Hukuman Mati Buat Penghina Nabi!
Kebiadapan seorang pemilik akaun laman sosial Facebook memuat naik sebuah gambar yang bertujuan menghina Rasulullah SAW baru-baru ini wajib disiasat dan dijatuhkan hukuman mati sekiranya sabit kesalahan.
Kelalaian pemerintah dalam memelihara kemuliaan Rasulullah SAW dan Islam menyebabkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini semakin menjadi-jadi dalam melakukan perbuatan keji tersebut. Kejadian ini bukanlah yang pertama dan tidak mustahil akan terus berulang seandainya pelakunya tidak dikenakan hukuman berat atas kebiadapan tersebut.
Tambahan pula, sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini juga turut menyebabkan tindakan tersebut semakin berleluasa dan berulang-kali dilakukan atas nama kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan negara ini.
Sehubungan itu, Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman bersama-sama para anggota HTM telah tampil membuat laporan polis di Bandar Baru Bangi berhubung kejadian penghinaan tersebut.
Dalam siaran langsung yang dibuat sejurus selepas laporan dibuat, beliau mendesak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa agama untuk menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap pelakunya.
Terdahulu, terdapat beberapa orang anggota HTM yang telah membuat laporan polis di Seremban bersama-sama umat Islam dari pelbagai latarbelakang bagi mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan setimpal ke atas perbuatan keji ini. Dalam perkembangan yang sama, anggota HTM selaku sebahagian daripada umat Islam di negara ini turut membuat laporan polis berhubung kejadian ini di balai polis Pasir Gudang.
Pemilik akaun Facebook “Wendy Loong” dilaporkan telah memuat naik karikatur yang menggambarkan seekor babi yang telah meliwat seorang lelaki Arab yang dilabel sebagai Nabi Muhammad SAW, sekali gus menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam. Susulan itu, beberapa buah parti politik, pertubuhan Islam dan individu Muslim telah tampil menyuarakan bantahan serta membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.