Indahnya Kehidupan di bawah naungan Islam

Kejayaan Rasulullah (saw) dalam membangun peradaban manusia yang bermula sejak zaman kepemimpinan baginda (saw) di Madinah (622-632M), sesungguhnya didahului oleh tempoh 13 tahun yang merupakan langkah persiapan ketika fasa dakwah di Makkah. Kehidupan masyarakat Arab Jahiliah sebelum itu sangat mundur dan jahil dalam segenap aspek kehidupan samada akidah, sosial, ekonomi, mahu pun politik.

Semasa zaman jahiliah, akidah yang dianuti ketika itu jelas bertentangan dengan akidah Islam, sama ada dari aspek keyakinan, perkataan mahupun perbuatan seperti penyembahan berhala, kepercayaan karut, ikutan membuta tulis kepada nenek-moyang dan sebagainya. Pada masa itu, Kaabah dikelilingi berhala-berhala yang disembah menurut kepercayaan mereka. Selain itu, terdapat juga kepercayaan yang diamalkan seperti tilik nasib, animisme dan juga sihir. Ternyata masyarakat jahiliah lebih mempercayai bomoh dan juga tangkal azimat dan amat jelas bahawa mereka telah mempersekutukan Allah (swt).

Kehadiran Islam mengubah akidah masyarakat Arab pada waktu itu. Lalu terbentuklah generasi awal Muslim yang berteraskan kepercayaan kepada Allah Yang Maha Esa iaitu mentauhidkan Allah dan mengakui kerasulan Nabi Muhammad (saw) serta berjuang melaksanakan syariat Islam. Rahsia kejayaan Islam dalam mengembangkan sayapnya ini terletak pada akidahnya yang benar dan bertepatan dengan fitrah manusia.

Kemurnian akidah Islam mudah diterima oleh pelbagai bangsa. Setelah menganut Islam, mereka bukan sekadar meyakini, malah menjadi pengembang akidah dan Deen ini. Pengutusan Rasulullah (saw) bukan sekadar membawa akidah yang benar, bahkan menolak agama-agama selainnya serta membatalkan syariat-syariat ajaran yang dibawa oleh para Rasul (Utusan) Allah yang terdahulu. Allah (swt) berfirman:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam itu sebagai agama kamu” [TMQ al-Ma’idah (5):3].

Daripada aspek sosial pula, dalam kehidupan sebelum tertegaknya Daulah Islam, masyarakat jahiliah melakukan perbuatan seperti zina, pergaulan bebas, minum arak dan membunuh anak perempuan. Mereka juga terkenal dengan sikap suka berperang kerana pegangan ashabiyyah (perkauman) yang kuat. Kehidupan mereka yang bebas melakukan apa sahaja tanpa batasan sangat berlawanan dengan fitrah manusia dan mengakibatkan kekacauan dalam masyarakat.

Setelah kedatangan Islam, perkara utama yang Rasulullah (saw) lakukan ialah menyatukan kaum Muslimin dengan ikatan persaudaraan Islam di bawah satu akidah. Kedudukan perempuan dihormati dan dimuliakan, pergaulan dibataskan antara lelaki dan perempuan menurut apa yang Allah perintahkan. Hal ini dilaksanakan bertepatan dengan pengaturan hukum bagi menjamin keberlangsungan hidup bermasyarakat yang diredhai oleh Allah (swt). Selain itu, ibadah turut diaturkan dengan keyakinan dan kaifiyat (tatacara) yang benar, tanpa sebarang perantara seperti yang dilakukan oleh kaum Musyrikin terdahulu.

Manakala dari sudut ekonomi pula, ketika zaman jahiliah, aktiviti merompak, penipuan, manipulasi, dan urusniaga yang penuh dengan ribawi menjadi sumber utama ekonomi masyarakat. Unsur penipuan dalam timbangan, judi dan gharar berleluasa dalam masyarakat jahiliah. Pada ketika itu juga, mereka mengamalkan eksploitasi perdagangan satu hala dengan mengenakan tekanan terhadap kaum Badwi.

Kedatangan Islam telah memperkenal dasar ekonomi mengikut ketetapan dari Allah (swt) Islam seperti penghapusan sebarang bentuk riba, penipuan dan penindasan. Hal ini telah menjamin kesejahteraan masyarakat di samping dapat mengekang penindasan dalam transaksi jual beli. Pelbagai amalan batil dan menindas dilarang dan terhapus setelah kekuasaan berada di tangan Islam.

