Jangan hanya berhenti di tadabbur, tapi usaha untuk terapkan Al-Quran
Antara keunikan yang dapat disaksikan di Malaysia ialah adanya Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0. Ia merupakan acara kemuncak kepada siaran sebanyak 838 episod program My #QuranTime yang disiarkan oleh TV AlHijrah sejak 20 Mac 2020.
Majlis Khatam Tadabbur tersebut diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dengan tema ‘Kerinduan dan Kenangan Terindah bersama al-Quran’.
Kita tidak menafikan kebaikan usaha mengumpulkan umat Islam bagi melakukan tadabbur Al-Quran sebagai manifestasi kecintaan terhadap Al-Quran sekali gus meraih pahala dengannya. Namun apa yang perlu disedari ialah manifestasi kecintaan terhadap Al-Quran tidak hanya itu dan tidak cukup hanya setakat itu.
Al-Quran merupakan kitab yang diturunkan oleh Allah bukan sekadar untuk dibaca, diperhati, diteliti atau dikaji, tetapi lebih jauh daripada itu, ia untuk difahami, diamalkan dan diterapkan dalam kehidupan, baik kehidupan individu, bermasyarakat apatah lagi bernegara.
Al-Quran bukan merupakan kitab teori, tetapi kitab amali. Al-Quran merupakan kitab syariat yang mana mengamalkannya adalah wajib. Al-Quran wajib dijadikan Dustur (perlembagaan) bagi negara. Itulah Al-Quran.
Rasulullah (saw) bukan sahaja orang yang membaca atau mentadabbur Al-Quran, tetapi merupakan orang yang memperjuangkan penerapan hukum-hukum Al-Quran. Perjuangan Rasulullah (saw) untuk menjadikan Al-Quran sebagai Dustur dan undang-undang negara sangat jelas sehingga siapa pun yang mempunyai mata hati sudah pasti akan dapat melihatnya.
Atas dasar kewajipan menjadikan Rasulullah (saw) sebagai suri teladan, maka setiap Muslim wajib berusaha untuk memperjuangkan penerapan hukum-hukum Al-Quran. Siapa pun yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya tidak seharusnya menjadikan Al-Quran semata-mata sebagai sebuah kitab untuk ditadabbur, tetapi lebih daripada itu, untuk difahami dan diterapkan segala isi kandungannya.
Sesungguhnya membaca dan mentadabbur Al-Quran itu boleh dilakukan secara individu, namun berjuang untuk menerapkan hukum Al-Quran wajib dilakukan secara berjemaah atau lebih tepat melalui sebuah gerakan politik. Hal ini memang tidak mudah tetapi tidak mustahil.
Dalam keadaan tidak ada satu pun negara yang menerapkan hukum-hakam Al-Quran, maka setiap Muslim wajib untuk berjuang menegakkan sebuah negara (Khilafah) yang dengannya keseluruhan hukum Al-Quran dapat diterapkan.
Inilah cara yang benar dalam melepaskan kerinduan kita kepada Al-Quran yakni kita rindu untuk melihat Al-Quran kembali diterapkan dalam kehidupan secara kaffah sebagaimana di zaman Rasulullah (saw). Inilah cara yang benar untuk kita memanifestasikan kecintaan kita kepada Al-Quran dan inilah perjuangan yang benar dalam meletakkan Al-Quran di tempat letaknya.
Wallahu a’lam.