Jawapan kepada Soalan: Perdana Menteri Bangladesh Meletak Jawatan dan Melarikan Diri dari Negara
بسم الله الرحمن الرحيم
Jawapan kepada Soalan
Perdana Menteri Bangladesh Meletak Jawatan dan Melarikan Diri dari Negara
(Diterjemahkan)
Soalan:
Pada 5 Ogos 2024, berita Perdana Menteri Bangladesh meletakkan jawatannya dan melarikan diri ke luar negara diumumkan selepas bantahan terhadap sistem kuota yang diperlukan untuk pekerjaan dalam sektor awam sejak awal bulan lalu. Protes bertukar berdarah sejak pertengahan bulan lalu, apabila pengikut parti pemerintah bertelagah dengan penunjuk perasaan. Tentera mengumumkan mengambil alih kuasa, manakala presiden negara itu mengumumkan pembubaran parlimen dan pembentukan kerajaan sementara. Adakah protes itu telah dirancang? Adakah campur tangan tentera datang dengan satu persetujuan? Adakah ini berkaitan dengan konflik antarabangsa ke atas negara tersebut?
Jawapan:
Untuk menjelaskan jawapan kepada soalan di atas, kami akan meninjau perkara-perkara berikut:
1- Bangladesh adalah sebuah negara Islam. Semasa tahun-tahun awal abad ketiga belas Masihi, orang Islam menakluki Bengal semasa kempen Muhammad Al-Ghori pada akhir 1192M, yang meluas ke seluruh India utara. Bangladesh, negara kelapan terbesar di dunia dari segi populasi, dengan populasi kira-kira 171 juta, terletak di Asia Selatan dan bersempadan dengan Myanmar dan India. Lebih daripada 90% penduduknya beragama Islam dan agama rasmi negara ialah Islam. Sebagai sebahagian daripada dasar pecah dan perintah yang dipegang oleh Britain, Liga Awami, yang berpusat di Pakistan Timur dan diketuai oleh Sheikh Mujibur Rahman, ejen British, dan disokong oleh British, mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Pakistan selepas perang dengan Pakistan pada tahun 1971.
2- Perdana Menteri Bangladesh Hasina mewarisi ketundukan kepada Britain(bekas pemerintah kolonial negara itu) daripada bapanya, bekas Perdana Menteri Bangladesh Mujibur Rahman, ketua Liga Awami, yang telah dihukum mati bersama keluarganya pada tahun 1975 oleh pegawai yang melakukan rampasan kuasa terhadap dia. Hasina terselamat kerana berada di luar negara semasa rampasan kuasa. Dia tinggal di Britain sehinggalah dibenarkan pulang ke negaranya dan menyambung semula aktiviti politik pada 1981. Dia mula berkhidmat sebagai Perdana Menteri antara 1996 dan 2001, dan kemudian memimpin kerajaan sejak 2009. Dia dituduh menipu dalam pilihan raya yang diadakan awal tahun ini di mana dia memenangi majoriti besar di parlimen yang dibentuk oleh partinya, Liga Awami, dengan 233 daripada 300 ahli parlimen, di samping 9 ahli daripada parti yang bersekutu dengan partinya. Parti lain menolak keputusan tersebut dan menganggapnya sebagai pilihan raya palsu. Amerika juga mengkritiknya. Walau bagaimanapun, rejim Hasina secara rasmi menyatakan kemenangannya!
3- Semasa pemerintahannya, Hasina bertindak menyerang ejen-ejen Amerika dan mewujudkan pengaruh British dalam tentera, kalangan politik, badan kehakiman, dan jabatan-jabatan lain. Dia bersaing dengan pemimpin parti pembangkang, ketua Parti Nasionalis Bangladesh, Khaleda Zia, yang mewarisi ketundukan kepada Amerika daripada suaminya, Jeneral Ziaur Rahman, yang berkuasa pada 1977 dan dibunuh pada 1981 oleh ejen British. . Isterinya, Khaleda Zia, mengambil alih kerajaan selama dua penggal antara 1991 dan 1996 dan antara 2001 dan 2006. Dia kemudiannya disabitkan dengan rasuah dan salah guna kuasa. Dia beserta tahanan-tahanan lain dibebaskan semasa demonstrasi baru-baru ini selepas Hasina melarikan diri pada 05/8/2024. Justeru itu, sememangnya sedang berlaku konflik antarabangsa di Bangladesh antara penjajah lama, yakni Britain, yang mempunyai pengaruh yang kuat, dengan penjajah barunya, yakni Amerika, yang telah mencipta pengaruh dan memperoleh ejen-ejennya di kalangan pegawai tentera sejak ejennya, Jeneral Ziaur Rahman, merampas kuasa pada tahun 1977. Amerika juga telah menemui beberapa ejen dalam kalangan ahli politik, terutamanya isteri Jeneral Ziaur Rahman dan Parti Nasionalis Bangladesh. Walau bagaimanapun, pengaruh yang dominan di Bangladesh tetap pengaruh British.
