Jangan Guna Cara Umno Tapi Tetap Pakai Sistem Yang Sama Dengan Umno. Apa Bezanya?
ALOR SETAR 11 Dis. – Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang tidak menggunakan pendekatan UMNO dalam menarik perhatian rakyat terhadap parti itu. Menurut beliau, pemimpin berkenaan perlu terus mendekatkan diri dengan rakyat bagi mendengar masalah dan keluhan mereka. Katanya, propaganda yang digunakan oleh UMNO seperti menyalurkan projek-projek kebajikan kepada rakyat tidak boleh digunakan oleh pemimpin pakatan pembangkang. “Kita tidak boleh ulang pendekatan lama dan harus ada satu cara untuk mendekati rakyat. “Kita harus dengar, memahami masalah dan melibatkan rakyat di dalam projek-projek pembangunan,” katanya. Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Konvensyen Majlis Muafakat Pertubuhan Islam Kedah (WEHDAH) di Dewan Sri Mentaloon di sini hari ini. Menurut Anwar, pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri Kedah dalam menguruskan kewangan negeri dan sumber balak perlu dipuji. “Pendekatan telus yang digunakan oleh kerajaan negeri Kedah dalam menguruskan hasil balak adalah salah satu pendekatan yang mendekatkan kerajaan dengan rakyat. “Ini bukan perkara kecil dan bayangkan berapa banyak wang balak yang masuk ke dalam poket-poket orang tertentu sebelum ini,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia, 12/12/09
Jangan Guna Cara Umno Tapi Tetap Pakai Sistem Yang Sama Dengan Umno. Apa Bezanya?
Apa ertinya Anwar mencadangkan menggunakan pendekatan yang berbeda jika dalam masa yang sama sistem yang diguna pakai tetap sama iaitu sistem kufur demokrasi. Sewajibnya Anwar sebagai seorang Muslim menyeru dan menawarkan sistem Islam bagi menggantikan sistem kufur demokrasi yang sudah 52 tahun diterapkan oleh pemerintah sekular UMNO dan BN. Sistem Kapitalisme inilah yang menghasilkan dan menimbulkan 1001 masalah dalam kehidupan umat Islam saat ini termasuklah di Malaysia. Hari ini kita dapat melihat fakta dan realiti bagaimana Pakatan Rakyat [PKR, DAP, PAS], sekiranya memerintah, akan tetap menggunakan sistem kufur demokrasi.
Yang pastinya undang-undang yang akan diterapkan adalah undang-undang yang dicipta dan yang diluluskan oleh akal-akal manusia yang tanpa rasa takut kepada Allah. Dengan itu, sudah pasti kita akan dapat menjangkakan hasil yang sama sebagaimana yang dihasilkan oleh pemerintahan sekular UMNO dan BN – kemurkaan Allah SWT bukan redhaNya. Hakikatnya seruan dan pengsyoran yang diserukan oleh Anwar itu sudah pasti tidak akan menghasilkan perubahan yang hakiki selagi mana sistem dan dasar yang diguna pakai tidak diubah kepada sistem Islam, sistem yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah. Sampai bilakah Anwar akan sedar bahawa perjuangan “reformasi” dan “keadilan”nya adalah perjuangan yang juga melalui jalan yang sama, jalan demokrasi yang sudah pasti akan terus menjauhkan umat Islam khususnya dan manusia amnya dari Islam yang sebenarnya.
Anwar! Kamu wajib berubah dengan sebenar-benar perubahan. Buangkan asas pemikiran kamu yang berlandaskan sekularisme dan rangkullah Islam dengan sebenar-benarnya. “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”. [TMQ Ar-Ra’d (13) : 11].