Hukum Islam Sempurna Tanpa Perlu Menggubal Undang-undang Berdasarkan Akal
Najib berharap agar rang undang-undang baharu itu akan dapat membendung jenayah. Padahal Allah SWT telah pun memberi petunjuk dan jalan melalui kitab Al-Quran serta penjelasan daripada RasulNya agar menjadikan Islam sebagai satu-satunya jalan penyelesaian dalam menyelesaikan masalah dari seluruh aspek kehidupan, dan bukannya mengambil hukum lain.
Menurut Ibnu Katsir, dalam ayat ini, Allah SWT menyangkal setiap orang yang keluar daripada hukumNya yang muhkam, yang mencakupi seluruh kebaikan, melarang semua keburukan, dan berpaling daripada semua pendapat, kesenangan, dan mencela seseorang yang membuat hukum tanpa sandaran syariatNya sebagaimana yang dilakukan oleh kaum jahiliyyah yang berhukum atas dasar kesesatan dan kejahilan. [2]
Perkataan al-jaahiliyyah berasal dari kata ‘al-jahl’ yang bererti bodoh atau dhid al-‘ilmu (kata lawan daripada mengetahui). Menurut al-Baidhawi, yang dimaksudkan dengan al-jaahiliyyah adalah agama jahiliyyah yang mengikuti hawa nafsu.[3] Kesimpulan tersebut didasarkan pada frasa yang berikutnya dalam ayat tersebut, iaitu “waman ahsanu minallaahi hukm[an] liqawm[in] yuuqinuun” (Dan siapakah yang lebih baik daripada Allah dalam membuat hukum bagi orang-orang yang yakin?)
Jika dalam frasa sebelumnya disebutkan hukm al-jaahiliyyah, maka dalam frasa ini ia dibandingkan dengan hukmullah (hukum Allah). Berdasarkan ayat ini, as-Suyuti menjelaskan bahawa hukum hanya terbahagi kepada dua, iaitu hukum Allah dan hukum jahiliyyah.[4] Al-Hasan juga membahagikan hukum menjadi dua: Pertama, hukum yang didasarkan kepada ilmu, yakni hukum Allah. Kedua, hukum yang didasarkan pada kebodohan, yakni hukum syaitan.[5] Selanjutnya al-Hasan mengatakan, “Barangsiapa yang berhukum dengan selain hukum Allah, maka itulah hukum jahiliyah.”[6]
Berdasarkan penjelasan ahli tafsir di atas, dapatlah difahami bahawa yang dimaksudkan dengan hukum jahiliyyah adalah segala hukum yang tidak berasal daripada Allah SWT. Ini termasuklah mencari-cari penyelesaian selain daripada yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Jika Najib dan kerajaan Malaysia benar-benar ingin menyelesaikan masalah jenayah secara tuntas, terapkanlah Islam secara kaffah. Ubahlah ideologi negara yang ada pada Malaysia kepada ideologi Islam. Tukarlah perlembagaan sekular tinggalan penjajah kepada Perlembagaan Islam yang bersumberkan sepenuhnya kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Tidaklah selayaknya orang-orang yang beriman mengambil dan menerapkan hukum selain hukum Allah SWT di muka bumi ini. Allah SWT adalah Pencipta kita dan Dia telah memberikan aturanNya yang tidak dapat sekali-kali disamakan apatah lagi ditandingi oleh hukum-hukum ciptaan manusia yang lain.
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kalian deen kalian, dan telah Aku cukupkan bagi kalian nikmatKu, serta Aku redha Islam sebagai deen kalian.” [TMQ al-Ma’idah (5):3].
Sumber:
[1] http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0718&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm
[2] Ibnu Katsir, Tafsiir al-Quraan al-Azhiim, vol 2, 88. Hal yang sama dikemukakan Az-Zuhaili, Tafsiir al-Muniir, vol 5, 218.
[3] Al-Baidhawi, Anwaar at-Tanziil wa Asraar at-Ta’wiil, vol. 1 (Beirut: Dar al-Kutub al-ilmiyyah, 1988), 270.
[4] As-Suyuti, Ad-Durr al-Mantsuur, vol. 2, 514.
[5] Az-Zamakhsyari, al-Kasyaaf, vol. 1 (Beirut: Dar al-Kutub al-ilmiyyah, 1995), 628
[6] Ibnu Katsir, Tafsiir al-Quraan al-Azhiim, vol 2, 88.