Hukum Mengenakan Denda Bagi Lambat Membayar Semula Pinjaman
Jawapan:
Dalam fiqih kontemporari, denda kerana terlambat membayar hutang atau ansuran hutang disebut sebagai al-gharamat at-ta`khiriyah atau al-gharamat al-maliyah. (Abdullah Mushlih & Shalah Shawi, Maa Laa Yasa’u at-Tajir Jahlahu, hal. 279 & 335; Ali as-Salus, Mausu’ah Al-Qadhaya al-Fiqhiyah al-Mu’ashirah, hal. 458).
Para ulama’ kontemporari berbeza pendapat dalam masalah ini. Sebahagian daripada mereka membolehkannya, manakala sebahagian lagi mengharamkannya. Mereka yang membolehkannya antara lain berdalil dengan sabda Nabi SAW, “Perbuatan menunda pembayaran hutang oleh orang kaya adalah suatu kezaliman.” (HR Bukhari). Juga sabda Nabi SAW, “Perbuatan orang yang berkemampuan (tetapi menunda pembayaran hutangnya) telah menghalalkan kehormatannya dan sanksi (hukuman) terhadapnya.” (HR Ahmad, Abu Dawud, Nasa`i, Ibnu Majah, dan Al-Hakim).
Bagi golongan yang mengharamkannya pula, mereka mengatakan bahawa denda seperti ini adalah mirip dengan riba jahiliyah (riba nasi`ah), iaitu suatu pertambahan nilai yang dikenakan ke atas hutang yang disebabkan faktor penundaan tempoh waktu pembayarannya. Padahal riba inilah yang diharamkan oleh Allah ketika Al-Qur`an itu diturunkan (TMQ Al-Baqarah (2) : 275). Biar apapun nama yang diberi, ia tetap riba, baik sama ada diambil daripada orang yang berkemampuan ataupun tidak, baik sama ada disyaratkan di awal akad ataupun tidak. (Abdullah Mushlih & Shalah Shawi, ibid., hal. 338).
Pendapat yang rajih adalah yang mengharamkannya. Hujahnya : Pertama, meskipun orang yang berkemampuan yang menunda pembayaran hutang tersebut layak untuk dihukum, tetapi di sepanjang sejarah Islam tidak pernah ada seorang pun qadhi (hakim) atau fuqaha yang menjatuhkan hukuman denda. Padahal kes-kes seperti ini (tidak mahu membayar hutang) banyak berlaku di pelbagai kota dan wilayah dalam negara Islam. Jumhur fuqaha berpendapat bahawa hukumannya adalah ta’zir, iaitu ditahan/ditangkap (al-habs) dan boleh juga dalam bentuk ta’zir yang lain (selain denda). (Abdullah Mushlih & Shalah Shawi, ibid., hal. 338; Ali As-Salus, ibid., hal. 449).
Ini adalah kerana sudah dimaklumi bahawa pemberi hutang hanya berhak ke atas jumlah wang pokok yang dipinjamkannya dan tidak lebih daripada itu, baik sama ada ia mendapatkannya semula tepat pada waktunya atau selepas tempoh penundaan. Berapa pun tambahan yang diambil sebagai upah disebabkan penundaan pembayaran tidak lain adalah riba yang diharamkan. (Ali As-Salus, ibid., hal. 449).
Kedua, denda yang dikenakan kerana terlambat membayar hutang adalah mirip dengan riba. Maka denda ini dianggap sama dengan riba dan ia adalah haram untuk diambil. Dalam kaedah fiqih ada menyebutkan: Maa qaaraba al-syai’a u’thiya hukmuhu (Apa sahaja yang mendekati/mirip dengan sesuatu, hukumnya dianggap sama dengan sesuatu itu). (M. Shidqi Burnu, Mausu’ah al-Qawa’id Al-Fiqhiyah, 9/252). Kesimpulannya, mengenakan denda kerana terlambat membayar hutang atau ansuran hutang hukumnya haram kerana ia termasuk sebagai riba. Wallahu a’lam.
Muhammad Siddiq Al-Jawi. HTI