Ingatlah pemimpin! Hanya Islam yang boleh membawa keadilan
Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan terus berpegang kepada teras dasar berkenaan iaitu untuk memenuhi keperluan dan menyelesaikan permasalahan setiap kaum yang ada di negara ini. “Apa jua nama dasar yang kita perkenalkan sama ada Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Negara dan Misi Nasional yang kita sedang perjuangkan pada hari ini, ia mesti merupakan dasar yang adil dan saksama kepada setiap kaum dalam negara kita.” [Utusan Malaysia]
Walaupun Timbalan Perdana Menteri memperkatakan tentang dasar baru yang kononnya boleh membawa keadilan kepada semua, namun ternyata tidak ada dasar apa pun yang sebenarnya dilaksanakan. Dasarnya ternyata lama cuma ‘namanya’ sahaja yang diperbaharukan. Itulah retorik yang cuba dibawa oleh orang yang disebut-sebut sebagai bakal PM Malaysia ini. Hakikatnya setakat ini, ternyata dasar yang dibuat kerajaan tidak memuaskan hati kaum lain baik di kalangan India mahupun Cina. Geng Hindraf telah lama dan hingga sekarang masih tidak puas hati dengan kerajaan, malah parti komponen BN sendiri baru sahaja menyatakan ketidakpuasan hati mereka dengan kuota ekuiti 30% yang diperuntukkan untuk bumiputera. Undang-udang keistimewaan Melayu sering kali menjadi isu panas yang menandakan ketidakpuasan hati mereka yang bukan Melayu terhadap dasar kerajaan. Justeru, dasar apakah yang diretorikkan oleh TPM yang kononnya adil bagi semua kaum?
Seperkara lagi, apakah ‘ukuran’ keadilan yang digunakan? Yang jelas, ia ternyata lahir dari akal semata-mata? Walhal sebagai Muslim, kita semua tahu bahawa sama sekali tidak akan wujud dan tidak boleh dikatakan ‘keadilan’ kecuali apabila berhukum dengan hukum Allah. Keadilan itu hanya akan tertegak apabila hukum Allah SWT dijalankan di atas muka bumiNya ini. Firman Allah SWT.
“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan…” [TMQ al-Hadid (57):25]
Sesungguhnya politik sekular tidak akan pernah membawa keadilan. Namun, bagi pemimpin yang bakal menduduki takhta tertinggi, maka sudah pasti mereka akan mewar-warkan sesuatu yang baik agar rakyat terpengaruh dan sentiasa menaruh harapan kepada mereka. Semasa awal Pak Lah memegang kekuasaan dahulu pun, perkara yang sama telah kita perhatikan. Slogan cemerlang, gemilang, terbilang dilaung-laungkan untuk meyakinkan rakyat bahawa beliau akan membawa suatu perubahan kepada rakyat amnya dan Malaysia khususnya. Namun, rakyat ternyata sedar bahawa slogan tersebut tidak lebih dari tembelang dan temberang belaka dan hal itu telah di terjemah oleh rakyat di dalam pilihan raya umum yang lalu.
Kini slogan hebat itu hanya menunggu hari-hari akhir hayatnya bersama pelaungnya akibat tekanan yang berterusan dari dalamnya sendiri. Seterusnya, kini datang pula TPM yang bakal mengambil alih jawatan PM yang melaungkan pula ‘dasar baru’ yang akan menjanjikan keadilan kepada semua. Apakah dasar baru yang diperkatakan itu?
Sebagai seorang Muslim kita yakin bahawa selagi sistem sekular-kapitalisme diteruskan, maka ianya bukanlah merupakan sebuah dasar baru. Hakikatnya ia hanyalah sistem kufur yang sama, cuma ‘orang’ yang menjalankannya sahaja yang bertukar. Umpama sebuah kereta buruk yang bertukar pemandu. Kereta itu pula diberi jenama baru agar ‘dilihat’ baru. Hakikatnya, kita akan melihat skrip lama yang akan dimainkan kembali seperti apa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang sebelumnya. Hanya pelakonnya sahaja yang bertukar sedangkan jalan ceritanya masih tetap sama.
Bagi mereka yang masih menjadikan akal sebagai neraca ukuran keadilan yang ingin dibawa, walhal segala hukum (undang-undang) yang diteruskan adalah undang-undang kufur Jahiliyyah, maka renunglah firman Allah SWT,
“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan, tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik dari Allah.” [TMQ al-Ma’idah(5):50]
Wahai bakal penerus dan pengganti Pak Lah! Perintah dan larangan kamu adalah sesuatu yang akan diikuti dan ditaati oleh pengampu-pengampu kamu yang jahil agama, baik dari kalangan pemimpin mahupun rakyat! Kamu boleh mendapat kebaikan dan pahala jika kamu memerintah dan melarang sebagaimana yang diperintahkan dan dilarang oleh Allah. Tetapi sebaliknya kamu akan mengundang murka Allah selaku Tuhan yang menciptakan kamu jika kamu terus mengekalkan sistem kufur yang dicipta oleh akal-akal manusia. Apakah kamu akan meneruskan sistem yang dibekalkan oleh kuffar penjajah dan yang disambung oleh pemimpin yang sebelum kamu atau kamu akan merebut peluang kekuasaan ini untuk mendapatkan kebaikan di dunia dan akhirat sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat yang menyambung sistem yang dibawa Nabi SAW iaitu sistem Khilafah? Petunjuk Allah ada di depan kamu, maka pilihlah jalan kamu dan Allah akan memilih sama ada syurga atau neraka untukmu…