Hukum Suami Menjatuhkan Talak Dalam Keadaan Marah

HUKUM SUAMI MENJATUHKAN TALAK DALAM KEADAAN MARAH

Soalan:

Ustaz, bagaimana hukumnya jika suami menjatuhkan talak dalam keadaan marah? Apakah jatuh talaknya?

Jawab :
Menurut Wahbah Zuhaili, marah (ghadhab) ada dua jenis.  Pertama, marah biasa yang tidak sampai menghilangkan kesedaran atau akal, sehingga seseorang itu masih menyedari ucapan atau tindakannya.  Kedua, marah yang teramat sangat sehingga seseorang itu telah hilang kesedaran atau akal dan mengakibatkan dia tidak menyedari lagi ucapan dan tindakannya, atau marah sebegitu rupa sehingga seseorang itu mengalami kekacauan dalam ucapan dan tindakannya.

Para fuqaha sepakat jika suami menjatuhkan talak dalam keadaan marah yang amat sangat (kategori kedua), talaknya tidak jatuh.  Ini kerana ia dianggap mukallaf kerana hilang akalnya (za’il al-aql), seperti orang yang sedang tidur atau gila yang ucapannya tidak tersandar hukum.  Dalilnya sabda Nabi SAW, “Diangkat pena (taklif) dari umatku tiga golongan: anak kecil hingga baligh, orang tidur hingga bangun dan orang gila hingga waras.”  [HR Abu Daud no4398].  (Ibnul Qayyim, Zadul Ma’ad, 5/215; Sayyid Al-Bakri, I’anah al-Thalibin, 4/5; Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 9/343; Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyah, 29/9).

Namun fuqaha berbeza pendapat mengenai talak yang diucapkan dalam keadaan marah biasa (thalaq al-ghadbaan).  Pertama, menurut ulamat mazhab Hanafi dan sebahagian ulama mazhab Hambali, talak seperti itu tidak jatuh.  Kedua, menurut ulama mazhab Maliki, Hambali dan Syafi’i, talaknya jatuh. [Hani Abdullah Jubair, Thalaq al-Mukrah wa al-Ghadbaan, hal. 19; Ibnul Qayyim, Ighatsatul Lahfan fi Hukm Thalaq al-Ghadban, hal. 61].

Pendapat pertama antara lain bersandarkan dalil hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA bahawa Nabi SAW bersabda, “Tidak ada talak dan pembebasan hamba dalam keadaan marah (laa thalaqa wa laa ‘ataqa fi ighlaq).”  [HR Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Majah] . (Musthofa Al-‘Adawi, Ahkam Al-Thalaq fi al-Syari’ah al-Islamiyah, hal. 61).

Pendapat kedua pula antara lain berdalil dengan riwayat Mujahid bahawa Ibnu Abbas RA didatangi oleh seorang lelaki yang berkata, “Saya telah menjatuhkan talak tiga kali pada isteriku dalam keadaan marah.”  Ibnu Abbas menjawab, “Aku tidak boleh menghalalkan untukmu apa yang diharamkan oleh Allah.  Kamu telah mendurhakai Allah dan isterimu telah haram bagimu.”  [HR Daruquthni, 4/34). (Hani Abdullah Jubair, Thalaq al-Mukrah wa al-Ghadbaan, hal. 24].

Menurut kami, yang rajih (kuat) adalah pendapat kedua, iaitu talak yang dijatuhkan oleh suami dalam keadaan marah tetap jatuh talaknya.  Alasannya, hadis dari Aisyah RA walaupun menyebut talak orang yang marah tidak jatuh, tapi yang dimaksudkan sebenarnya bukan sekadar marah (marah biasa), melainkan marah yang amat sangat.  Imam Syaukani menukilkan perkataan Ibnu Sayyid, bahawa kalau marah dalam hadis itu diertikan dengan marah biasa, tentu tidak tepat.  Ini kerana menurutnya tiada suami yang menjatuhkan talak tanpa marah. (Imam Syaukani, Nailul Authar, hal. 1335).

Kesimpulannya, suami yang menjatuhkan talak dalam keadaan marah dianggap tetap jatuh talaknya.  Sebab keadaan marah mempengaruhi keabsahan tasharruf (tindakan hukum) yang dilakukannya, termasuk mengucapkan talak.  Akan tetapi, jika kemarahannya mencapai tahap marah yang amat sangat, maka talaknya tidak jatuh.  Wallahu a’lam.