Sabda Rasulullah (saw):

“Sesungguhnya Nabi (saw) melarang daripada jual beli gharar” [HR Imam Muslim].

Firman Allah (swt):

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُضَاعَفَةً ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ وَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keberuntungan. Peliharalah dirimu dari api neraka, yang disediakan untuk orang-orang yang kafir” [Ali Imran (3): 130].

Sebelum kedatangan Islam, masyarakat jahiliah gagal dalam menjamin keberlangsungan siyasah (pengurusan/pemeliharaan urusan manusia). Hal ini boleh dilihat dari pengaturan urusan ekonomi, sosial, pendidikan, keselamatan dan sebagainya. Setelah dakwah diperintahkan untuk dilaksanakan secara terbuka, keterlibatan Rasulullah (saw) dalam urusan politik di Makkah, mendapat tentangan yang hebat daripada pembesar-pembesar Quraisy. Hal ini kerana, dakwah Rasulullah (saw) dan para Sahabat (ra) merangkumi segenap aspek kehidupan termasuklah dalam soal politik (ri’ayah syu’un al-ummah – pengaturan dan pemeliharaan urusan-urusan umat). Keadaan ini mengancam status quo para pembesar musyrikin Quraisy dan gaya hidup mereka serta kepercayaan yang diwarisi sejak berzaman dari nenek-moyang mereka.

Setelah diangkat menjadi Rasul, Rasulullah (saw) membentuk sebuah kutlah (jemaah) dakwah dalam kalangan Sahabat yang gigih menyeru kepada Islam. Baginda (saw) mengecam praktik sosial yang keji seperti menanam anak perempuan hidup-hidup (rujuk surah at-Takwir ayat 8-9); menyerang kelakuan buruk beberapa tokoh masyarakat jahiliah seperti Abu Lahab (rujuk surah al-Masad ayat 1-3); mencela sistem ekonomi yang zalim (rujuk surah ar-Rum ayat 39); dan turut memerhatikan perkembangan kedudukan geopolitik antarabangsa (rujuk surah ar-Rum ayat 2-4).

Setelah berdirinya Daulah Islam di Madinah, Rasulullah (saw) turut berperanan sebagai seorang ketua negara, memimpin masyarakat yang berbilang agama dan bangsa di samping peranan baginda (saw) sebagai Rasul untuk menyampaikan wahyu.

Begitu banyak kitab sirah yang telah merakamkan perjalanan aktiviti politik baginda (saw) yang begitu cemerlang sehingga mampu menyatukan ummah di bawah kepimpinannya, menangani pelbagai ancaman musuh dari dalam dan luar negara, menguruskan urusan ekonomi, sosial, pendidikan, keselamatan dan sebagainya.

Islam didukung oleh kekuasaan dalam aspek kenegaraan yang mengatur masyarakat dengan sistemnya yang berdasarkan wahyu. Dengan negara juga, Islam turut disebarluaskan melalui pendekatan dakwah dan jihad selaku polisi luar negara yang turut diteruskan oleh para Sahabat (ra) dan para Khulafa’ setelah kewafatan baginda (saw). Dengan izin-Nya, bumi Makkah juga dibuka dan dibersihkan daripada kesyirikan setelah sekian lama diselubungi amalan-amalan jahiliah. Lalu umat manusia berbondong-bondong masuk Islam dan hidup sejahtera di bawah naungannya.

Demikianlah sedikit ringkasan keindahan Islam tatkala ia diterapkan secara kaffah dalam segenap aspek kehidupan. Bukan sekadar urusan individu mahupun aturan kemasyarakatan, bahkan meliputi aspek kenegaraan dan pemerintahan. Justeru, hanya dengan penerapan secara kaffah, barulah rahmat akan dapat dinikmati oleh umat Islam sekarang, dan kemakmuran akan dapat dikecapi sebagaimana yang pernah dikecapi oleh umat Islam suatu ketika dahulu.

Perlu difahami bahawa sirah perjalanan dakwah Rasulullah (saw) dan peristiwa hijrah yang tercatat dalam lembaran sejarah umat ini, bukanlah sekadar catatan yang diperingati melalui acara sambutan atau dikenang sepintas lalu dalam silabus pengajian mahupun ceramah-ceramah. Di dalamnya terdapat ibrah dan petunjuk yang wajib diteladani oleh kita selaku pewaris legasi yang ditinggalkan oleh junjungan mulia, Rasulullah (saw).

Wallahu a’lam.