Isu Doktor Kontrak: Mengapa Terjadi Dan Bagaimana Penyelesaiannya? (Siri 2/2)

Sekiranya ditelusuri isu doktor kontrak yang terjadi pada hari ini, didapati bahawa ia tercetus akibat pertikaian antara pekerja (ajir) dan majikan (musta’jir) dalam akad ijarah, selain masalah kegagalan kerajaan dalam mengurus lambakan doktor. Secara lebih spesifik dalam konteks isu doktor kontrak ini, para doktor lantikan kontrak ini merupakan ajir, manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai kerajaan, merupakan musta’jir.

Syariah menetapkan bahawa ajir adalah individu yang bekerja dengan gaji atau upah tertentu, tanpa mengira sama ada majikannya merupakan individu, jamaah, mahupun negara. Dalam sistem pemerintahan Islam, penjawat awam turut tergolong dalam kategori ajir yang dilantik untuk bekerja oleh negara bagi melaksanakan tadbir urus demi memenuhi keperluan warganya (ri’ayatu as-syu’un al-ummah).

Maka, sebarang isu mahupun pertikaian yang timbul dalam konteks ini, tidak lari daripada isu perselisihan antara pekerja (doktor lantikan kontrak) dan majikan (kerajaan) dalam rangka akad ijarah. Jika kedua-dua pihak kembali kepada persoalan akad, maka sudah semestinya Islam mempunyai mekanisme yang tersendiri dalam menangani isu ini, dan ia akan dapat diselesaikan dengan cara yang syarie, walaupun mungkin ada penambahbaikan yang boleh dilakukan bagi memastikan isu yang sama tidak berulang.

Semenjak sistem lantikan kontrak dilaksanakan bermula pada tahun 2016, tidak terdapat ketetapan yang jelas berkenaan kriteria-kriteria penentuan sama ada seseorang pegawai lantikan kontrak itu layak untuk diserap masuk ke dalam lantikan tetap atau tidak. Inilah antara perkara penting yang menjadi desakan oleh para doktor kontrak kepada kerajaan.

Ketidakjelasan ini juga menimbulkan keresahan dalam kalangan doktor-doktor ini, kerana ia melibatkan masa hadapan dan juga perkembangan karier mereka. Di samping itu, terdapat pihak yang mempertikaikan pemilihan doktor kontrak yang diserap ke dalam lantikan tetap. Mereka mendakwa, terdapat doktor yang dikatakan bermasalah tetapi diserap masuk ke dalam lantikan tetap, sedangkan doktor yang berdedikasi tidak pula diserap. Kerajaan sebagai majikan pula dilihat sebagai tidak telus kerana tidak mengemukakan kriteria yang jelas setakat ini.

Selain itu, perselisihan juga timbul berhubung gaji dan kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada doktor kontrak jika dibandingkan dengan doktor lantikan tetap. Perbincangan demi perbincangan telah berlangsung melibatkan pihak-pihak berkepentingan dalam isu ini. Namun, masih gagal mencapai penyelesaian yang memuaskan kedua-dua belah pihak.

Perbandingan seringkali dibuat antara doktor kontrak dan lantikan tetap, memandangkan skop serta beban tugas mereka hampir sama. Bahkan doktor-doktor kontrak ini buat masa sekarang telah membentuk sebahagian besar daripada petugas bahagian hadapan dalam mendepani pandemik COVID-19.

Meskipun kerajaan sebagai musta’jir telah menaikkan gaji serta gred doktor lantikan kontrak, memberikan kemudahan untuk melanjutkan pengajian kepakaran dan sebagainya, namun pihak doktor kontrak melihat semua ini masih tidak memadai kerana tuntutan utama mereka untuk diserap ke dalam lantikan tetap tidak dipenuhi.

