Idul Adha Wajib Berdasarkan Penetapan Penduduk Makkah

Sekali lagi pada tahun ini kerajaan Malaysia menetapkan tarikh hari raya korban berbeza dengan tarikh yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi. Di kala Arab Saudi telah mengumumkan hari wukuf pada 27 Jun (9 Zulhijjah) yang sekali gus bermaksud Idul Adha jatuh pada 28 Jun (10 Zulhijjah), Malaysia mengumumkan yang Idul Adha jatuh pada 29 Jun!

Apa pun “dalil” dan dalih yang diberikan oleh kerajaan untuk mewajarkan perbezaan ini, hakikatnya semuanya adalah tidak wajar. Sebagai syiar Islam yang seharusnya disambut serentak di seluruh dunia, perbezaan Idul Fitri sahaja sudah tidak wajar, apatah lagi Idul Adha!

Idul Adha merupakan simbol penyatuan umat Islam, yang menzahirkan umat Islam sebagai umat yang satu dengan menyaksikan perhimpunan lebih kurang 3 juta umat Islam di tanah suci Makkah al-Mukarramah. Perhimpunan ini berlaku semata-mata atas dasar persamaan akidah dan penyembahan diri kepada Allah (swt), yang sekali gus menjadi perhimpunan tahunan terbesar umat Islam.

Haji benar-benar menggambarkan bahawa umat Islam memiliki Tuhan yang Satu, Nabi yang satu, kiblat yang satu, kitab yang satu, ibadah yang satu serta misi dan visi yang satu. Jika dulu haji turut menggambarkan yang umat Islam memiliki negara yang satu (Khilafah), tetapi kini tidak lagi.

Sungguh malang apabila haji pada tahun ini sekali lagi gagal menyaksikan yang perayaan umat Islam adalah perayaan yang satu – perayaan yang sepatutnya disambut serentak (pada hari yang sama) oleh umat Islam di seluruh dunia, sebagai bukti bahawa ibadah umat Islam adalah ibadah yang satu.

Penyebab kepada hal ini sesungguhnya hanya satu, iaitu perpecahan politik yang berlaku di dunia Islam hasil daripada penjajahan puak kuffar, yang telah melahirkan lebih 50 negara-bangsa yang terpecah-belah sehingga menyebabkan setiap penguasa menentukan hari raya mereka sendiri dan tidak mahu terikat dengan negara lain.

Padahal berdasarkan nas yang jelas, penetapan Idul Adha hendaklah mengikuti penetapan Amir Makkah yakni penguasa yang memimpin Mekah. Husain bin Harits Al Jadali menyampaikan:

أن أمير مكة خطب ثم عهد إلينا رسول الله صلى الله عليه وسلم أن ننسك للرؤية فإن لم نره وشهد شاهدا عدل نسكنا بشهادتهما

“Bahawasanya Amir Makkah (Wali Makkah) berkhutbah dan menyatakan: ‘Rasulullah (saw) memerintahkan kita agar memulai manasik (haji) berdasarkan ru’yah. Apabila kita tidak melihatnya (hilal Zulhijjah), manakala ada dua orang yang adil menyaksikan (munculnya hilal) maka kita harus memulai manasik dengan kesaksian dua orang tersebut” [HR. Abu Daud].

Hadis ini menunjukkan bahawa pada masa itu Amir Makkah-lah yang diperintahkan oleh Rasulullah (saw) untuk menetapkan pelaksanaan manasik haji dengan melakukan ru’yah hilal Zulhijjah. Jika hilal kelihatan, maka beliau-lah yang akan menentukan tarikh atau masa wukuf di Arafah, yaum an-nahr (hari penyembelihan korban / hari raya), tawaf ifadhah, bermalam di Muzdalifah, Mina, melontar jumrah dan seterusnya.

Tanpa mengira adanya Daulah Islam atau tidak, dan tanpa mengira Amir Makkah itu zalim atau tidak, penguasa yang menguasai kota Makkah diamanahkan untuk mencerap hilal, menentukan wukuf di Arafah (9 Zulhijjah), penyembelihan haiwan korban (10 Zulhijjah), melontar jamrah dan seluruh rangkaian manasik haji lainnya.

Dengan penetapan yang beliau lakukan, maka negeri-negeri kaum Muslimin lainnya wajib mengikuti penetapan tersebut. Ini kerana, wukuf itu hanya berlaku di Arafah dari segi tempat dan masanya. Wukuf tidak berlaku di tempat yang lain atau masa yang lain. Sehari selepas wukuf, maka umat Islam akan menyembelih korban (yaum an-nahr) yang merupakan hari raya Idul Adha untuk umat Islam seluruhnya, bukan yang hanya berada di Mekah.

Oleh itu, kaum Muslimin di seluruh dunia wajib merayakan Idul Adha secara serentak pada hari yang sama, iaitu pada yaum an-nahar (hari jemaah haji melakukan penyembelihan korban) iaitu hari ke-10 Zulhijjah. Itulah hari raya Idul Adha iaitu pada tanggal 10 Zulhijjah, sehari selepas jemaah haji berwukuf di Arafah. Hari-hari selepas yaum an-nahr merupakan hari-hari Tasyrik, yang ada hukumnya yang tersendiri pula menurut Islam.

