Ikuti titah AS, tentera Pakistan terus bunuh rakyatnya sendiri, 60 terkorban
“Pasukan keamanan menghancurkan sebuah kem latihan dan tempat persembunyian militan di Peochar di Lembah Swat, dan telah mengorbankan 60 nyawa dan puluhan lain cedera,” kata seorang pegawai keamanan kepada media.
Beberapa sumber dari daerah itu telah memastikan bahawa mangsa yang terkorban dalam kejadian tersebut adalah seramai 60 orang, dan dijangka akan meningkat apabila mayat-mayat yang selebihnya ditemui.
Seorang pegawai keamanan telah mengatakan bahawa serangan udara itu telah dilakukan sebelumnya di Bajaur, yang melibatkan pertempuran sengit di antara tentera Pakistan dan tentera gerila pada bulan Ogos yang telah mengorbankan 10 orang.
“Helikopter dan jet tempur Pakistan mengebom tempat persembunyian militan, dan mengorbankan 10 pemberontak dan 13 orang lainnya cedera,” kata seorang pegawai tinggi keamanan kepada AFP.
Kawalan ketat dilakukan oleh tentera Pakistan di daerah Khar, iaitu kota utama di Bajaur. Menurut warga tempatan, selebaran-selebaran yang meminta penduduk mengusir militan dijatuhkan dari sebuah helikopter pada hari Jumaat.
Badan pelarian PBB mengatakan bahawa, seramai hampir 190,000 orang meninggalkan rumah mereka di Bajaur sejak pertempuran itu bermula.
“Jumlah ini mencakup lebih dari 168,000 rakyat Pakistan yang kini berlindung di wilayah perbatasan barat laut dan 20,000 rakyat lagi Pakistan dan Afghanistan yang melarikan diri ke Afghanistan Timur,” kata badan PBB itu.
Pihak tentera Pakistan mendakwa, pada penghujung September lalu, Bajaur telah dilanda pertempuran paling sengit sejak Pakistan bekerjasama dengan AS dalam kempen melawan pengganas (baca: umat Islam) pada 2001.
Menurut tentera lagi, lebih dari 1,000 orang (sebilangan besar dari kalangan Muslim) terkorban sejak mereka melancarkan serangan di Bajaur pada awal bulan Ogos, termasuk komandan operasional Al-Qaeda di kawasan itu, iaitu Abu Saeed Al-Masri yang berwarganegara Mesir.
Bajaur, yang bersempadan dengan wilayah Kunar, Afghanistan, menjadi medan pertempuran yang sengit di antara pasukan Pakistan dan tentera gerila Muslim semenjak Islamabad bekerjasama dengan AS dalam “perang melawan teroris” pada 2001.
Daerah itu juga dihentam serangan rawak yang hampir mengenai Zawahiri, iaitu orang kedua Osama bin Laden, pada Januari 2006.
Terdapat sekitar 70,000 pelarian Afghanistan di Bajaur, yang tinggal di sana sejak akhir 1970-an setelah mereka melarikan diri dari pencerobohan Soviet Union (Rusia) di Afghanistan.
Suku kawasan di Pakistan dilanda kekerasan sejak ratusan pejuang Taliban dan pasukan gerila Al-Qaeda melarikan diri ke wilayah itu setelah campur tangan AS pada akhir 2001 yang telah menggulingkan pemerintahan Taliban di Afghanistan.
Pasukan Amerika mendakwa daerah perbatasan itu digunakan kelompok militan sebagai tempat untuk melakukan latihan, sekali gus markas yang menjadi kekuatan dan pelaksanaan serangan terhadap pasukan koalisi (perikatan) di Afghanistan.
Pakistan semakin mendapat tekanan antarabangsa agar menumpaskan kelompok militan di wilayah barat laut dan suku kawasan tatkala meningkatnya serangan-serangan lintas-sempadan pemberontak terhadap pasukan internasional di Afghanistan.
Pada hari Sabtu yang lalu (18/10/08), sekitar 168 orang yang dianggap militan ditangkap, seperti yang dinyatakan oleh tentera Pakistan.
Sementara itu, ribuan kaum Muslimin pada hari yang sama turun ke jalan di Peshawar menentang keras kebiadaban tentera Pakistan yang telah menjadi tali barut Amerika. Mereka melaungkan slogan “Anti Amerika”. Sebuah kain rentang bertulis “Orang yang tidak suka Amerika bergabung dalam aksi ini”.
Beberapa media Barat, senantiasa mengaitkan kelompok Taliban ini dengan peristiwa 11 September. Semakin jelas, tindakan tentera Pakistan ini hanya meneruskan keinginan Amerika Syarikat dalam seluruh siri serangan ke atas kaum Muslimin melalui kempen globalnya “war on terrorism” yang sebenarnya tiada lain adalah “war on Islam”.
Demikianlah, pembunuhan demi pembunuhan ke atas kaum Muslimin terus terjadi di seluruh dunia. Apa yang lebih menyedihkan adalah tindakan tersebut adalah dilakukan oleh tentera yang majoriti adalah orang-orang Islam juga. Sungguh potensi umat yang besar ini telah dimanfaatkan oleh para penguasa yang menjadi pengekor kepada tuan-tuan mereka (AS), serta tunduk pada titah mereka. Persoalan yang muncul dari apa yang berlaku di atas adalah, mengapa pasukan tentera Pakistan terus menerus menggempur orang-orang di kawasan pergunungan, sementara mereka berdiam diri di atas pembunuhan yang dilakukan tentera Amerika di perbatasan Pakistan, Afghanistan dan Irak? Jadi, dapat dilihat bahawa pembunuhan yang mereka lakukan ke atas kaum Muslim (yang dituduh pendukung Taliban) adalah perintah dari Amerika Syarikat.
Sungguh menyedihkan! Hari ini potensi umat yang begitu besar dengan tenteranya yang begitu banyak hanya digunakan untuk membunuh saudara-saudara seagama mereka sendiri. Ini terjadi ketika kaum Muslimin tidak lagi memiliki kekuatan, kerana sistemnya telah dicabut dari akar-akarnya. Suatu hari nanti, Khilafah akan mengembalikan potensi umat tersebut untuk membebaskan negeri-negeri umat Islam ini dan kemuliaan yang selama ini didambakan akan muncul kembali. Insya Allah