4- Hasina dan kerajaannya telah memerangi mereka yang mahukan Islam kembali berkuasa kerana dia seorang sekular dan partinya juga adalah sekular dan nasionalistik. Dari segi politik, dia tunduk kepada penjajah Barat yang memerangi Islam dan menghalang Islam kembali berkuasa. Maka dia mengharamkan Hizbut Tahrir pada 22/10/2009 atas dasar ia menyeru agar Islam kembali berkuasa dengan mendirikan negara Khilafah Rasyidah (Khilafah ala minhaj nubuwwah) kerana mengetahui bahawa Hizbut Tahrir adalah sebuah parti politik yang berideologi Islam dan tidak menggunakan tindakan kekerasan sebagai metodnya, sebaliknya melibatkan diri dalam perjuangan politik dan intelektual. Dia juga mengharamkan empat kumpulan Islam lain. Dia melemparkan ramai ahli dari Hizbut Tahrir dan kumpulan lain ke dalam penjara, dan menghukum mati beberapa pemimpin Islam. [Hasina Wajid memulakan tindakan pembersihan politik terhadap Jamaat-e-Islami sejak 2013 dengan alasan bahawa mereka adalah penjenayah perang yang menolak kemerdekaan Bangladesh, padahal matlamat sebenarnya adalah untuk menyingkirkan gerakan Islam. Antara tokoh yang paling terkenal yang telah ditangkap, dihukum bunuh, atau mati dalam penjara di kalangan pemimpin Jamaat-e-Islami setakat ini ialah tujuh ulama senior, lima daripadanya dihukum gantung, dan dua mati dalam penjara sebelum sempat dijatuhkan hukuman mati. (https://alestiklal.net/, 6/8/2024)]. Hasina amat memusuhi Islam dan mereka yang menyeru agar Islam kembali berkuasa lalu menyatukan umat Islam di bawah naungan sebuah negara. Dia mengetuai parti sekular yang diasaskan oleh bapanya, orang yang melakukan pengkhianatan besar dalam memisahkan Pakistan Timur (Bangladesh) daripada Pakistan Barat dengan sokongan Britain dan ejennya di India pada tahun 1971.
5- Bangladesh mengalami krisis ekonomi yang sukar dibendung kerana kekurangan kebangkitan ekonomi dan disebabkan ekonominya terkait dengan kuasa politik dan ekonomi asing. Dianggarkan kira-kira 18 juta anak muda Bangladesh sedang mencari pekerjaan, dan graduan universiti menghadapi kadar pengangguran yang luar biasa! Lebih daripada 40% penduduk Bangladesh yang berumur antara 15 dan 24 tahun menganggur dan tidak berpendidikan. Pada 5 Ogos 2024, BBC melaporkan sebuah temu bual tentang keadaan ekonomi di Bangladesh. Lutfey Siddiqi, seorang profesor praktis pelawat di London School of Economics berkata, “Perubahan rejim di Bangladesh merupakan satu kemestian dalam ekonomi– masalahnya adalah bila, bukan jika. Kerajaan Sheikh Hasina nampaknya telah kehilangan hak dan kekuatan untuk memerintah. Tidak lama lagi ia akan kehabisan sumber untuk berbuat demikian juga… Bangladesh berada di ambang keruntuhan ekonomi.” Perlu diingat bahawa kerajaan Hasina telah menggadaikan ekonomi dan sumber negara kepada syarikat asing, terutamanya British, Amerika, Cina dan India. Ia mula bergantung kepada pinjaman berfaedah di bawah keadaan tidak adil daripada IMF dan Bank Dunia, dua institusi yang didominasi oleh Amerika, sebagai tambahan kepada Bank Pembangunan Asia China. Ini bermakna keadaan di Bangladesh adalah kritikal dan di ambang letupan.
