“Justice for Rocky”: Keadilan hanya dengan Islam

Kematian seekor anjing bernama Rocky dalam operasi tangkapan anjing liar oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) telah mengundang polemik dalam negara. Ini kerana berlaku “pergelutan” antara penguatkuasa dan individu yang mengaku sebagai pemilik anjing berkenaan sehingga membawa kepada kematiannya. Rakaman dan dakwaan yang tersebar di media sosial mencetuskan tanda pagar #JusticeForRocky, sekali gus membawa kepada satu siasatan oleh pihak berkuasa.

Walaupun isu anjing liar di Malaysia ini sudah lama wujud dan terlalu banyak sebenarnya, tetapi kali ini disebabkan pihak-pihak yang terlibat terdiri daripada kaum yang berbeza, isu ini akhirnya bertukar menjadi isu perkauman, lebih-lebih lagi apabila ada pihak yang cuba menangguk di air keruh, termasuklah kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai pencinta haiwan. Jika kaum yang sama terlibat, kemungkinan besar tidak akan timbul kekecohan seperti sekarang.

Tanpa perlu menuding jari kepada siapa yang bersalah, dan walau apa pun hasil siasatan kelak, peristiwa ini sangat wajar dilihat dari perspektif Islam, sebagai sebuah agama yang syumul (sempurna) yang mengatur bukan sahaja hubungan di antara manusia dengan manusia, tetapi juga manusia dengan haiwan.

Bagaimana Islam melayan haiwan

Sebelum pergi lebih jauh, kita perlu lihat dahulu bagaimana Islam memerintahkan kita untuk melayan haiwan, dan apakah kesannya jika kita menganiaya atau berlaku kejam ke atas haiwan. Firman Allah (swt):

﴿وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

“Dan tidaklah Kami mengutusmu (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi sekalian alam [Al-Anbiya’ (21): 107]

Menurut Ibnu Katsir, maksud Rasulullah (saw) diutus sebagai rahmat untuk seluruh alam itu mencakupi manusia, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan, dan alam sekitar [Tafsir Ibn Katsir]. Bagaimana pun perlu difahami bahawa rahmat tersebut hanya akan tercurah ke atas alam semesta sekiranya alam semesta ini diurus berdasarkan hukum Islam. Dengan kata lain, kita semua akan mendapat rahmat hasil daripada penerapan hukum Islam, yang mana jika Islam tidak diterapkan, rahmat itu tidak akan kita perolehi.

Allah (swt) menjelaskan mengenai kesemua penciptaan-Nya, yang turut digelar oleh Allah sebagai “umat” seperti juga manusia, dan kesemuanya akan dihimpunkan di akhirat untuk dihisab atas apa yang mereka lakukan. Dengan kata lain, tindakan kita ke atas haiwan akan turut dihisab, sama sebagaimana kita akan dihisab atas tindakan kita ke atas manusia lain. Firman-Nya:

﴿وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا طَائِرٍ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلَّا أُمَمٌ أَمْثَالُكُمْ ۚ مَا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِنْ شَيْءٍ ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ

“Dan tiadalah binatang-binatang yang ada di bumi dan burung-burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan umat (juga) seperti kamu. Tiadalah Kami alpakan sesuatu pun dalam Al-Kitab, kemudian kepada Tuhanlah mereka dihimpunkan” [Al-An’am (6): 38]

Terdapat banyak hadis yang menjelaskan bagaimana seseorang Muslim itu harus bersikap terhadap haiwan. Daripada Syaddad bin Aus (ra), bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ihsan (berbuat baik) atas segala sesuatu. Maka apabila kamu membunuh, bunuhlah dengan cara yang baik, dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan cara yang baik. Hendaklah salah seorang di antara kamu menajamkan pisaunya dan merehatkan sembelihannya” [HR Muslim].

