Imej buruk UMNO tidak akan berubah, kecuali tukar dasar dan terap Islam
Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo menyarankan calon profesional muda yang pertama kali bertanding untuk diketengahkan bagi memulihkan imej UMNO di Selangor. Menurutnya lagi, reputasi buruk UMNO di mata umum ternyata menyebabkan parti tersebut gagal menarik generasi untuk mengundi dalam pilihanraya umum [The Malay Mail Online, 6/10/2017].
Sesungguhnya reputasi buruk UMNO yang dinyatakan oleh bekas MB Selangor itu bukanlah berdasarkan persepsi semata-mata, bahkan telah terbukti dengan beberapa siri penyelewengan dan rasuah melibatkan Khir Toyo sendiri dan ramai lagi barisan pemimpin UMNO serta ahli-ahlinya di peringkat akar umbi. Di samping itu, kenyataan dan saranan Khir itu juga menunjukkan betapa UMNO sudah semakin ketandusan pemimpin untuk memulihkan imej parti Melayu yang semakin merudum itu.
Khir Toyo sendiri baru habis menjalani hukuman penjara atas kesalahan penyelewengan. Kita tahu bahawa beliau merupakan seorang doktor gigi, salah satu daripada golongan profesional. Justeru, kes beliau sendiri menunjukkan bahawa dengan membawa masuk golongan profesional sebagai calon UMNO/BN dalam pilihanraya umum akan datang, langsung tidak boleh menjamin ketelusan dan amanah dalam barisan kepimpinan seandainya calon tersebut tidak mempunyai integriti.
Sementelahan budaya politik dalam UMNO sendiri dipenuhi dengan rasuah yang sudah tidak terbendung yang mereka namakan sebagai “politik wang”. Sejarah dan realiti parti itu telah membuktikan barah politik wang dalam UMNO memang sudah tidak dapat diubati lagi. Lihat sahaja kes Tan Sri Isa Samad dan lain-lain yang telah disabitkan kesalahan oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana terlibat dalam politik wang pada pemilihan parti tahun 2004. Sampai kini kaki-kaki rasuah dalam UMNO masih disanjung dan sentiasa mendapat tempat, malah berada di maqam tertinggi parti dan juga kerajaan.
Di samping itu, sudah menjadi rahsia terbuka (open secret) bahawa terdapat ramai ahli dan pemimpin UMNO yang oportunis dengan menjadikan keahlian dalam UMNO sebagai jalan mengaut keuntungan dalam perniagaan dan mendapatkan tender projek-projek kerajaan. Tidak menghairankan jika ada yang sanggup berbelanja besar bagi mendapatkan tempat dalam barisan kepimpinan parti. Semua orang tahu yang UMNO adalah ibu duit, maka atas dasar itulah ramai orang masuk UMNO.
Walaupun mungkin bukan semua ahli UMNO yang menyertai parti itu dengan tujuan tersebut, namun budaya tersebut sudah mendarah daging dalam parti Melayu sekular ini. Jadi, jangan haraplah sesiapa yang ikhlas memasuki UMNO, berjaya untuk membersihkannya dari dalam. Seikhlas mana sekalipun seseorang itu, jika dia terjun ke dalam tong sampah untuk membersihkannya dari dalam, nescaya keseluruhan anggota badannya akan bergelumang dengan sampah dan kebusukan-kebusukannya.
Sesungguhnya imej UMNO sudah tidak dapat dibaiki lagi. UMNO boleh survive kerana dengan jumlah wang yang tak terkira yang ada padanya, ia masih mampu menaburkan dedak kepada ahlinya dan kepada rakyat. Imej UMNO tidak akan dapat diubah dengan masuknya golongan profesional, malah kalau dimasuki seribu ulama sekalipun ia tidak akan merubah imej parti Melayu itu. Ini kerana, selain rasuah dan penyelewengan yang sudah sebati dengan UMNO, perjuangan assabiyyah Melayu yang dibawa oleh UMNO jelas merupakan suatu yang haram di sisi Islam.
Imej UMNO hanya akan berubah apabila ia menukar dasar perjuangan bangsa yang dikendongnya sejak 71 tahun yang lalu, kepada Islam. Dan sebagai parti yang memerintah, ia menukar sistem sekular yang diterapkannya ke atas rakyat sekarang, kepada sistem Islam sepenuhnya dalam bingkai Negara Khilafah di atas jalan kenabian.
Wallahu a’lam.