6- Bangladesh telah menyaksikan gelombang protes pelajar sejak awal bulan lalu, pada 1 Julai 2024, menentang sistem pekerjaan. Protes itu bertujuan untuk memansuhkan sistem kuota dalam sektor awam, yang memperuntukkan kira-kira 56% peluang pekerjaan kepada kumpulan tertentu, yang dieksploitasi oleh Perdana Menteri dan kelompoknya untuk menggajikan saudara mara dan penyokong mereka serta menafikan hak pihak lawan. Antara kumpulan khusus ini termasuk di kalangan mereka yang diberi peluang pekerjaan itu ialah “mereka yang menyertai bapa Hasina dan juga anak cucu mereka” dalam pengkhianatan besar perang pemisahan antara Pakistan Timur (Bangladesh) dan Pakistan Barat dengan sokongan British dan ejennya di India pada tahun 1971. Ini adalah sistem peluang pekerjaan yang mula ditentang dalam protes, kerana pelajar menuntut agar pekerjaan berdasarkan merit seseorang dan bukan berdasarkan pertimbangan lain. Bantahan ini mempengaruhi pemansuhan sistem ini, jadi Mahkamah Agung di Bangladesh mengisytiharkan pada 21/7/2024 bahawa keputusan untuk memperkenalkan semula kuota pekerjaan adalah tidak sah. Bagaimanapun, ini tidak membantu membungkam penunjuk perasaan. Kematian pertama dalam protes ini berlaku pada 16/7/2024 ketika pelajar dari parti Hasina berkonfrontasi dengan penunjuk perasaan di Dhaka dengan kayu dan membaling batu antara satu sama lain.
7- Untuk menghentikan protes ini, kerajaan Hasina mengarahkan penutupan sekolah dan universiti di seluruh negara. Hasina membuat kenyataan menyeru pelajar supaya bertenang dan dia berikrar akan menghukum setiap pembunuhan dalam protes itu. Tetapi penunjuk perasaan menolak kenyataannya dan mula menyasarkannya secara khusus, melaungkan “Turunkan diktator”, dan membakar ibu pejabat perbadanan penyiaran negara di Bangladesh dan berpuluh-puluh bangunan kerajaan lain. Kerajaan memutuskan perkhidmatan internet. Protes menjadi lebih sengit dan jumlah kematian serta kecederaan meningkat setiap hari. Perintah berkurung 24 jam telah diisytiharkan dan askar dikerahkan. Polis melepaskan peluru hidup dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan, mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh negara, dan mengerahkan tentera untuk menjaga keselamatan. Menjelang petang 19/7/2024, 105 orang dilaporkan telah terbunuh. Naeemul Islam Khan, jurucakap Pejabat Perdana Menteri, berkata: (“Kerajaan telah memutuskan untuk mengenakan perintah berkurung dan mengerahkan tentera untuk membantu pihak berkuasa awam.” (AFP, 19/7/2024)). Komunikasi, saluran berita dan beberapa perkhidmatan telefon mudah alih telah diputuskan dalam usaha untuk menyekat protes. Penunjuk perasaan menyerbu penjara dan membebaskan ratusan banduan pada 19/7/2024, sebelum membakar bangunan itu. Jumlah kematian dalam tunjuk perasaan di Bangladesh telah mencecah 409, menurut AFP. Jumlah ini berdasarkan kenyataan polis, pegawai kerajaan dan doktor. Peristiwa itu kelihatan telah tercetus sebagai protes pelajar secara spontan terhadap sistem peluang pekerjaan yang menafikan kebanyakan pekerja. Bantahan juga tidak terhad kepada pelajar, dengan orang ramai dari semua lapisan masyarakat menyertai dalam jumlah yang mencecah 400,000. Demonstrasi ini dilihat sebagai cabaran dan ancaman yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap pemerintahan autokratik Hasina sepanjang 15 tahun.