Jika binatang yang ingin disembelih pun kita perlu berbuat baik, maka apatah lagi binatang hidup, dan khususnya lagi binatang yang hidup bersama kita (bukan binatang buas). Perintah berbuat ihsan ini dapat dilihat daripada banyak hadis, antaranya daripada Abu Hurairah (ra) bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي بِطَرِيقٍ اشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ، فَوَجَدَ بِئْرًا فَنَزَلَ فِيهَا فَشَرِبَ ثُمَّ خَرَجَ، فَإِذَا كَلْبٌ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ الْعَطَشِ، فَقَالَ الرَّجُلُ: لَقَدْ بَلَغَ هَذَا الْكَلْبَ مِنَ الْعَطَشِ مِثْلُ الَّذِي كَانَ بَلَغَ بِي، فَنَزَلَ الْبِئْرَ فَمَلَأَ خُفَّهُ مَاءً، ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ حَتَّى رَقِيَ فَسَقَى الْكَلْبَ، فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ» قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَإِنَّ لَنَا فِي الْبَهَائِمِ أَجْرًا؟ فَقَالَ: «فِي كُلِّ ذَاتِ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ»

“Ketika seorang lelaki sedang berjalan di sebatang jalan, dia berasa sangat kehausan. Lalu dia menjumpai sebuah perigi, dia pun turun ke dalamnya, meminum air, kemudian keluar. Tiba-tiba dia melihat seekor anjing sedang tercungap-cungap menjilat tanah kerana terlalu haus. Lelaki itu berkata (di dalam hatinya): “Sesungguhnya anjing ini merasa kehausan yang sangat dahsyat seperti mana yang telah aku rasai tadi.” Lalu dia turun semula ke dalam perigi, memenuhkan kasutnya dengan air, dan menggigit kasut itu dengan mulutnya sehingga dia berjaya naik ke atas. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Maka Allah berterima kasih kepadanya (menerima amalannya) dan mengampunkan dosanya.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah kami akan mendapat pahala pada (perbuatan berbuat baik kepada) binatang ternakan/haiwan?” Baginda menjawab: “Pada setiap (haiwan) yang mempunyai hati yang basah (bernyawa) itu terdapat pahala” [HR al-Bukhari & Muslim].

Apabila berbuat baik kepada haiwan mendapat pahala, maka sebaliknya jika berbuat buruk akan mendapat dosa. Daripada Abdullah bin Umar (ra) bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ سَجَنَتْهَا حَتَّى مَاتَتْ، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ، لَا هِيَ أَطْعَمَتْهَا وَلَا سَقَتْهَا إِذْ حَبَسَتْهَا، وَلَا هِيَ تَرَكَتْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الْأَرْضِ

“Seorang wanita diseksa (masuk neraka) kerana seekor kucing yang dikurungnya sehingga mati kelaparan. Dia tidak memberinya makan dan minum ketika mengurungnya, dan tidak pula melepaskannya supaya ia dapat memakan makanan di bumi” HR al-Bukhari & Muslim].

Daripada Said bin Jubair, beliau berkata: “Aku pernah melintas bersama Ibnu Umar (ra) sekelompok pemuda yang sedang memanah ke arah seekor ayam (menjadikannya sasaran). Ibnu Umar marah lalu berkata:

لَعَنَ اللَّهُ مَنْ فَعَلَ هَذَا، إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعَنَ مَنِ اتَّخَذَ شَيْئًا فِيهِ الرُّوحُ غَرَضًا

“Allah melaknat siapa yang melakukan ini. Sesungguhnya Rasulullah (saw) melaknat sesiapa yang menjadikan sesuatu yang bernyawa sebagai sasaran (untuk dibunuh atau diseksa)” [HR Muslim].

Dalam sebuah hadis lain,

لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ مَثَّلَ بِالحَيَوَانِ

“Nabi (saw) telah melaknat sesiapa yang menyeksa atau mencacatkan haiwan” [HR al-Bukhari].

Berdasarkan nas, amat jelas bahawa Islam memerintahkan kita untuk berlaku baik (ihsan) pada haiwan, dan mengancamnya dengan neraka jika sengaja melakukan penganiayaan ke atas makhluk Allah itu.

