Hukum Pegawai Menerima Hadiah
Jawapan :
Haram hukumnya seseorang pegawai menerima hadiah yang mempunyai kaitan dengan tugas atau jawatannya. Jawatan di sini adalah bermaksud setiap orang yang mempunyai autoriti menentukan sesuatu kepentingan umum tertentu. (Taqiuddin An-Nabhani, Al-Syakhsiyah Al-Islamiyah, Juz II/334; Abdul Qadim Zallum, Al-Amwal fi Daulah al-Khilafah, hal. 119).
Diriwayatkan daripada Buraidah ra bahawa Nabi SAW bersabda,”Barangsiapa yang telah kami lantik untuk melakukan sesuatu tugas, lalu dia telah kami beri gaji, maka apa sahaja yang diambilnya selain daripada gaji adalah harta khianat (ghulul).” (HR Abu Dawud no 2554. Hadis sahih, lihat Nasiruddin Al-Albani, Sahih At-Targhib wa At-Tarhib, Juz I/191).
Diriwayatkan daripada Abu Hamid As-Sa’idi ra bahawa Nabi SAW pernah mengutuskan Ibnu Lutbiyah untuk mengumpulkan zakat dari Bani Sulaim. Setelah menyelesaikan tugasnya, Ibnu Lutbiyah berkata kepada Nabi SAW,”Ini zakat yang saya kumpulkan, saya serahkan kepada anda. Manakala ini adalah hadiah yang diberikan orang kepada saya.” Maka Nabi SAW bersabda,“Mengapa kamu tidak duduk-duduk saja di rumah ayahmu atau ibumu hingga hadiah itu datang kepadamu jika kamu memang benar?” (HR Bukhari no 6464).
Imam Taqiuddin An-Nabhani menjelaskan,”Ketiga-tiga hadis di atas dengan jelas menunjukkan bahawa hadiah yang diberikan kepada pegawai yang melaksanakan tugas umum adalah haram, baik yang diberikan sama ada sebelum dia melaksanakan polisi tertentu ataupun sesudahnya, atau diberikan kerana dia adalah pemegang polisi dalam urusan tertentu, atau diberikan kerana dia adalah orang yang berpengaruh yang rapat dengan pemerintah. Semuanya adalah haram.” (Al-Syakhsiyah Al-Islamiyah, Juz II/338).
Yang dikecualikan daripada keharaman ini adalah hadiah kepada pegawai yang diberikan bukan kerana tugas atau jawatannya. Contohnya kerana hubungan peribadi antara seseorang dengan pegawai sejak sebelum dia menjadi pegawai, sehingga telah terbiasa memberi hadiah. Hadiah seperti ini boleh (mubah) hukumnya. Dalilnya sabda Nabi SAW di atas, “Mengapa kamu tidak duduk-duduk saja di rumah ayahmu atau ibumu hingga hadiah itu datang kepadamu jika kamu memang benar?” (HR Bukhari). Daripada hadis ini, dapat ditarik pemahaman yang sebaliknya yang tersirat (mafhum mukhalafah), yakni kalau hadiah itu datang kepada seseorang sedangkan ia duduk-duduk sahaja di rumah ayahnya atau ibunya, maka hadiah itu dibolehkan. Ertinya, jika hadiah itu diberikan tidak mempunyai kaitan dengan tugas atau jawatan, hukumnya boleh (mubah). Maka jika kita sudah terbiasa memberi hadiah kepada seseorang sebelum dia menjadi pegawai, maka jika suatu hari dia menjadi pegawai, kita tetap dibolehkan untuk memberinya hadiah. (Taqiuddin An-Nabhani, Al-Syakhsiyah Al-Islamiyah, Juz II/338). Wallahu a’lam.
(www.konsultasi.wordpress.com)
Jogjakarta, 1 November 2009
Muhammad Siddiq Al-Jawi