Isu Hudud: Khilafah Jalan Menuju Islam Kaffah

pas-hudud-1Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melalui kenyataan rasmi Presidennya telah membuat keputusan untuk menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang Peribadi berkenaan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan, yang pada asalnya dicadangkan untuk dibentangkan dalam Persidangan Dewan Rakyat pada bulan Jun ini.1

Tindakan penangguhan ini mendapat reaksi yang pelbagai daripada segenap lapisan masyarakat. Pertubuhan IKRAM Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) telah mengeluarkan kenyataan yang menyokong tindakan penangguhan tersebut serta menawarkan kepakaran dalam memastikan aspek teknikal pelaksanaan hudud diteliti seadanya.2

Namun, tidak kurang juga yang melihat bahawa tindakan ini merupakan tindakbalas PAS terhadap tekanan yang dihadapi baik daripada pihak kawan mahupun seteru politiknya. Bahkan ada juga yang melihat polemik hudud ini hanyalah permainan politik semata-mata, yang mula dicetuskan oleh pihak kerajaan untuk memecah-belahkan pakatan pembangkang. Dalam pada itu, pihak MCA (Malaysian Chinese Association) pula dilihat cuba menjuarai penentangan terhadap isu hudud dengan harapan untuk meraih kembali sokongan para pengundi berbangsa Cina di Malaysia.

Wahai kaum Muslimin, sedarlah bahawa sesungguhnya hudud bukanlah hukum yang boleh dijadikan pertaruhan dalam percaturan politik demokrasi. Apatah lagi hukum Allah ini dihina dan diletakkan dengan begitu rendah sehingga ia memerlukan kebenaran daripada manusia (baca: Dewan Rakyat) untuk diluluskan dan dilaksanakan! Komitmen PAS untuk menerapkan hudud merupakan suatu usaha yang sangat terpuji. Namun, adalah tidak wajar sekiranya hudud cuba diterapkan dalam sistem demokrasi yang rosak lagi merosakkan ini.

Dalam pada itu, perlu diingat bahawa kerajaan Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO yang dianggotai oleh jutaan Melayu Muslim itu juga sekali-kali tidak terlepas daripada kewajipan untuk menerapkan sistem Islam. Bahkan merekalah yang sewajarnya memimpin usaha ke arah pelaksanaan sistem Islam secara kaffah kerana mereka memegang tampuk pemerintahan negara pada hari ini. Sikap berdolak-dalih dalam menerapkan Islam memberikan gambaran betapa pihak penguasa mengambil sikap acuh tidak acuh terhadap Islam meskipun sudah lebih 50 tahun memerintah negara.

Ketahuilah bahawa sesungguhnya usaha untuk melaksanakan hukum hudud dalam sistem kapitalis yang rosak ini bukan sahaja tidak syar’ie3, bahkan boleh mendatangkan fitnah terhadap Islam itu sendiri. Untuk menerapkan hudud, diwajibkan juga untuk menerapkan seluruh sistem-sistem Islam yang lain secara bersamaan (sistem ekonomi, sistem sosial, sistem pemerintahan, sistem uqubat, dasar luar negara dan lain-lain) kerana sistem Islam itu adalah syumul dan kaffah serta saling berhubung kait antara satu sama lain. Tatkala sistem perekonomian masih bertunjangkan ribawi dan perjudian serta dilebarkan lagi jurang antara yang kaya dengan yang miskin, mana mungkin keadilan sosial dapat dijamin meskipun hudud diterapkan.

Ditambah pula dengan bidang kuasa mahkamah syariah yang langsung tidak memenuhi hukum syarak yang mana undang-undangnya adalah berasaskan hukum ciptaan manusia di mana hukuman tertinggi yang ada adalah ‘hukum 356’ (maksimum penjara tidak lebih 3 tahun, denda tidak lebih RM5000 dan sebatan tidak lebih 6 kali). Bukan itu sahaja, mahkamah syariah juga langsung tiada sebarang kuasa untuk membicarakan apatah lagi menghukum segala kesalahan penjenayah yang melakukan jenayah berat. Sebaliknya kes-kes sebegitu dibawa ke mahkamah sivil negara. Di samping itu, mahkamah syariah disempitkan kepada hanya untuk perbicaraan ke atas warga Muslim sahaja manakala orang kafir tidak boleh dibicarakan di situ. Keberadaan dua jenis mahkamah dalam negara dengan dipisahkan antara syariah dan sivil dengan jelas menunjukkan bahawa aqidah sekular adalah tunjang utama dalam undang-undang negara. Walhal dalam Islam, sistem Islam dan undang-undang Islam adalah satu-satunya sistem dan undang-undang tunggal dalam negara dan tiada sistem lain yang boleh dijalankan selain Islam semata-mata.

Selain itu, kecelaruan dan kezaliman juga akan berleluasa seandainya negara ini mengamalkan sistem perundangan yang berasingan antara Muslim dan bukan Muslim. Padahal secara hakikatnya sistem Islam itu sewajarnya diterapkan seadanya tanpa mengira latar belakang agama, keturunan atau bangsa. Hal ini adalah kerana penerapan sistem Islam itu bersifat universal dan Islam bukanlah sebuah ajaran ritual berkaitan hal ehwal kaum Muslimin semata-mata.

