Hukum memasukkan sesuatu ke dalam hidung ketika berpuasa.
Fiqh Puasa: As-su’uth Dan Kaitannya Dengan Perubatan Kontemporari
Dalam perkara yang membabitkan perbuatan yang membatalkan puasa, terdapat suatu perbahasan yang dipanggil as-su’uth. As-su’uth juga disebut sebagai an-nusyuq ataupun an-nusyugh, iaitu meletakkan sesuatu benda di hidung lalu disedut ke dalamnya. Sesuatu ubat yang disedut melalui hidung dipanggil as-sa’uth. As-su’uth dalam beberapa hadis disebutkan seperti ubat, tetapi tidak ada satu pun hadis yang mengaitkan antara as-su’uth dan puasa secara bersama. Para muhadditsin (ahli hadis) tidak menjumpai istilah ini (as-su’uth) dalam masalah puasa kecuali yang diriwayatkan oleh Laqith bin Shabrah r.a., ia berkata:
{ قُلْتُ يا رسول الله أَخْبِرْنِي عَن الوُضُوءِ ؟ قال : أَسْبِغ الوُضُوءَ وَبَالِغْ فِي الْاِسْتِنْشَاقِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ صَائِماً }
Aku berkata, “Wahai Rasulullah, ajarkanlah aku tentang wudhuk”. Baginda saw berkata: “Sempurnakanlah wudhuk dan lebihkan dalam beristinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung melalui sedutan), kecuali jika engkau berpuasa”. [Riwayat Ibnu Majah, Abu Dawud, An-Nasa’i, Tirmidzi dan Ahmad]
Daripada hadis ini, para muhadditsin memasukkan perbuatan istinsyaq ketika berwudhu’ ke dalam kategori as-su’uth.
Para fuqaha’ (ahli fiqh) berbeza pendapat dalam masalah as-su’uth, iaitu sama ada ia membatalkan puasa ataupun tidak. Al-Hasan menyatakan bahawa ia dibolehkan asalkan ia tidak sampai ke kerongkong. Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan daripada al-Qa’qa yang menyatakan bahawa Ibrahim an-Nakhaie menyebutkan bahawa tidak ada masalah bagi orang yang berpuasa untuk melakukannya. Namun, majoriti ulama’ berpendapat bahawa perbuatan as-su’uth membatalkan puasa dan wajib untuk diqadha’ kembali puasanya jika terbatal.
Para ulama’ berbeza pendapat pula tentang air yang disedut melalui hidung (istinsyaq) oleh seseorang yang berpuasa lalu air tersebut sampai ke kerongkong tanpa sengaja. Mazhab Hanafi, Maliki dan Imam as-Syafi’e dalam salah satu qaulnya berpendapat bahawa perkara tersebut merosakkan puasa. Manakala Imam Ahmad, Ishaq bin Rahawaih, Al-Auza’I serta para pengikut as-Syafi’e berpandangan bahawa ia tidak membatalkan sebagaimana orang yang terlupa. Hasan al-Basri dan Ibrahim an-Nakhaie berkata perkara tersebut membatalkan puasa jika ia disengajakan.
Syeikh Mahmud Abdullatif ‘Uwaidhah berpendapat bahawa hadis riwayat Ibnu Majah di atas tidak layak untuk dijadikan sandaran perbahasan tentang as-su’uth dengan hujah bahawa as-su’uth sendiri merupakan perbuatan memasukkan benda ke dalam hidung dan disedut agar kesemuanya atau sebahagian daripadanya masuk ke dalam paru-paru dan inilah fakta as-su’uth. Sedangkan memasukkan air atau ubat ke dalam hidung untuk mengubati sinusitis (keradangan pada selaput lendir dalam rongga hidung atau resdung) yang mana air tersebut tidak sampai ke paru-paru dan ini tidak termasuk ke dalam kategori as-su’uth.
Oleh yang demikian, memasukkan air ke dalam rongga hidung ketika berwudhuk tidak termasuk dalam kategori as-su’uth. Jika ditelusuri kembali jalur perbahasan tentang as-su’uth, ia sebenarnya diambil berdasarkan atsar sahabat sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdurrazzaq daripada Abdullah bin Mas’ud r.a, ia berkata:
“Sesungguhnya puasa itu (menahan diri) daripada sesuatu yang masuk, bukan daripada sesuatu yang keluar. Dan wudhu’ itu disebabkan (menahan diri daripada) sesuatu yang keluar, bukan sesuatu yang masuk.”
Dalam atsar yang lain, daripada Abdullah bin Abbas r.a, ia berkata:
“Dia berkata tentang berbekam bagi orang yang berpuasa. Dia berkata,’Berbuka (puasa) itu kerana sesuatu yang masuk, bukan kerana sesuatu yang keluar.’” [Riwayat Al-Baihaqi dan Ibnu Abi Syaibah]
Bukhari meriwayatkan atsar ini secara mu’allaq (gugur salah seorang atau lebih perawinya) namun atsar ini sahih.
