Jenama “Juara Rakyat” Gula-Gula Baru UMNO
RAWANG 9 Jan. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan program Juara Rakyat yang menurutnya, sebagai tanda UMNO menerima isyarat daripada rakyat supaya kembali mendampingi rakyat selepas ditolak pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) lepas. “Kita pilih Juara Rakyat sebagai tema kita kerana UMNO dan rakan dalam Barisan Nasional (BN) dengan segala perasaan rendah diri menerima keputusan pilihan raya umum lepas, yang mana rakyat telah memberi isyarat kepada UMNO dan BN. “Kami dengar dan kami terima bahawa rakyat telah memberi teguran kepada UMNO dan BN, teguran itu kami akan hayati bukan saja kami dengar tapi kami insaf bahawa dalam sistem demokrasi berparlimen, rakyat ialah kuasa keramat dan mutlak,” katanya. Program itu dilancarkan penuh meriah apabila lebih 20,000 pengunjung pelbagai peringkat usia dan tanpa mengira kaum membanjiri tapak program di Bandar Bukit Sentosa, dekat sini. Program tiga hari itu telah dilancarkan semalam. – Bernama
Sumber: Utusan Malaysia 09/01/10
Jenama “Juara Rakyat” Gula-Gula Baru UMNO
Setelah “gula-gula” berjenama 1Malaysia diperkenalkan oleh Najib sebaik sahaja mengambilalih tampuk pemerintahan kerajaan sekular Malaysia dari Imam Islam Hadhari Tun Lah sejak kira-kira 9 bulan yang lalu, kini satu lagi jenama baru “gula-gula” dilancarkan oleh Najib. Produk “gula-gula” baru itu diberi nama Juara Rakyat. Majlis pelancaran “gula-gula” baru itu dirasmikan oleh Najib bertempat di Bandar Bukit Sentosa Rawang Selangor. Pelbagai kata-kata semangat dan keramat diucapkan oleh Najib untuk menyakinkan rakyat bahawa “gula-gula” baru itu baik untuk mereka. Inilah dunia politik Kapitalisme yang akan senantiasa menggunakan pendekatan menabur seberapa banyak “gula-gula” yang ada di tangan pemilik kekuasaan dan pemilik modal dengan harapan rakyat yang ada akan berebut-rebut untuk mendapatkannya. Bukankah ini hanyalah suatu propaganda yang diciptakan oleh UMNO untuk memastikan sokongan dan dokongan rakyat akan dapat diraih kembali bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang? Apa maknanya program Juara Rakyat itu dilancarkan jika hanya semata-mata untuk mendekati hati rakyat yang dikatakan telah menolak UMNO dan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) lepas? Dalam masa yang sama apakah UMNO sebagai sebuah parti yang memerintah, di mana majoriti ahlinya adalah orang Islam, menyedari bahawa mereka juga wajib dan semestinya memikirkan persoalan redha dan murka Allah SWT dalam seluruh tindak tanduk perbuatan mereka. Sedarkah para pemimpin UMNO yang ada pada hari ini bahawa sudah berapa lama UMNO mengabaikan penerapan hukum Allah SWT di dalam kehidupan bernegara? Bukankah dengan fakta ini UMNO juga sebenarnya layak menggondol gelaran “Juara Maksiat” iaitu parti yang mempelopori dan menunjangi segala bentuk maksiat dengan mengabaikan perintah dan larangan Allah SWT? Sudah cukup panjang masa 52 tahun yang berlalu sebagai bukti bahawa UMNO sebenarnya adalah JUARA MAKSIAT bukannya JUARA RAKYAT