Justeru, setelah penguasa Makkah menetapkan semua itu, maka seluruh negeri kaum Muslimin seharusnya mengikut ketetapan tersebut yang dengan itu kaum Muslimin akan bersatu dalam menyambut Idul Adha pada hari yang sama. Tidak sepatutnya bagi mana-mana negeri kaum Muslimin untuk melakukan rukyah sendiri dan menetapkan Idul Adha sendiri, setelah nas mengenai hal ini sangat jelas. Apatah lagi dengan melakukan rukyah sendiri dan menetapkan Idul Adha sendiri, akan menyebabkan umat Islam sentiasa terpecah dalam menyambut Idul Adha yang seharusnya disambut pada hari yang sama.

Selain daripada nas di atas, kewajipan kaum Muslimin untuk beridul Adha (dan beridul Fitri) pada hari yang sama telah ditunjukkan oleh banyak nas lainnya. Antaranya:

الفِطْرُ يَوْمَ يُفْطِرُ النَّاسُ، وَالأَضْحَى يَوْمَ يُضَحِّي النَّاسُ

“Idul Fitri adalah hari di mana umat manusia berbuka (selesai Ramadhan) dan ‘Idul Adha adalah hari di mana umat manusia menyembelih korbannya” [HR. Tirmidzi dari ‘Aisyah (ra)]

Imam Tirmidzi juga meriwayatkan hadis lain dengan lafaz yang berbeza:

الصَّومُ يومَ تصُومُونَ، والفِطرُ يومَ تُفطِرُون، والأَضحَى يومَ تُضَحُّونَ

“Berpuasa (Ramadhan) adalah hari di mana kalian berpuasa, Idul Fitri adalah hari di mana kalian berbuka (selesai Ramadhan), dan ‘Idul Adha adalah hari di mana kalian menyembelih (haiwan korban)” [HR. Tirmidzi dari Abu Hurairah (ra)].

Hadis-hadis di atas dengan jelas menunjukkan bahawa Idul Adha disambut pada hari jemaah haji melakukan penyembelihan korban iaitu pada tanggal 10 Zulhijah, iaitu sehari selepas wukuf di Arafah

Perlu difahami bahawa kaum Muslimin hendaklah menyambut Idul Adha pada hari yang benar menurut syarak, kerana pada hari-hari dalam mengerjakan manasik haji itu terdapat hukum tidak boleh dilanggar. Abu Hurairah (ra)  meriwayatkan:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ بِعَرَفَةَ

“Sesungguhnya Rasulullah (saw) melarang berpuasa pada hari Arafah (bagi jamaah haji yang ada) di padang Arafah” [HR. Abu Daud, Nasa`i dan Ibnu Khuzaimah].

Puasa (hari) Arafah disunnahkan bagi orang-orang yang tidak mengerjakan haji tetapi tidak dibenarkan bagi mereka yang sedang melakukan ibadah haji. Dengan kata lain, jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah pada tanggal 9 Dzulhijjah itu tidak dibenarkan berpuasa.

Hakikatnya, hari Arafah (hari di mana jemaah haji sedang melakukan wukuf di Padang Arafah) itu hanya satu adanya, atau hanya sehari sahaja iaitu pada 9 Zulhijjah (bersamaan 27 Jun).

Apabila terjadi perbezaan Idul Adha contohnya pada tahun ini, umat Islam di Malaysia menyambut Idul Adha pada hari Khamis (29 Jun), maka persoalannya bilakah kita akan berpuasa Arafah? Jika kita berpuasa Arafah pada 28 Jun, hakikatnya jemaah haji sudah pun memasuki yaum an-nahr (Idul Adha) pada tarikh tersebut atau dengan kata lain, para jemaah sudah pun selesai wukuf di Arafah. Bagaimana mungkin kita berpuasa Arafah pada hari di mana kaum Muslimin tidak lagi berwukuf di Arafah?!

Bagaimana mungkin untuk kita berpuasa Arafah pada hari penyembelihan korban, iaitu pada hari di mana jemaah haji sedang menyambut Idul Adha?

Dan bagaimana mungkin kaum Muslimin di Malaysia merayakan Idul Adha pada hari di mana jemaah haji sudah memasuki hari awal Tasyriq (tanggal 11 Dzulhijjah)? Sedangkan Idul Adha menurut Islam adalah yaum an-nahr, bukannya yaum at-Taysriq!

Sesungguhnya berpuasa pada hari Idul Adha adalah diharamkan oleh Islam. Daripada Abu Hurairah (ra):

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ يَوْمِ الْأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ

“Sesungguhnya Rasulullah (saw) melarang berpuasa pada dua hari iaitu hari Idul Fitri dan hari Idul Adha” [HR. Bukhari dan Muslim].

Selain itu, umat Islam juga diharamkan berpuasa pada hari Tasyriq, sebagaimana sabda Rasulullah (saw):

أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ وَذِكْرٍ لِلَّهِ

“Hari-hari Tasyriq adalah hari-hari untuk makan dan minum serta mengingat Allah” [HR. Muslim].

Sebagaimana telah disebutkan di awal, sesungguhnya perbezaan ini bukanlah murni berasal daripada perbezaan fiqh, namun kerana wujudnya nation-states yang memisahkan umat Islam kepada lebih 50 buah negara hasil daripada penjajahan. Pemerintah setiap negara telah menetapkan hari raya mereka sendiri tanpa mengikuti nas, malah tanpa mempedulikan penyatuan umat Islam yang mereka kononnya laungkan dari semasa ke semasa.

Selagi umat Islam tidak bersatu di bawah satu pemerintahan dan satu negara – Khilafah, maka selagi itulah perbezaan ini akan terus wujud. Tidak ada jalan lain lagi untuk mempersatukan hari raya umat Islam kecuali dengan tegaknya Khilafah, sebuah institusi politik yang kita wajib usahakan bersama-sama.

Wallahu a’lam.