Telah disepakati oleh kaum Muslimin bahawa masuknya sesuatu benda melalui kerongkong merupakan perkara yang jelas membatalkan puasa tidak kira sama ada benda tersebut sampai ke perut ataupun ke dalam paru-paru, dan juga tanpa mengira apakah jenis benda yang masuk tersebut. Perkara tersebut sememangnya membatalkan puasa. Jika seseorang ingin berhelah dengan menumbuk kacang sehingga halus kemudian disedut dengan nafasnya melalui hidung, maka hal tersebut tetap membatalkan puasanya kerana hasil daripada perbuatan tersebut adalah memasukkan sesuatu ke dalam kerongkong (melalui hidung) hingga sampai ke paru-paru ataupun perut.
Selain itu, jika yang masuk itu bukan terdiri daripada zat yang mampu disentuh seperti wangi-wangian, maka hal tersebut tidak membatalkan puasa berdasarkan hadis Anas bin Malik r.a, ia berkata:
“Rasulullah saw ditanya, apakah seseorang yang berpuasa boleh mencium (bau)? Baginda menjawab: Adakah terdapat masalah dengan bau-bauan yang dihidunya?” [Riwayat At-Thabrani]
Rasulullah dalam hadis ini dan dalam hadis yang lain telah menyamakan antara mencium isteri (at-taqbil) dengan mencium wangi-wangian (as-syamm), di mana kedua-duanya menunjukkan satu persamaan iaitu tidak membatalkan puasa.
Berbalik kepada persoalan as-su’uth, maka pendapat jumhur adalah pendapat yang tepat iaitu as-su’uth membatalkan puasa dan ia wajib untuk menqadha kembali puasanya berdasarkan atsar sahabat mengenai puasa sebagai menahan “sesuatu yang masuk”, iaitu menahan diri daripada masuknya sesuatu ke dalam perutnya. Ini termasuklah apa sahaja yang melalui saluran organ pencernaan, mulai daripada kerongkong sehinggalah ke usus besar. Oleh itu, sesuatu yang masuk ke dalam perut membatalkan puasa dan sesuatu yang masuk melalui rongga badan antaranya seperti as-su’uth dianggap sebagai membatalkan puasa.
Beberapa amalan perubatan yang berkaitan
1. Pemasangan jaringan wayar atau tiub (seperti catheter) yang digunakan untuk membuka pembuluh darah yang tersumbat, ataupun pemasangan tiub berkamera dan alat-alat lain yang seumpama dengannya (seperti bronchoscope, endoscope dan lain-lain) untuk pemeriksaan dalaman tubuh dan lain-lain, maka keadaannya perlu dikaji terlebih dahulu. Jika wayar atau tiub tersebut dimasukkan melalui kulit dan ia sampai kepada paru-paru, perut dan usus, maka hal tersebut membatalkan puasa. Jika ia masuk melalui kulit dan sampai ke jantung, hati ataupun pundi kencing iaitu tidak sampai kepada sistem pencernaan, maka tidak membatalkan puasa.
2. Imbasan otak dan kardiografi untuk jantung yang biasanya disertai dengan pemasangan wayar atau elektrod pada tubuh tidak membatalkan puasa.
3. Penggunaan pancaran sinaran (ray) dalam pelbagai tujuan seperti menghancurkan batu karang dan juga rawatan kanser, rawatan seperti ini tidak membatalkan puasa. Begitu juga rawatan yang menggunakan gelombang magnetik kerana gelombang dan sinaran tidak termasuk sebagai benda (yang mempunyai zat atau ’ain yang dapat diindera).
4. Taqthir (menitiskan sebarang cecair) ke dalam zakar lelaki atau ke dalam saluran kencing (al-ihlil menurut istilah ahli fiqh) tidak membatalkan puasa kerana ia tidak sampai masuk ke dalam paru-paru atau sistem pencernaan. Termasuk dalam hal ini seperti memasukkan tiub atau wayar (seperti urinary catheter, uretroscope dan lain-lain) melalui zakar untuk pemeriksaan pundi kencing dan ginjal serta operasi pemeriksaan rahim wanita dengan menggunakan vaginoscope ataupun alatan lain, kesemuanya tidak membatalkan puasa.
5. Enema atau memasukkan ubat melalui dubur membatalkan puasa kerana ia melalui organ pencernaan. Pendapat Imam Ahmad berkenaan enema membatalkan puasa merupakan pendapat yang benar.
