Industri Jus Ganti Arak..Hanya Akan Terealisasi Jika Kerajaan Tidak Lagi Sekular

Umum mengetahui bahawa di Malaysia terdapat dua buah kilang arak yang menjadi ‘mercu tanda kemegahan’ negeri Selangor. Keuntungan yang mencecah berbilion ringgit saban tahun menjadikan industri arak di antara industri yang menyumbang cukai terbesar di Malaysia. Oleh itu, sebagai sebuah kerajaan kapitalis yang tidak mempedulikan halal-haram, usaha untuk menutup kilang arak adalah suatu yang mustahil dilakukan, walaupun dalam kerajaan terdapat parti politik yang kelihatan membawa perjuangan Islam.

Sebelum ini, kilang-kilang arak ini telah pun menerima lawatan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, yang juga ahli parlimen Shah Alam. Namun, lawatan tersebut bukanlah atas dasar amar makruf nahi mungkar untuk menutup kilang najis tersebut, tetapi atas alasan menjaga kebajikan pekerja-pekerja Muslim yang bekerja di situ. Inilah antara bukti parti mana pun yang menjadi kerajaan, dari dulu hingga sekarang sama sahaja, sama-sama membiarkan @ membenarkan kilang najis tersebut terus beroperasi. Walhal Rasulullah (saw) dengan tegas melaknat mereka yang terlibat dalam proses pembuatan dan pengeluaran arak. Sabda baginda,

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ r فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

“Rasulullah (saw) melaknat dalam hal khamr sepuluh golongan: yang memerahnya, yang diperahkan untuknya, yang meminumnya, yang membawanya, yang dibawakan untuknya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang memakan harganya, yang membelinya dan yang dibelikan untuknya” [HR at-Tirmidzi dan Ibn Majah].

Apa Nasib Pekerja Jika Tutup Kilang Arak?

Terdapat pihak yang berhujah, sekiranya kilang arak ditutup, bagaimana pula dengan nasib para pekerja kilang tersebut? Hujah ini, walaupun kelihatan logik dan penuh prihatin, namun ia adalah batil di sisi Islam. Bagi pekerja Muslim, mereka sejak awal tidak sepatutnya bekerja di kilang najis tersebut kerana hukumnya haram. Manakala bagi pekerja non-Muslim, walaupun tidak salah dalam agama mereka untuk bekerja di situ, namun oleh kerana kewujudan kilang itu sendiri adalah salah di sisi Islam, maka siapa pun yang bekerja di situ dikira telah melanggar hukum Islam yang merupakan undang-undang negara. Dalam Negara Islam (Khilafah), mereka tidak akan dibenarkan bekerja di kilang arak, malah tidak akan wujud pun kilang arak untuk mereka bekerja di dalamnya.

Persoalan yang wajar dipertimbangkan sekarang ialah, sekiranya kerajaan sekular yang ada ini bertaubat dan mengambil keputusan untuk menutup kilang arak, atau tatkala berdirinya Khilafah, apakah nasib pekerja kilang tersebut dan apa yang perlu dilakukan dengan kilang tersebut – samada perlu dirobohkan atau bagaimana?

Bagi mereka yang menjadikan Islam sebagai tolok-ukur dalam berfikir dan bertindak, atau bagi mereka yang benar-benar berfikir dan tidak berdolak-dalik dalam mencari penyelesaian, jawapan kepada persoalan tersebut sudah semestinya ada. Pokoknya sekarang ialah kilang arak itu wajib ditutup kerana haram, dan menimbulkan banyak kemudaratan dalam masyarakat, termasuklah mewujudkan pemandu mabuk. Setelah ditutup, kilang tersebut tidak perlu dirobohkan, kerana menurut Islam, hukum kilang adalah berdasarkan produk yang dikeluarkan. Jika produk yang dikeluarkan itu halal, maka hukum kilang itu juga adalah halal.

Nah di sinilah pentingnya memahami perkara ini dalam usaha kita mencari penyelesaian yang diredhai oleh Allah (swt). Penyelesaiannya adalah dengan menutup kilang haram tersebut dan menggantikannya dengan kilang halal (yakni yang mengeluarkan produk yang halal). Jika kita perhatikan dari sudut kesesuaian, kilang jus adalah yang paling sesuai untuk menggantikan kilang arak tersebut. Ini kerana pemprosesan jus yang hampir sama dengan arak, tidak merumitkan keadaan dan boleh menggunakan teknologi dan mesin yang sedia ada.

Kenapa Industri Jus?

Terdapat beberapa faktor yang menjadikan industri jus sebagai salah satu pilihan terbaik untuk menggantikan arak, antaranya:

  • Boleh memanfaatkan kilang sedia ada dan tidak memerlukan perubahan teknologi atau peralatan yang besar. Pemprosesan seperti mixing, filling, pasteurization, packaging boleh dilakukan menggunakan sebahagian besar peralatan dan teknologi yang sedia ada;
  • Minuman jus sesuai diminum oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan umur, di samping terbukti baik untuk kesihatan;
  • Iklim Malaysia mempunyai suhu yang hampir seragam, kelembapan yang tinggi, dan hujan yang banyak, yang menyuburkan pelbagai tanaman serta buah-buahan yang boleh dijadikan jus;
  • Muslim (mahupun non-Muslim) yang sebelumnya bekerja di kilang arak atau kedai-kedai serbaneka yang menjual arak atau apa sahaja pekerjaan terkait rantaian arak, tidak akan kehilangan pekerjaan dan boleh terus bekerja dengan memperolehi rezeki yang halal lagi barokah.