Kewajipan Mencegah atau Menghilangkan Dharar

Selain perlu memahami bagaimana layanan Islam ke atas haiwan, satu lagi perkara penting yang perlu difahami ialah kedudukan dharar (bahaya) dalam Islam. Islam melarang wujudnya keadaan dharar atau lebih-lebih lagi sengaja mewujudkan keadaan dharar.  Kaedah syarak menyatakan:

الأَصْلُ فِي المَضَارِّ التَّحْرِيم

“Prinsip/hukum asal suatu yang membahayakan adalah haram”

Kaedah syarak itu menerangkan keharaman wujudnya apa sahaja keadaan atau perbuatan yang boleh menyebabkan dharar, tidak kiralah dharar itu kepada diri sendiri, orang lain, masyarakat atau alam persekitaran.

Dalil kepada kaedah syarak itu diambil daripada sabda Nabi (saw):

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ فِي الإِسْلامِ

“Tiada kemudaratan dan tidak boleh memudaratkan di dalam Islam” [HR At-Thabarani].

مَنْ ضَارَّ أَضَرَّ اللهُ بِهِ, وَمَنْ شَاقَّ شَاقَّ اللهُ عَلَيْهِ

“Sesiapa yang memudaratkan; Allah akan memudaratkannya, dan sesiapa yang menentang dan mengingkari Allah; Allah akan menimpakan kesukaran ke atasnya” [HR Abu Daud]

Kedua-dua hadis ini merupakan dalil (bukti) bahawa Allah melarang apa jua bentuk dharar atau kemudaratan. Justeru, siapa pun tidak boleh melakukan dharar atau menyebabkan berlakunya dharar.

Di dalam kes orang yang membela haiwan seperti anjing, maka dia hendaklah memastikan anjingnya itu berada dalam kawalan, dan tidak boleh melepaskannya atau membiarkannya terlepas sehingga boleh menyebabkan dharar kepada orang lain. Jika ini berlaku, maka si pemilik anjing adalah bersalah dan boleh dikenakan hukuman (ta’zir).

Manakala siapa pun yang berhadapan dengan dharar seperti diserang anjing, atau melihat orang lain diserang anjing, maka dia boleh melakukan apa yang patut demi menghilangkan dharar itu dari dirinya atau dari orang lain tersebut. Dengan kata lain, dia boleh memukul anjing tersebut, atau dalam keadaan tertentu boleh membunuh anjing tersebut dalam rangka menghilangkan dharar darinya, atau dari orang lain tersebut. Namun, jika tidak wujud keadaan dharar, tidak ada binatang yang boleh diseksa atau dibunuh, walaupun ia tetap boleh ditangkap untuk diuruskan sewajarnya jika dipercayai tiada pemilik.

Di sinilah Islam menjawab isu dharar, tanpa melihat kepada siapa yang menyebabkan dharar dari aspek kaum atau agamanya. Baik Muslim mahupun non-Muslim, baik Melayu, Cina atau India yang menyebabkan dharar, maka siapa pun yang menyebabkan dharar, akan menerima hukuman. Manakala siapa pun yang sedang berhadapan dengan dharar boleh melakukan apa yang patut demi menghilangkan dharar itu.

Isu dharar ini tidak seharusnya diheret kepada isu perkauman. Dalam Islam, siapa sahaja yang cuba memainkan isu perkauman, maka orang itu akan dihukum dengan berat kerana kesalahannya mengapi-apilan perkauman yang diharamkan oleh Islam.

Bagaimanakah negara seharusnya menangani masalah anjing liar

Selain kewajipan individu mencegah atau menghilangkan dharar, pihak yang jauh lebih besar peranan dan tanggungjawabnya berbuat demikian ialah negara, lebih-lebih lagi apabila dharar yang berlaku melibatkan orang ramai atau dalam skala yang besar. Sabda Rasulullah (saw):

الإِمَامُ رَاعٍ وَهُوَ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

“Imam (pemimpin / penguasa) ialah pemelihara dan dia bertanggungjawab atas apa yang dipelihara (rakyat)nya” [HR al-Bukhari & Muslim].