Ajrun Mitsl (Upah / Gaji yang Sepadan) dan mekanisme Islam menangani perselisihan

Islam menetapkan bahawa akad ijarah perlu dimeterai setelah isi kandungannya disepakati oleh kedua-dua pihak (ajir dan musta’jir). Syeikh Taqiuddin an-Nabhani (rahimahullah) menukilkan dalam kitab Sistem Ekonomi Islam, bagi sesebuah akad ijarah, tiga syarat keabsahan yang diperhatikan, iaitu;

  1. Pihak yang terbabit telah mumayyiz (boleh membezakan baik dan buruk)
  2. Adanya keredhaan kedua-dua belah pihak
  3. Upah yang jelas

Hal ini selari dengan sabda Rasulullah (saw),

إذا استأجر أحدكم أجيرا فليعلمه أجره

“Apabila salah seorang antara kalian memperkerjakan seorang pekerja, maka hendaknya memberitahukan upahnya kepadanya” [HR ad-Daruquthni, dari Ibnu Mas’ud].

Imam Ahmad juga meriwayatkan sebuah hadis dari Abu Said,

أن النبي صلى الله عليه وسلم نهى عن استئجار الأجير حتى يبين له أجره

“Nabi (saw) telah melarang memperkerjakan seorang pekerja sehingga upahnya menjadi jelas baginya” [HR Ahmad].

Upah yang diberikan meliputi imbalan dalam bentuk wang mahupun kemudahan-kemudahan yang diberikan dalam bentuk selainnya. Upah yang jelas dan disepakati dengan kerelaan kedua-dua pihak (ajir dan musta’jir) disebut sebagai ajr al-musamma. Dalam keadaan ini, musta’jir tidak boleh dipaksa atau ditekan untuk membayar upah yang lebih besar daripada apa yang telah disepakati, manakala pihak ajir pula tidak boleh diberi upah yang lebih rendah daripadanya. Syariah telah menetapkan bahawa jumlah yang disepakati tersebut wajib dipatuhi oleh kedua-dua belah pihak.

Walau bagaimanapun, jika wujud akad ijarah (kontrak) yang telah berlangsung sebelum jelas kadar upah / gajinya, akad ijarah ini tetap sah. Sekiranya muncul perselisihan tentang kadarnya, maka ia akan dikembalikan kepada upah yang sepadan, atau ajr al-mitsli.

Langkah penyelesaian ini merupakan qiyas terhadap mahar (mas kahwin). Menurut Islam, mahar  boleh dikembalikan kepada mahar yang sepadan apabila jumlah mahar tidak disebutkan semasa akad, atau ketika terjadi perselisihan atas mahar yang telah disebutkan. Ketentuan syarak ini didasarkan kepada sebuah riwayat dari an-Nasai dan at-Tirmizi,

Ibn Masud pernah ditanya mengenai seorang lelaki yang menikahi seorang wanita. Namun, lelaki tersebut belum memberi isterinya sadaq (mahar) dan dia pun belum sempat menyetubuhi isterinya itu hingga ia meninggal. Ibn Masud berkata,

“Wanita itu berhak mendapatkan sadaq (mahar) yang sepadan sebagaimana saudara-saudara wanitanya (para Muslimah) yang lain; tidak perlu ada pengurangan ataupun penambahan. la pun wajib menjalani ‘iddah serta berhak mendapatkan warisan”. Kemudian Ma’qal bin Sinan asy-Asyaja’i berkata, ”Aku melihat Nabi (saw) pernah memutuskan hal itu terhadap Birwa’ binti Wasyiq, salah seorang wanita dari kalangan kami, sebagaimana yang telah dia alami” [HR an-Nasai dan at-Tirmizi].

Dalam pada itu, pihak yang boleh menentukan kadar upah hanyalah mereka yang mempunyai keahlian (kepakaran) dalam menentukan upah. Dalam isu ini, sudah semestinya ahli yang dipilih ini terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang perubatan dan pentadbiran, khususnya yang melibatkan kontrak. Pihak ini hendaklah dipilih bersama (dipersetujui) oleh kedua-dua pihak ajir dan musta’jir. Sekiranya berlaku perselisihan dalam memilihnya, maka mahkamah atau negara yang berhak untuk menentukan siapakah calonnya.