6. Vaksin kulit dan yang sejenis dengannya tidak membatalkan puasa, namun vaksin mulut membatalkan puasa.
7. Operasi membersihkan rahim wanita (douche), pemeriksaan rahim dan segala yang diperlukan seperti memasukkan ubat-ubatan melalui saluran ke rahim (vaginal suppository), kesemua ini tidak membatalkan puasa kerana rahim bukan termasuk dalam sistem pencernaan atau pernafasan.
8. Sesuatu yang keluar daripada faraj, maka hal tersebut perlu diteliti. Seperti yang sedia maklum, haid dan nifas membatalkan puasa. Namun jika ia termasuk darah istihadhah (iaitu darah yang keluar kerana pembuluh darah putus atau pecah), maka puasanya tidak terbatal. Darah yang keluar daripada mana-mana anggota tubuh lelaki mahupun wanita tidak membatalkan puasa. Cairan yang keluar daripada alat kemaluan wanita selain darah juga tidak dianggap membatalkan puasa.
9. Al-jaifah (luka yang bersambung ke perut atau bahagian dalaman tubuh) membatalkan puasa sekiranya luka tersebut masuk ke dalam paru-paru atau ke dalam sistem pencernaan. Jika lukanya tidak sampai kepada anggota-anggota tersebut, maka ia tidak membatalkan puasa. Contohnya jika luka terkena hingga ke jantung, hati dan organ lain. Manakala bagi al-ma’mumah (luka yang sampai ke selaput otak), ia juga tidak membatalkan puasa kerana memasukkan apa sahaja ke bahagian dalam tulang tengkorak tidak membatalkan puasa.
10. Pembiusan dengan menyedut ubat bius melalui mulut atau hidung membatalkan puasa. Ia termasuk dalam perbahasan as-su’uth yang membatalkan puasa.
11. Bagi pembedahan, jika ia melibatkan sampai ke perut, paru-paru atau sistem pencernaan, maka ia membatalkan puasa. Jika selain daripada perkara tersebut seperti pembedahan buah pinggang, jantung atau hernia, ia tidak membatalkan puasa seseorang kecuali jika ia diiringi dengan aktiviti perubatan lain seperti memasukkan ubat atau sesuatu melalui paru-paru atau sistem pencernaan.
12. Operasi lutut, paha atau penggantian organ yang rosak pada kedua-duanya tidak membatalkan puasa.
13. Jarum suntikan melalui pembuluh darah ataupun otot tidak membatalkan puasa, tidak kira sama ada yang dimasukkan itu adalah ubat, zat-zat makanan, darah ataupun bius selagimana tidak secara langsung memasuki sistem pernafasan atau pencernaan.
Secara ringkasnya, memasukkan sesuatu apa pun, sama ada ia pepejal atau cecair, ataupun alatan tertentu, jika ia memasuki ke dalam sistem pernafasan atau sistem pencernaan, maka hal tersebut membatalkan puasa. Sebaliknya jika ia tidak sedemikian, maka puasa seseorang itu masih sah.
Syubhat yang muncul adalah mengapa dibolehkan sesuatu yang mempunyai zat makanan masuk melalui jarum suntikan sedangkan puasa itu termasuk sebagai menahan diri daripada makan dan minum? Bukankah menyuntik zat makanan atau vitamin mempunyai kesamaan dengan makan dan minum itu sendiri? Sebagai jawapan bagi syubhat tersebut, perlu difahami bahawa seseorang yang berpuasa itu dilarang untuk makan dan minum, iaitu dilarang daripada melakukan sesuatu yang boleh diistilahkan sebagai makan dan minum. Inilah yang disebutkan dalam pelbagai dalil dan nas. Tidak ada satu pun nas atau dalil yang mengatakan supaya orang yang berpuasa itu menahan diri daripada al-mughadziyat (sesuatu yang berzat makanan) atau at-taghdziyah (pemberian zat-zat makanan).
Oleh itu, seseorang yang menelan segenggam tanah atau beberapa biji batu kerikil dianggap sebagai membatalkan puasa walaupun benda-benda yang ditelan itu tidak dikategorikan sebagai al-ghidza (sesuatu yang berzat makanan). Yang menjadi sandaran adalah proses atau perbuatan makan dan minum itu sendiri secara fizikal, bukan pemberian zat makanan (at-taghziyah) atau sesuatu yang berzat makanan (al-ghidza). Oleh yang demikian, tidak ada keraguan lagi bahawa pemberian zat makanan atau darah melalui kulit tidak termasuk sebagai makan dan minum serta ia tidak mengakibatkan terbatalnya puasa. Wallahu a’lam.
*Disunting dan diringkaskan daripada tulisan Syeikh Mahmud Abdullatif ‘Uwaidhah bertajuk Himpunan Hukum-Hakam Tentang Puasa (Al-jami’ li Ahkam As-Siyam).