Isu Uighur: Delegasi HTM serah memorandum ke JPM
PUTRAJAYA – Atas keprihatinan dan dorongan tanggungjawab ke atas Muslim Uighur yang ditindas oleh rejim Komunis China, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah menghantar delegasi ke Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Malaysia berhubung isu ini.
“Tujuan kedatangan kita adalah untuk mengingatkan Perdana Menteri berkenaan dengan penyeksaan yang dilakukan oleh rejim Komunis China ke atas saudara-saudara kita, Muslim Uighur khususnya di Turkistan Timur,” ujar Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman dalam temuramah yang dibuat sejurus selepas selesai menyerahkan memorandum tersebut.
“Maka kita mengingatkan Perdana Menteri, akan tanggungjawab beliau untuk melakukan perkara-perkara yang kita tuntut dalam memorandum ini demi membela nasib saudara-saudara kita, Muslim Uighur yang ditindas, yang diseksa, malah ada yang dibunuh di kem-kem tahanan di Turkistan Timur,” ujar beliau lagi.
Mesej utama yang terkandung dalam memorandum tersebut ialah gesaan supaya kerajaan Malaysia menggunakan kesemua saluran yang ada bagi menamatkan penindasan ke atas Muslim Uighur, termasuklah melancarkan jihad fi sabilillah ke atas negara tersebut sekiranya rejim China enggan berbuat demikian.
Sebanyak lima tuntutan telah dikemukakan oleh HTM sepertimana yang dimuatkan dalam memorandum tersebut, iaitu:
- Kerajaan Malaysia hendaklah membuka seluas-luas ruang dan membantu mana-mana Muslim sekalipun yang sedang ditindas di bumi China yang ingin lari dari tempat mereka dalam rangka untuk mendapatkan perlindungan di negara ini.
- Kerajaan Malaysia memberi amaran keras kepada rejim China agar menghentikan segera segala penangkapan, penahanan, penyeksaan dan segala bentuk penindasan ke atas Muslim Uighur dan mendesak China agar membebaskan mereka serta mengembalikan semula hak-hak mereka khususnya dalam mengamalkan agama mereka (Islam).
- Sebarang hubungan luar, termasuk hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim China hendaklah dihenti dan diputuskan serta-merta. Kedutaan mereka di Kuala Lumpur hendaklah ditutup dan duta mereka hendaklah dihalau keluar. Dalam masa yang sama duta Malaysia yang berada di China hendaklah dipanggil balik.
- Sekiranya amaran di atas tidak dipenuhi, kerajaan Malaysia hendaklah dengan kadar yang segera menghantar amaran ketenteraan dan seterusnya jika ia tetap tidak dipenuhi, maka satu-satunya jawapan yang tinggal ialah untuk mengisytiharkan jihad fi sabilillah demi menyelamatkan Muslim Uighur dari terus ditindas dan dizalimi tanpa peri kemanusiaan oleh rejim Kuffar China.
- Kerajaan Malaysia hendaklah mendesak kerajaan negeri kaum Muslimin lainnya untuk melakukan perkara yang sama seperti di atas.
Memorandum tersebut diserahkan kepada wakil daripada JPM pada petang semalam, yang menerimanya dengan baik serta berjanji untuk menyampaikannya kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed.
Dalam pada itu, HTM turut mengajak seluruh umat Islam di negara ini untuk turut serta dalam sebuah perhimpunan aman yang akan diadakan di Kedutaan Republik Rakyat China, selepas solat Jumaat, hari ini. Orang ramai dijemput untuk berkumpul di Masjid Tabung Haji sebelum berarak menuju ke Kedutaan China bagi menzahirkan solidariti kepada Muslim Uighur serta membantah penindasan yang dilakukan oleh rejim Komunis China.