Perlu difahami bahawa dalam keadaan berlakunya perselisihan, penetapan kadar upah akan dibuat bukan berdasarkan ketetapan oleh negara, atau kebiasaan penduduk di sesebuah negara. Sebaliknya ia ditetapkan oleh mereka yang ahli dalam menangani upah kerja ataupun pekerja yang hendak diperkirakan upahnya itu. Para ahli akan menentukan kadar upah berdasarkan manfaat kerja yang dilakukan atau manfaat daripada pekerja dalam sesebuah pekerjaan. Setelah ahli tersebut membuat keputusan, maka ia akan mengikat kedua-dua belah pihak, dan tidak ada pihak yang boleh mempertikaikannya lagi, dan kes dianggap selesai.

Demikianlah secara ringkas penjelasan mengenai mekanisme penyelesaian masalah akad yang timbul daripada isu doktor kontrak yang berlaku pada hari ini.

Buruknya Sistem Kapitalisme

Namun demikian, perlu diperhatikan bahawa isu doktor kontrak yang timbul pada hari ini hanyalah merupakan simptom yang muncul daripada permasalahan sistemik akibat penerapan sistem rosak lagi pincang pada hari ini. Sistem apa lagi jika bukan sistem kapitalisme, yang diwarisi dari kuffar penjajah?

Justeru, tanpa menangani akar permasalahan secara sistemik, isu ini akan terus berlarutan, bahkan boleh memburukkan lagi keadaan pada masa akan datang. Ini kerana, sifat sistem kapitalisme itu sendiri adalah menekan. Standard kehidupan dalam sistem ini ialah manfaat, yakni setiap pihak, apa lagi majikan, akan berusaha untuk meminimumkan segala kos dan memaksimumkan segala keuntungan. Inilah cara berfikir dan praktik dalam sistem kapitalisme, yang menyebabkan masalah tidak pernah selesai, dan pihak bawahan sentiasa tertindas.

Dalam kerangka sistem kapitalis pada hari ini, kehidupan menjadi sempit dan sentiasa diselubungi penderitaan, kerana sifat buruk sistem itu sendiri. Ketidaksetaraan akses kepada keperluan-keperluan asas, serta jurang yang semakin melebar menyebabkan rakyat tidak terjamin kehidupan mereka, dan rakyat sentiasa berada dalam kedudukan “fragile”.

Hal ini bukan sekadar terjadi dalam isu doktor kontrak semata-mata, bahkan dalam seluruh penjawat awam, malah seluruh aspek kehidupan lainnya, yang melibatkan semua pihak. Dalam satu respons terhadap cadangan menghapuskan sistem lantikan tetap dan berpencen pada tahun 2019, Presiden Kelab Pesara Kerajaan Malaysia (Kupekmas), Datuk Omar Osman dipetik sebagai berkata,

“Gaji penjawat awam lebih rendah berbanding swasta, sebab itulah pencen ini diperkenalkan. Jika pencen dimansuhkan, bagaimana dengan hari tua mereka tatkala kehidupan semakin mencabar dengan peningkatan kos sara hidup, perubatan dan kediaman?” (Sinar Harian 10/9/2019)

Kesimpulan

Siapa pun yang membuat kajian dengan cara yang jernih, maka sudah pasti akan menyedari dan mendapati bahawa kesemua masalah, khususnya yang melibatkan ekonomi di negara ini, merupakan natijah daripada penerapan sistem ekonomi kapitalis. Maka, tidak ada penyelesaian lain lagi untuk masalah yang muncul kecuali dengan mencampakkan sistem yang datangnya dari penjajah ini secara menyeluruh, dan menggantikannya dengan sistem Islam secara menyeluruh.

Wallahu a’lam.