8- Pada 5/8/2024, Ketua Jeneral Tentera Bangladesh, Jeneral Waker-Uz-Zaman mengumumkan bahawa dia akan bertanggungjawab sepenuhnya selepas Hasina meletak jawatan dan melarikan diri, dan akan membentuk kerajaan sementara. Dia berkata di televisyen negara, “Saya berjanji kepada anda bahawa semua rungutan akan ditangani.” Beliau berkata, “Negara telah banyak menderita, ekonomi telah terjejas, ramai orang telah terbunuh — sudah tiba masanya untuk menghentikan keganasan, saya harap selepas ucapan saya, keadaan akan bertambah baik,” (AFP, 5/8) /2024). Jeneral Waker-Uz-Zaman ialah seorang pegawai infantri yang dilantik sebagai ketua tentera pada Jun lalu. Hasina mempercayainya kerana hubungan kerabat jauh, dan dia bekerja sebagai penasihat Hasina di pejabatnya. Bapa mertuanya ialah komander tentera semasa Hasina memegang jawatan pertama dari 1996 hingga 2001. Waker-Uz-Zaman menerima latihan ketenteraan di Britain dan memegang ijazah sarjana dalam pengajian pertahanan dari Bangladesh National University dan King’s College London. Semua ini mengesahkan bahawa dia adalah serupa dengan rejim Hasina, iaitu setia kepada British. British yang mengarahkannya untuk merampas kuasa dan mengekalkan pengaruhnya di Bangladesh. Dia juga bersetuju dengan Hasina bahawa Hasina harus pergi untuk menyelamatkan nyawanya, kerana kehadirannya yang berterusan akan memburukkan lagi krisis dan lebih banyak darah akan tertumpah. Selepas itu, tentera cuba mendekati penunjuk perasaan untuk menenangkan keadaan, jadi pada hari terakhir selepas rampasan kuasanya, tentera membenarkan protes dan menghalang menembak mana-mana penunjuk perasaan sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada mereka dan menenangkan mereka.
9- Apabila ketua tentera, Jeneral Waker-Uz-Zaman, mengumumkan bahawa dia akan mengambil alih negara, dia berjanji untuk membentuk kerajaan sementara secepat mungkin, dan bahawa dia akan mengadakan perbincangan dengan parti pembangkang utama dan ahli masyarakat sivil , tetapi tidak termasuk Liga Awami, parti Hasina. Untuk menggembirakan Amerika dan menyekatnya yang merupakan niat jahat politik British, pejabat presiden di Bangladesh mengumumkan pada 07/8/2024 bahawa Muhammad Yunus, pemenang Hadiah Keamanan Nobel, akan mengetuai kerajaan sementara. Pejabat presiden berkata [“Keputusan untuk membentuk kerajaan sementara yang diketuai oleh Yunus telah diambil semasa pertemuan antara Presiden Muhammad Shahabuddin, pegawai kanan tentera dan pemimpin Kumpulan Pelajar Menentang Diskriminasi (Students Against Discrimination Group). Kenyataan itu berkata, “Presiden telah meminta rakyat untuk membantu mengatasi krisis itu. Pembentukan segera kerajaan sementara adalah perlu untuk mengatasi krisis,” (AFP 7/8/2024)]. Susulan itu, Muhammad Yunus, yang berada di Eropah dan berusia 84 tahun, mengumumkan bahawa dia bersedia untuk mengetuai kerajaan sementara. Oleh itu, British berusaha untuk menyelamatkan diri mereka daripada keruntuhan dan mengekalkan pengaruh mereka apabila ejen mereka melarikan diri ke India menaiki helikopter tentera di bawah tekanan protes, sementara kerajaan dan parlimen telah dibubarkan, manakala komander tentera mengambil alih kawalan dan seorang ejen tua Amerika seperti Muhammad Yunus dilantik untuk mengetuai kerajaan sementara sehingga pilihan raya parlimen akan datang seterusnya pembentukan kerajaan baru yang dipilih.
