kes yang disebutkan di atas hanyalah sebahagian kecil kes yang dilaporkan berbanding deretan senarai kejadian rompakan yang tidak dilaporkan oleh media massa yang berlaku saban hari. Sesungguhnya ideologi sekular melalui sistem demokrasi yang diterapkan pada saat ini merupakan sebab utama meningkatnya kejadian jenayah di dalam kehidupan kita. Justeru, ia hanya dapat diatasi dengan mengubah sistem sekular yang mendatangkan 1001 kemudaratan ini kepada sistem Islam yang bersumberkan wahyu secara langsung daripada Ilahi.
Jenayah merompak, merampas dan melakukan tindakan kekerasan disebut sebagai qat’u thariq (perompak jalanan/lanun) dan ia dikategorikan sebagai hirabah. Hirabah adalah tindakan sekumpulan manusia bersenjata dan melakukan kekacauan, penumpahan darah, merampas harta, merosakkan kehormatan, merosakkan tanaman, ternakan, keharmonian agama, akhlak dan keamanan masyarakat, baik daripada kalangan Muslim ataupun kafir (dzimmi ataupun harbi) (Sayyid Sabbiq, Fiqh Sunnah, bab Hirabah). Dalam hal ini, jenayah ini adalah sinonim dengan kejahatan-kejahatan yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan sindiket, mafia, kongsi gelap, lanun dan lain-lain.
“Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya)” [TMQ Al-Mai’dah (5):33].
Secara ringkasnya, berdasarkan dalil di atas, para fuqaha berpendapat bahawa uqubat ke atas mereka (perompak) adalah berbeza mengikut tindakan jenayah yang mereka lakukan. Jika mereka membunuh dan merompak, maka uqubatnya adalah mereka akan dibunuh dan disalib. Jika mereka membunuh tetapi tidak merompak, maka uqubatnya adalah dibunuh sahaja dan tidak disalib. Jika mereka merompak sahaja tetapi tidak membunuh, maka uqubatnya adalah dipotong tangan dan kaki mereka secara bersilang. Jika mereka hanya melakukan tindakan teroris (mengugut atau menakut-nakutkan) tetapi tidak membunuh atau merompak, maka uqubatnya adalah dibuang negeri.
Justeru, jika sekiranya sistem Islam dapat diterapkan secara kaffah, masalah-masalah jenayah yang berlaku sepertimana yang disaksikan pada hari ini akan dapat diselesaikan secara tuntas. Masyarakat akan sentiasa merasa terjamin nyawa, akal, keturunan, kehormatan, harta, agama, keamanan serta dapat memelihara negara di bawah penerapan syariah Islam. (Muhammad Husain Abdullah, Dirasat fil Fikri al Islami, 1990, hlm. 61):
Sumber: Kosmo, 11/04/11