Jangan cuba “menjenayahkan” jihad dan Daulah Islamiyyah

Susulan insiden “serangan” di Balai Polis Ulu Tiram pada 17/05/2024, meluncur laju pendapat yang cuba mengaitkan tindakan tersebut sebagai terpengaruh dengan jihad dan usaha penegakan Daulah Islamiyyah, sebagai tambahan kepada label “keganasan” yang sentiasa melekat pada insiden seumpama itu.

Kesimpulan klise seperti itu sering dihangatkan setiap kali berlakunya insiden pembunuhan atau pengeboman yang membabitkan orang Islam sebagai pelaku.

Kita tidak menafikan yang kemungkinan terdapat unsur tersebut kepada si pelaku, atas kesalahfahamannya mengenai jihad dan usaha penegakan Daulah Islamiyyah. Namun, untuk terus melompat kepada kesimpulan tersebut setiap kali berlakunya insiden seumpama itu, apatah lagi jika keluar daripada mulut orang-orang yang berpengaruh atau pihak berkuasa, sudah pasti ada niat dan modus tertentu yang ingin dimainkan.

Kenapa tidak dikaitkan insiden pembunuhan atau pengeboman dengan pengaruh “filem” sebagai contoh? Bukankah sudah banyak kes di mana ramai penjenayah yang melakukan pembunuhan dan pengeboman kerana terpengaruh dengan filem yang begitu banyak memaparkan adegan seperti itu?

Begitu juga dengan arak. Kenapa tidak dikaitkan arak sebagai punca kepada keganasan padahal sudah terbukti orang yang meminum arak dan mabuk akan melakukan apa sahaja. Insiden terbaru di Balai Polis Dato’ Keramat di mana seorang lelaki yang dikatakan mabuk, bertengkar dan cuba merampas “submachine gun” daripada polis yang bertugas, adalah contoh di mana orang yang mabuk boleh bertukar menjadi ganas.

Begitu juga dengan orang yang mempunyai masalah mental, yang sentiasa berpotensi untuk melakukan “keganasan”. Kes seumpama ini juga sudah banyak buktinya. Seorang yang waras sudah tentu tidak akan melakukan serangan atau pembunuhan, apatah lagi di tempat-tempat awam, dan apatah lagi di balai polis.

Pendek kata, ada banyak sebab untuk seseorang bertindak “ganas” seperti itu, yang bukan hanya kerana kesalahfahamannya mengenai jihad atau usahanya untuk menegakkan Daulah Islamiyyah semata-mata.

Justeru, tidak seharusnya ada cubaan oleh pihak-pihak tertentu untuk menangguk di air keruh. Tidak perlulah mengambil kesempatan dengan apa yang berlaku dengan cubaan memburuk-burukkan jihad atau menakutkan orang ramai dengan perjuangan menegakkan Daulah Islamiyyah.

Sesungguhnya jihad itu merupakan suatu yang mulia dan merupakan kemuncak kepada ibadah. Umum sudah mengetahui bahawa ayat-ayat dan hadis-hadis mengenai jihad cukup banyak sama ada dari segi kewajipan atau keutamaannya. Sabda Rasulullah (saw):

رَأْسُ الْأَمْرِ الْإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذُرْوَةُ سَنَامِهِ الْجِهَادُ

“Pokok kepada segala perkara ialah Islam, tiangnya adalah solat dan puncaknya adalah jihad”  [HR at-Tirmizi]

Jihad secara syarienya bermaksud mengerahkan segenap kemampuan dalam perang di jalan Allah, baik terjun secara langsung memerangi musuh di medan jihad, atau dengan memberi bantuan harta, pendapat, memperbanyak pasukan perang dan lain-lain, yang semuanya dilakukan dalam rangka meninggikan kalimah Allah.

Jadi, tidak perlulah untuk menegatifkan jihad dengan mengaitkannya dengan aktiviti sesetengah individu atau kumpulan (jika ada) yang telah terjerumus ke dalam kesalahfahaman tafsiran jihad.  Apa yang perlu dilakukan ialah meluruskan fahaman individu atau kumpulan terbabit, dan bukannya menimbulkan persepsi negatif terhadap konsep jihad.

Di samping itu juga, usahlah cuba “menjenayahkan” usaha untuk menegakkan Daulah Islamiyyah, dan jangan sesekali cuba menakutkan orang ramai dengan perjuangan mulia tersebut. Ia adalah perjuangan Rasulullah (saw).

Ingatlah bahawa Rasulullah (saw) merupakan orang yang pertama menegakkan Daulah Islamiyyah (di Madinah al-Munawwarah), dan Rasulullah (saw) sudah pasti tidak akan melakukannya jika bukan merupakan kewajipan atau perintah dari Allah (swt).

Daulah Islamiyyah ini kemudiannya diwariskan kepada para Khulafa’ setelah baginda, dan ia dipertahankan dari satu generasi ke satu generasi sehinggalah diruntuhkan oleh Mustafa Kamal dengan kerjasama kafir British la’natullah pada tahun 1342 H (1924 M).

Tidak ada khilaf (perselisihan pendapat) sedikit pun dalam kalangan ulama muktabar bahawa menegakkan Daulah Islamiyyah (Khilafah) adalah suatu kewajipan. Malah menurut jumhur fuqaha’, ia merupakan ahammul wajibat (kewajipan yang paling utama).

Hanya saja, perlu difahami bahawa menegakkan Daulah Islamiyyah ini bukanlah dengan kaedah jihad atau kekerasan, malah haram untuk menggunakan kaedah tersebut kerana ia bercanggah dengan thariqah (jalan) yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw).

Daulah Islamiyyah wajib ditegakkan dengan jalan politik dan intelektual serta dengan jalan thalabun nusrah (mencari pertolongan) daripada ahlul quwwah wal man’ah (golongan yang memiliki kekuatan dan perlindungan). Inilah thariqah Rasulullah (saw) yang wajib diikuti oleh siapa sahaja yang ingin menegakkan Daulah Islamiyyah.

Atas dasar itu, setiap Muslim perlu memahami bahawa menegakkan Daulah Islamiyyah bukan sahaja merupakan sebuah kewajipan, tetapi kewajipan yang mesti dilakukan dengan jalan yang benar (syarie), dan tidak boleh melencong walau sehelai rambut pun dari jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah (saw).

Selain wajib untuk mendirikan semula Daulah Islamiyyah untuk kali yang kedua, fakta di lapangan jelas menunjukkan bahawa umat Islam pada hari ini sangat-sangat memerlukan institusi politik pelindung umat Islam ini. Lihatlah apa yang terjadi di Palestin dan lain-lain wilayah umat Islam yang sedang terjajah, lihatlah kepada perpecahan yang melanda umat Islam, lihatlah para penguasa diktator yang memenuhi dunia Islam, lihatlah hukum Allah yang dicampakkan oleh para penguasa yang ada, dan lihatlah segala malapetaka yang menimpa umat Islam pada hari ini – semuanya terjadi kerana umat Islam sudah tidak lagi mempunyai perisai (Khilafah) yang melindungi mereka.

Oleh itu, siapa sahaja yang cuba “menjenayahkan”, menghalang atau menakut-nakutkan orang ramai dengan perjuangan menegakkan semula Daulah Islamiyyah (Khilafah), sesungguhnya ia sedang “menjenayahkan” sebuah kewajipan yang paling agung, sesungguhnya ia sedang “menjenayahkan” Sunnah dan perjuangan Rasulullah (saw), dan sesungguhnya ia sedang “menjenayahkan” dirinya sendiri di hadapan Allah Azza wa Jalla.

Wallahu a’lam.