Inilah Rumah Saya

Hidup tanpa peralatan canggih dan kemudahan sempurna bukan penghalang untuk seseorang menempa kejayaan. Malah kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan ibu bapa. Siapa sangka rumah yang kelihatan hampir roboh ini menyimpan sebutir permata berharga yang bakal menyinar suatu hari nanti.

Bahkan tidak seorang juga yang terfikir bahawa permata yang berlindung di rumah ini telah mencipta sejarah dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin. Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2.

Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.

Dia yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006, bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu. Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.

Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu yang menjadi tempatnya untuk berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.

Sumber : Utusan Malaysia , 14 Mac 2009

Rumah sempit yang sekali nampak seperti rumah penempatkan pelarian, tapi siapa sangka ianya menempatkan seorang permata yang merupakan pelajar paling cemerlang dalam peperiksaan SPM 2008. Hakikatnya, dalam kita meraikan permata ini, realiti yang dipaparkan merupakan suatu yang amat memalukan Malaysia. Seharusnya, bakat seperti Nik Nur Madihah seharusnya di kesan lama sebelum ini dan segenap kemudahan diberikan kepadanya. 

Jika dibandingkan dengan negara maju (yang mana Malaysia beraspirasi untuk mencapai status tersebut),  sekiranya terdapat pelajar pintar atau cemerlang, yang disedari sejak dari awal,  pelajar tersebut akan dibiayai oleh kerajaan itu ke sekolah-sekolah khas dan mungkin belajar terus ke Universiti seperti mana halnya seperti Lord Kelvin yang memasuki Universiti Glasgow pada umur 10 tahun. Kelvin kemudiannya mendapat asuhan dan pendidikan daripada pakar-pakar di dalam bidang masing-masing sehingga beliau menjadi ahli matematik dan ahli fizik yang terkemuka pada zamannya yang bertanggungjawab menerbitkan beberapa teori penting di dalam matematik dan fizik.

Perkara ini juga berlaku pada zaman sekarang, di mana negara maju bukan sahaja mencari bakat terpendam pelajar-pelajar pintar di dalam negara mereka sendiri, tetapi juga mencari bakat tersebut di dalam negara-negara umat Islam. Sehinggakan pelajar dari negara umat Islam itu boleh ditawarkan biassiwa untuk belajar di Universiti terkemuka di dunia pada umur yang muda, dan ditawarkan kerakyatan di negara  penaja  tersebut.

Jumlah populasi remaja Muslim di negara-negara umat Islam adalah jauh lebih ramai daripada negara Barat, disebabkan oleh pertambahan penduduk di Barat yang lebih rendah daripada pertambahan penduduk di negara umat Islam. Negara umat Islam sebenarnya penuh dengan pelajar-pelajar pintar tetapi tidak mendapat perhatian sepenuhnya daripada kerajaan masing-masing  sedangkan keadaan ini adalah amat berbeza jika dibandingkan dengan negara-negara Barat. Polisi pendidikan di banyak negara kaum Muslimin (termasuk Malaysia) masih mundur dan tidak begitu konsisten.

Walaubagaimanapun, di dalam Daulah Khilafah, sistem pendidikan bukan sahaja membentuk syakhsiyyah individu Muslim bahkan pelajar cemerlang dan pelajar pintar akan mendapat asuhan dan pendidikan khas daripada Daulah untuk mengembangkan bakat masing-masing sehingga menjadi ahli ilmuwan yang dapat menyumbang kepada kemajuan Daulah. Sistem pendidikan sesebuah negara itu hendaklah boleh menjadikan seseorang pelajar itu berupaya untuk berfikir dengan cemerlang, bukan sekadar menghafal pelajaran dan  memuntahkan semula fakta tersebut semasa di dalam peperiksaan bertulis.

Sistem pendidikan Islam, yang menekankan pembentukan syakhsiyyah Islam ini secara tabii menjadikan pembentukan pemikiran cemerlang sebagai salah satu tujuan utama pendidikan manusia. Sebab itulah pada zaman Daulah Islam, tamadun umat Islam telah menjadi tamadun yang memimpin dunia dan telah melahirkan ramai ahli ilmuwan yang terkemuka di dalam bidang matematik, kimia, fizik dan perubatan yang menjadikan kota-kota seperti Baghdad dan Cordoba dipenuhi oleh orang-orang yang datang dari serata dunia untuk menuntut ilmu pengetahuan.
Wallahua’lam