Inilah Nasib Rakyat Dalam Dunia Kapitalisme
KUCHING: Seorang wanita mendakwa ibunya yang sedang kritikal dibiarkan hampir 30 minit di lorong Wad Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) dan tidak dihiraukan kakitangan perubatan yang bertugas ketika itu sehingga meninggal dunia akibat lewat menerima rawatan. Safinah Dinel, 29, dari Kampung Pulo Ulu, Petra Jaya, dekat sini, berkata dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari 16 Mac lalu, ibunya, Rakiah Bujang, 66, diarah menjalani pemeriksaan X-ray di hospital berkenaan bagi mengesan jika ada ketumbuhan pada paru-parunya. Beliau berkata, ibunya sebelum itu dimasukkan ke hospital pada 7 Mac kerana paru-paru berair, tetapi kembali stabil sembilan hari kemudian dan mampu bergerak sendiri serta dijangka dibenarkan keluar hospital selepas menjalani pemeriksaan X-ray berkenaan.
“Saya turut mengiringi ibu ke wad kecemasan menaiki ambulans hospital namun jururawat yang sepatutnya bersama kami di belakang, duduk di depan bersama pemandu. Sejurus tiba di wad kecemasan, ibu tiba-tiba sesak nafas dan meminta bantuan alat sokongan pernafasan. “Bagaimanapun Penolong Pegawai Perubatan (MA) yang bertugas sekadar melihat. Ada beberapa MA di kaunter wad kecemasan tetapi mereka tidak menghiraukan rayuan saya supaya rawatan segera diberikan kepada ibu,” katanya ketika ditemui, semalam. Safinah berkata, seorang doktor muncul kira-kira 30 minit kemudian dan mengarahkan ibunya segera dibawa mendapatkan rawatan, tetapi Rakiah yang turut menghidap diabetis dan kanser disahkan meninggal dunia jam 1.30 tengah hari berkenaan dipercayai akibat serangan jantung.
“Doktor bertugas memaklumkan ibu meninggal dunia sebelum sempat dimasukkan ke wad kecemasan. Apa yang saya kesalkan, kakitangan perubatan di wad itu tidak berbuat apa-apa, manakala pemandu ambulans pula menyuruh ibu yang kritikal segera turun dari pengusung kerana tidak mahu menunggu lama.
“Kami reda dengan pemergian ibu namun apa yang mengecewakan adalah cara layanan kakitangan hospital yang membiarkan arwah di lorong kecemasan walaupun keadaannya kritikal,” katanya yang bagaimanapun tidak bercadang mengambil tindakan lanjut kerana menerima kejadian itu sebagai takdir.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Zulkifli Jantan, ketika dihubungi meminta Safinah membuat laporan kepada pihaknya agar siasatan menyeluruh dapat dilakukan.
“Kita memerlukan laporan mengenai kejadian ini dan saya jamin ia akan disiasat sebelum sebarang tindakan dapat diambil. Berdasarkan maklumat awal daripada media, dakwaan ini agak mengejutkan kerana HUS mempunyai kakitangan secukupnya bagi mengendalikan kes kecemasan,” katanya.
Sumber : Berita Harian, 28/03/2010
Inilah Nasib Rakyat Dalam Dunia Kapitalisme
Di dalam dunia Kapitalisme jika anda ingin mendapatkan rawatan kesihatan yang terbaik maka anda perlu ada wang. Jika tidak, mungkin anda akan menerima nasib yang sama seperti kisah warga emas di atas. Pihak hospital tidak boleh disalahkan sepenuhnya kerana ia juga berkaitan dengan bilangan kakitangan dan kemudahan yang diperuntukkan kepada mereka oleh kerajaan Kapitalisme. Jika dibandingkan dengan peruntukkan dan penyelewengan di sektor lain, kerajaan yang memerintah terbukti gagal (atau enggan?) menyalurkan peruntukkan yang lebih wajar untuk rakyat di dalam perkhidmatan kesihatan. Bak kata pepatah: ’sekadar melepas batuk di tangga’.
Cuba bayangkan, apakah perasaan kita jika berada di pihak si anak arwah warga emas di atas? Dalam dunia Kapitalisme segala-galanya berorientasikan untung dan manfaat semata-mata. Kes di atas adalah sebahagian daripada kisah suka dan duka yang dialami oleh warganegara yang hidup di dalam dunia yang menerapkan Kapitalisme sebagai sistem kehidupan. Hatta negara Kapitalisme besar dunia iaitu Amerika sendiri yang kononnya adalah negara yang menjunjung hak asasi manusia juga tidak terlepas dari krisis kesihatan ini. Saat ini di Amerika, perkhidmatan kesihatan tidak dilihat sebagai suatu tanggungjawab yang wajib disediakan secara percuma oleh negara tetapi ianya dilihat sebagai hak istimewa. Rakyat perlu mempunyai insuran kesihatan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan. Cerita yang hampir sama dapat kita temui di dalam kebanyakan negara Kapitalisme.
Alangkah sengsaranya hidup di dalam dunia Kapitalisme? Keadaan ini tidak akan kita dapati di dalam Daulah Islamiyyah, negara Khilafah. Sejarah kegemilangan Khilafah di dalam mengurusi kehidupan rakyatnya termasuklah di dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan telah menjadi bukti yang cukup jelas bahawa Khalifah akan melaksanakan suatu polisi kesihatan yang terbaik untuk rakyatnya kerana ia menyakini bahawa tanggungjawab untuk mengurus urusan umat ini akan pasti dipersoalkan oleh Allah SWT di hari akhirat kelak dan bukan hanya semata-mata untuk menjaga dan melindungi dirinya daripada kritikan rakyat di bawah jagaannya. Catatan sejarah membuktikan semasa kegemilangan Khilafah pada zamannya, Khalifah telah menyediakan banyak hospital kelas satu dan doktor di beberapa bandaraya: Baghdad, Damaskus, Cairo, Jerusalem, Alexandria, Cordova, Samarkand dan banyak lagi. Bandaraya Baghdad sendiri memiliki 60 buah hospital yang menyediakan perkhidmatan rawatan kesihatan kepada pesakit yang dirawat sebagai pesakit dalaman dan juga sebagai pesakit luar dan memiliki lebih dari 1000 orang doktor.
Hospital seperti Bimaristan al-Mansuri, yang didirikan di Cairo pada tahun 1283, mampu menampung seramai 8000 orang pesakit dalam satu-satu masa. Ada 2 orang pembantu hospital untuk setiap pesakit yang bertugas untuk membantu pesakit agar mendapatkan layanan yang terbaik dan kemudahan yang secukupnya dan setiap pesakit mendapat ruang tidur dan tempat makan sendiri. Para pesakit yang ditahan di hospital mahupun pesakit luar diberi makanan dan ubat secara percuma.
Di samping hospital, klinik bergerak juga ada disediakan untuk memberikan rawatan perubatan kepada golongan cacat dan penduduk yang tinggal di kampung-kampung. Khalifah Al-Muqtadir Billah, memerintahkan bahwa setiap klinik bergerak mesti melawat setiap kampung dan berada di sana selama beberapa hari sebelum pindah ke kampung berikutnya. Inilah sebahagian dari tinta emas yang tercatat didalam sejarah kegemilangan Khilafah Islam. Maka dengan itu sudah sampai masanya Khilafah itu memimpin dunia.