Idea Beracun Sekularisme: Kesaksamaan Gender Perkasakan Wanita ?
16/04/2011 4:57pm
KOTA KINABALU, 16 April (Bernama) — Kerajaan mengiktiraf sumbangan wanita dalam pembangunan negara melalui pelbagai dasar dan program yang diperkenalkan untuk golongan itu.
Ketua Pesuruhjaya Pandu Puteri Malaysia, Datin Seri Zalihah Mohd Taib berkata dasar dan program kerajaan itu memberi peluang kepada wanita untuk memainkan peranan dalam pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara.
“Tidak hairanlah wanita Malaysia hari ini menjadi komponen penting dalam aspek pembangunan modal insan dan turut memberi impak dalam dunia perniagaan dan sektor korporat serta politik dan sosial.
“Ia menjadi inspirasi kepada kerajaan untuk terus menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita dalam proses pembangunan negara,” katanya pada majlis sambutan Hari Peringatan Pandu Puteri Peringkat Negeri 2011 di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis sambutan itu yang membawa tema “Matlamat Kesaksamaan Gender dan Memperkasakan Wanita” ialah Penaung Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sabah Datin Norlida R.M Jasni, yang juga isteri Yang Dipertua Negeri.
Zalihah juga berkata usaha kesaksamaan gender dan memperkasakan wanita mempunyai peranan yang sama penting dalam membantu menjana kemakmuran, pertumbuhan dan kemajuan negara. — Bernama
Sumber: Kosmo Online
Penyakit kronik bernama sekularisme sememangnya membuatkan manusia sengsara termasuklah wanita. Penyakit ini menyebabkan wanita lupa dia hamba Allah sepanjang dia bernafas di dunia ini. Perjuangan atas nama kesaksamaan gender dan memperkasakan wanita terus menjauhkan wanita dengan Penciptanya. Celik mata, difikiran mereka hanyalah wang dan harta akan diraih dengan apa cara sekalipun. Malah, wanita yang memikul tanggungjawab surirumah sepenuh masa dilabel tidak produktif kepada keluarga dan negara.
Memanglah jika sekilas pandang, seolah-olah wanita semakin menjadi modal insan yang penting untuk pembangunan negara. Tetapi…bagaimana dengan pembangunan keluarga, pendidik generasi agama bersahsiah tinggi dan pembentukan diri menjadi wanita muslimah yang diredhai Allah? Mengapa perkara-perkara disebutkan tadi tidak pernah diulas oleh pejuang-pejuang gender ini?
Sesungguhnya hanya Islam yang meletakkan martabat paling mulia bagi seorang wanita iaitu sebagai ibu dan pengatur rumah tangga. Perkataan pengatur rumahtangga tidak bermaksud bahawa wanita adalah pembantu rumah ataukhadam bahkan ia bermaksud bahawa wanita adalah pengurus rumahtangganya dan orang yang bertanggungjawab ke atasnya sepertimana yang disebutkan dalam hadith:
Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap dari kamu adalah pemelihara dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipeliharanya. Seorang pemimpin adalah pemelihara dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang lelaki adalah pemelihara keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang wanita adalah pemelihara dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap apa yang menjadi tanggungjawabnya. Seorang khadam adalah pemelihara harta tuannya dan ia bertanggungjawab terhadap pemeliharaannya.”
Berdasarkan hadith tersebut wanita adalah pemelihara dan dia bertanggungjawab terhadap pemeliharaannya. Dia merupakan pemimpin dalam mendidik anak-anaknya, dalam mengajarkan mereka, mencorakkan akhlak mereka, membina pemikiran mereka.
Maka, tugas pemimpin adalah untuk menjamin agar para ibu mampu menjalankan peranannya sebagai ibu dan pendidik generasi depan dengan sempurna. Memaksa para ibu untuk keluar ke lapangan pekerjaan demi meningkatkan produktiviti negara semata-mata adalah sama juga dengan usaha untuk menjual masa depan anak-anaknya dengan menggadaikan pendidikan dan pengasuhan terbaik dari ibunya sendiri.
Negara juga berperanan untuk menjamin pendidikan para ibu dengan kurikulum yang tepat. Kurikulum pendidikan yang mampu untuk membentuk akidah dan syakhsiyah Islamiyah ibu agar dengan itu mereka meletakkan cita-cita perjuangan Islam sebagai cita-cita tertinggi mereka yang bakal diwarisi kepada anak-anak. Cita-cita ini tidak akan mungkin dapat dibentuk dalam diri para wanita yang dididik dengan sistem pendidikan sekular-kapitalisme kerana materi, pangkat, dan karierlah yang kelak menjadi orientasi kehidupan mereka.
Sesungguhnya, para ibu mempunyai tanggungjawab besar yang dipikul di bahu-bahu mereka. Maka, tidak salah jika dikatakan bahawa wanita adalah tiang negara., pendidik generasi masa depan! Jika tiang ini roboh, maka nantikanlah detik keruntuhan sebuah negara dengan pewaris yang rosak akhlak dan pemikirannya dek racun sekularisme!