Dengan cara ini, mereka berusaha untuk menutup mulut penunjuk perasaan dengan mengusir Hasina dan menenangkan Amerika dengan melantik Muhammad Yunus, yang setia kepadanya. Bekas Presiden AS Bill Clinton sebelum ini memujinya sebagai layak menerima Hadiah Nobel: [Profesor Muhammad Yunus memenangi Hadiah Keamanan Nobel pada 2006, dikongsi dengan Grameen Bank. Presiden AS Bill Clinton menyokong Hadiah Nobel untuk dianugerahkan kepada Muhammad Yunus. Semasa ucapannya pada tahun 2002, Presiden Clinton menggambarkan “Dr. Yunus adalah seorang yang sejak dahulu lagi sepatutnya memenangi Hadiah Nobel” (Al-Jumhur, Selasa 6/8/2024)]. Perlu diingat bahawa Hasina sedang melawannya, kerana mahkamah Bangladesh menjatuhkan hukuman penjara 6 bulan kepadanya pada 1/1/2024 atas tuduhan melanggar undang-undang buruh di ibu negara, Dhaka. (Pemenang Hadiah Keamanan Nobel Muhammad Yunus telah disabitkan bersalah kerana melanggar undang-undang buruh Bangladesh, Peguam Negara Khurshid Alam Khan memberitahu AFP pada hari Isnin, dalam kes yang dikatakan penyokongnya bermotifkan politik. Alam Khan memberitahu AFP bahawa Yunus dan rakan-rakannya disabitkan di bawah undang-undang buruh dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan, dengan menyatakan bahawa mereka dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan. 160 tokoh antarabangsa, termasuk bekas Presiden AS Obama dan bekas Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon, menerbitkan surat terbuka bersama yang mengecam gangguan kehakiman yang berterusan terhadap Yunus dan menyatakan kebimbangan atas keselamatan dan kebebasannya (Asharq Al-Awsat, 1/1/2024). Justeru, Muhammad Yunus telah diperkenan oleh Amerika. Maka rencana kotor British dapat memadamkan protes dengan mengasingkan Hasina… dan untuk memuaskan hati Amerika dengan melantik seorang penyokong setia lamanya… dan lebih-lebih lagi Britain, tetap kekal mengawal Bangladesh melalui komander tentera, seperti mana sebelum Hasina melarikan diri.
10- Oleh yang demikian, konflik antarabangsa di dalam Bangladesh masih berterusan. Ejen-ejen yang mengamalkan pandangan penjajah, tidak kiralah yang mana satu, dan berusaha untuk melayani kepentingan penjajah kaffir adalah mereka yang rugi di dunia dan Akhirat. Adapun kerugian di dunia ini, kehinaan akan menyelubungi mereka kerana dosa-dosa mereka. Adapun kerugian di akhirat adalah azab yang pedih.
﴿سَيُصِيبُ الَّذِينَ أَجْرَمُوا صَغَارٌ عِنْدَ اللهِ وَعَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا كَانُوا يَمْكُرُونَ﴾
“Orang-orang yang melakukan perbuatan yang salah itu akan ditimpa kehinaan di sisi Allah, dan azab seksa yang amat berat, disebabkan perbuatan tipu daya yang mereka lakukan.” [Surah Al-An’am: ayat 124].
Jika mereka rasional, mereka akan belajar daripada apa yang berlaku ke atas orang-orang persis seperti mereka di kalangan ejen-ejen di setiap negara, khususnya di negara-negara Islam. Mereka sama ada dipenjarakan, dibunuh, atau telah melarikan diri dari negara mereka dalam keadaan hina! Hakikatnya. mereka tidak belajar daripada orang-orang yang terdahulu daripada mereka, tetapi terus dalam kesesatan yang sama secara membuta tuli! Mengapa mereka tidak kembali kepada Tuhan mereka, berpegang teguh kepada agama-Nya, dan mendokong orang-orang yang berusaha menegakkan agama yang dijelmakan melalui negaranya yakni negara Khilafah Rasyidah di atas jalan kenabian?! Negara yang dikhabarkan oleh Rasulullah (saw) dalam Hadis mulia yang diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Tayalisi:
«ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ»
“Kemudian akan kembali Khilafah mengikut jalan kenabian”
Mengapa mereka tidak kembali kepada Tuhan mereka jika mereka mempunyai akal?!
﴿إِنَّ فِي ذَلِكَ لَذِكْرَى لِمَنْ كَانَ لَهُ قَلْبٌ أَوْ أَلْقَى السَّمْعَ وَهُوَ شَهِيدٌ﴾
“Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh.” [Surah Qaf: ayat 37]
11 Safar al Khair 1446 H
16/8/2024 M