Selain industri jus, atau seandainya industri jus telah banyak sehingga boleh mewujudkan persaingan, industri lain yang bersesuaian juga boleh menggantikan industri arak – contohnya industri tenusu. Pelbagai produk susu lembu, susu kambing, dan minuman yogurt boleh diproses dengan melakukan sedikit perubahan teknologi, peralatan, suhu dan pemprosesan. Secara tidak langsung, langkah ini juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap susu import.

Dalam Islam, orang-orang kafir dibenarkan meminum arak, tetapi hanya dalam ruang lingkup persendirian atau di rumah-rumah mereka sahaja. Mendirikan kilang arak atau memperjual- belikan arak secara besar-besaran atau terbuka adalah dilarang. Orang-orang kafir boleh membuat arak sendiri jika mereka ingin meminumnya, atau mereka boleh mengimportnya dalam kuantiti yang kecil untuk kegunaan peribadi.

Hukum Menggunakan Wadah Bekas Arak

Persoalan seterusnya ialah bolehkah menggunakan mesin-mesin yang sedia ada di kilang, yang selama ini diguna untuk memproses arak? Di sini kita perlu fahami bahawa arak adalah najis, yang sekali gus bermaksud apa jua bekasnya, ia dikira sebagai bekas yang telah terkena najis. Dalam hal ini, Ath-Thabarani telah mengeluarkan dalam Mu’jam al-Kabir dari Abu Tsa’labah al-Khusyani, ia berkata: “Aku mendatangi Rasulullah (saw) lalu aku katakan: “Wahai Rasulullah, aku ada di wilayah ahli kitab dan mereka makan daging babi di bejana dan meminum khamar di dalamnya. Apakah aku (boleh) makan dan minum dengan bejana itu…? Kemudian Rasulullah (saw) bersabda:

وَإِنْ وَجَدْتَ عَنْ آنِيَةِ الْكُفَّارِ غِنًى فَلَا تَأْكُلْ فِيهَا، وَإِنْ لَم تَجِدْ غِنًى فَارْحَضْهَا بِالْمَاءِ رَحْضًا شَدِيدًا ثُمَّ كُلْ فِيهَا

“Jika kamu menemukan bejana yang lain (selain bejana kaum kafir) maka jangan kamu makan dengan bejana kaum kafir itu. Dan jika kamu tidak menemukannya, maka bilaslah dengan air baik-baik, kemudian makanlah dengannya (dengan bejana kaum kafir itu).”

Manakala menurut riwayat ad-Daraquthni: Al-Husain bin Ismail telah menceritakan kepada kami, telah menceritakan kepada kami Sa’id bin Yahya al-Umawi, telah menceritakan kepada kami Abdurrahim bin Sulaiman dari al-Hajjaj bin Arthah dari Makhul dari Abu Idris dari al-Khusyaniy, ia berkata: “Aku katakan: Wahai Rasulullah aku bergaul dengan orang-orang musyrik dan kami tidak punya wadah atau bejana selain bejana mereka. Al-Khusyani berkata: ‘Maka Rasulullah (saw) bersabda,

اسْتَغْنُوا عَنْهَا مَا اسْتَطَعْتُمْ فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَارْحَضُوهَا بِالْمَاءِ فَإِنَّ الْمَاءَ طَهُورُهَا ثُمَّ اطْبُخُوا فِيهَا

“Jauhilah darinya semampu kalian, dan jika kalian tidak menemukan selain (wadah) itu, maka cucilah ia dengan air, kerana air itu menyucikannya, kemudian masaklah dengannya.”

Kedua-dua hadis ini menunjukkan dengan jelas bahawa khamr dan babi adalah najis dan wadah yang terkenanya juga adalah najis. Kaum Muslimin diperintahkan untuk mencari bekas bersih dahulu, jika tidak ditemukan maka barulah dibenarkan menggunakan bekas yang digunakan oleh kaum kafir, setelah membersihkannya terlebih dahulu. Berdasarkan hadis ini, bekas najis tersebut hanya perlu dibersihkan dengan air sahaja tanpa perlu disertu.

Jadi, sekiranya kita ingin menukar bekas/mesin membuat arak, untuk membuat jus, maka kita hendaklah mencari bekas/mesin lain yang bersih terlebih dahulu, dan sekiranya tidak ada, atau tidak mampu untuk mengadakannya, maka kita dibenar menyucikan bekas/mesin tersebut dengan air sebelum menggunakannya.

Kesimpulan

Sesungguhnya kerajaan mempunyai pilihan sama ada untuk terus menyuburkan atau menguburkan industri haram ini. Namun, kita yakin selagi kerajaan ini masih sekular, maka selagi itulah industri arak akan terus subur. Selagi manfaat (dan bukannya halal-haram) yang dijadikan pegangan oleh kerajaan, dan selagi redha serta undi orang-orang kafir yang dicari, maka selagi itulah industri arak akan terus wujud, dan selagi itulah mereka terus mengundang laknat Allah (swt) dan Rasul-Nya ke atas mereka. Manakala bagi umat Islam, kita wajib memuhasabah dan menolak kerajaan sekular yang tidak berhukum dengan hukum Allah (swt) ini, dan berdosalah siapa sahaja yang terus menyokong dan bersekongkol dengannya. Sabda Rasulullah (saw),

سَتَكُونُ أُمَرَاءُ فَتَعْرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ فَمَنْ عَرَفَ بَرِئَ وَمَنْ أَنْكَرَ سَلِمَ وَلَكِنْ مَنْ رَضِىَ وَتَابَعَ..

“Akan ada para pemimpin, lalu kalian mengetahui (kemakrufannya) dan mengingkari (kemungkarannya). Siapa yang mengetahui (kemakrufannya), dia bebas. Siapa yang mengingkari (kemungkarannya), dia selamat. Akan tetapi (celakalah) siapa yang redha dan mengikuti (kemungkaran itu)…” [HR Muslim].

Wallahu a’lam.

 

Affan