Dari sudut lain, terdapat juga pendapat baru yang menyatakan bahawa hudud hanya dilaksanakan ke atas orang Islam sahaja dengan menjadikan ayat 42 surah al-Maidah sebagai sandaran hujah. Sekiranya diteliti asbabun nuzul (sebab turunnya) ayat tersebut, ternyata bahawa orang Yahudi yang dimaksudkan dalam ayat itu bukanlah Yahudi daripada kafir dzimmi (kafir yang tinggal dalam Daulah Islam). Sebaliknya mereka adalah daripada kelompok Yahudi yang tinggal di luar Madinah (bukan warganegara Daulah). Dalam ayat tersebut, Allah memberikan kuasa kepada Nabi Muhammad sebagai Ketua Negara untuk sama ada menghukum Yahudi yang berzina itu dengan hukum Islam atau berpaling sahaja daripada mereka.

Dengan kata lain, ayat di atas adalah berkaitan dengan salah satu polisi dasar luar Daulah Islam, khususnya bagi kes orang kafir warga asing yang memasuki Daulah Islam dan ingin dihukum dengan hukum Islam atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan di luar Daulah Islam. Ayat ini tidak mempunyai kaitan dengan orang kafir warganegara Daulah (kafir dzimmi) kerana mereka sudah terikat dengan undang-undang Islam dalam negara.4 Hujah ini sekaligus tidak boleh dijadikan sandaran sama sekali untuk menyatakan bahawa orang kafir dzimmi yang menetap dalam negara Islam adalah bebas untuk memilih sama ada untuk berhukum dengan hukum-hakam Islam ataupun tidak atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan.

Kita juga wajar menyedari bahawa hudud hanyalah sebahagian daripada sistem Islam secara keseluruhan. Di samping hudud, sistem ‘uqubat Islam turut merangkumi jinayat (qisas), takzir dan mukhalafat. Islam turut mengatur kehidupan manusia dalam segenap aspek kehidupan, baik ke atas warganegara Muslim mahupun kafir. Pelaksanaan hudud juga tidak akan dapat menjamin keadilan sekiranya terdapat imuniti dan pengecualian terhadap golongan pemerintah atau bangsawan. Hal ini perlu sejajar dengan hadis Rasulullah SAW:

Daripada Aishah ra, Rasulullah SAW bersabda;

“Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat-umat sebelum daripada kamu adalah apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri, mereka membiarkannya sahaja. Tetapi apabila mereka dapati orang lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya.” [HR Muslim]

Sehubungan itu, pelaksanaan hukum hudud yang diisytiharkan di Brunei baru-baru ini tidak akan dapat membawa keadilan seandainya kekebalan Sultan yang dijamin oleh Perlembagaan Brunei itu masih dikekalkan5. Meskipun usaha untuk melaksanakan hudud itu murni, namun ia tidak sewajarnya dicemari dengan ketetapan sedemikian oleh negara sistem monarki mutlak tersebut yang mana ia jelas bertentangan dengan mafhum hadis di atas.
Khilafah Jalan Menuju Islam Kaffah

Terdapat sebilangan ilmuan yang menyatakan bahawa suasana pada hari ini adalah tidak kondusif untuk pelaksanaan hudud6. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya hal ini bukanlah alasan untuk kita melengahkan usaha murni tersebut. Sebaliknya ia perlu dijadikan sebagai pendorong untuk berusaha lebih gigih dalam memastikan suasana kondusif dapat dibentuk. Suasana tersebut tidak akan dapat dicapai sekiranya kita ingin terus mengekalkan status quo yang ada pada hari ini. Hanya dengan mengembalikan Khilafah, barulah Islam dapat diterapkkan secara kaffah (menyeluruh).

Khilafah merupakan sebuah sistem pemerintahan Islam yang dapat memastikan keadilan dan kemakmuran dapat tersebar melalui penerapan syariah Islam secara syumul dan kaffah. Khilafah juga dapat menjamin keberlangsungan syariah dan mendokong keberadaannya. Malangnya, sistem yang sempurna yang telah berjalan selama lebih daripada 1300 tahun ini telah pun diruntuhkan pada tahun 1924 Masihi melalui agen British, Mustafa Kamal Attarturk laknatullah.

Namun, episod pilu runtuhnya Khilafah bukanlah sekadar lintasan sejarah yang wajar ditangisi dan diratapi, sebaliknya adalah menjadi kewajipan bagi kita semua untuk terus berjuang untuk mengembalikannya. Justeru, kami daripada Hizbut Tahrir sentiasa berada di tengah-tengah umat dalam menyeru kaum Muslimin untuk bersama-sama berusaha dalam mengembalikan semula kefardhuan yang telah sekian lama diabaikan ini. Raihlah kembali kemuliaan dan kemenangan hakiki yang telah dijanjikan oleh Allah dan Rasul ini. Pilihan berada di tangan kalian. Adakah kalian sekadar ingin menjadi pemerhati atau ingin turut serta dalam memikul tugas murni ini? Tepuk dada, tanyalah iman. Wallahua’lam

Sumber:

1) “PAS tangguh bentang hudud di Parlimen” – Sinar Harian
2) Kenyataan Media IKRAM: Pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan
3) Soutun Nahdhah SN 385: “MENERAPKAN SYARIAH HENDAKLAH DENGAN JALAN YANG SYAR’IYYAH”
4) “Apakah hudud hanya untuk orang Islam?
5) Perkara 84B (1) dan (2) – Kekebalan; Dokumen-dokumen Perlembagaan Negara Brunei Darussalam , m/s 150.
6) “Malaysia belum kondusif untuk laksana hudud kata Asri” – The Malaysian Insider;