Hadis ini bersifat umum yang meletakkan tanggungjawab pengurusan negara kepada ketua negara dalam apa jua bidang. Dalam Negara Islam (Khilafah), urusan menangani kes-kes yang melibatkan hak jemaah (orang ramai) diletak di bawah Qadhi Muhtasib/Hisbah. Tugas Qadhi Muhtasib ialah mencegah dan mengambil tindakan ke atas apa siapa sahaja yang membahayakan hak jemaah seperti orang yang menipu di pasar-pasar, melakukan vandalisme, mengganggu lalu-lintas, kesalahan parking, mencemar alam sekitar, termasuklah menangani isu haiwan terbiar, anjing liar dan sebagainya.

Jika terdapat pelanggaran atau wujud keadaan yang boleh membahayakan, maka Qadhi Muhtasib hendaklah mengambil tindakan segera samada untuk menghilangkan dharar atau menghukum mereka yang melakukan kesalahan. Dalam Islam, Qadhi Muhtasib boleh (dan mesti) bertindak apabila wujud kesalahan/keadaan berkenaan, tanpa perlu menunggu aduan. Mereka perlu meronda untuk menjaga hak jemaah  dan mencegah dharar. Contohnya apabila terdapat anjing liar, lebih-lebih lagi yang boleh membahayakan orang ramai, maka Qadhi Muhtasib boleh (dan mesti) bertindak segera pada waktu itu juga dalam rangka menjaga orang ramai dari dharar.

Jika wujud persoalan bagaimana untuk menentukan sama ada anjing itu merupakan anjing peliharaan atau anjing liar, maka dilihat kepada peraturan yang sedang berkuatkuasa. Jika peraturan menyatakan yang setiap pemilik anjing hendaklah memakaikan tanda kepada anjing mereka, maka mana-mana anjing yang tidak bertanda secara automatik dianggap sebagai anjing terbiar atau liar yang boleh diambil tindakah.

Jadi, Qadhi Muhtasib berhak menangkap anjing yang tidak bertanda ini dalam rangka menghilangkan dharar dari orang ramai. Bahkan Qadhi Muhtasib berhak untuk menangkap anjing yang bertanda sekali pun jika anjing tersebut didapati berkeliaran di tempat awam sehingga membahayakan orang ramai. Prinsipnya ialah segala dharar itu wajib dihilangkan.

Persoalan seterusnya ialah apakah yang mesti dilakukan oleh negara setelah anjing-anjing liar ini ditangkap? Sebagaimana telah dibincangkan di awal, negara tidak boleh bertindak sesuka hati seperti menyeksa atau membunuh anjing-anjing tersebut. Maka terpulanglah kepada kebijaksanaan Khalifah dalam menguruskannya sama ada menempatkannya di suatu tempat khas, atau menawarkan kepada sesiapa sahaja yang ingin memilikinya, atau melatih anjing-anjing berkenaan agar boleh berkhidmat kepada manusia dan sebagainya.

Namun, jika terbukti bahawa anjing-anjing liar tersebut berbahaya, atau mempunyai penyakit berbahaya, maka dalam keadaan ini, negara dibenarkan untuk membunuh anjing-anjing tersebut, sesuai dengan ketetapan hadis:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ: الْحَيَّةُ، وَالْغُرَابُ الْأَبْقَعُ، وَالْفَأْرَةُ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ، وَالْحُدَيَّا

“Lima jenis haiwan pengganggu yang boleh dibunuh di Tanah Halal mahupun Tanah Haram: ular, gagak belang, tikus, anjing yang ganas dan membahayakan (al-kalb al-‘aquur), dan burung helang (kite)” [HR Muslim].

Kesimpulan

Masalah utama di Malaysia ialah apabila negara ini tidak berhukum dengan Islam, dan diburukkan lagi apabila isu perkauman sentiasa dimainkan dalam banyak perkara. Islam sebagai rahmatan lil alamin bukan sahaja tidak terealisasi, sebaliknya negara ini sentiasa ditimpa pelbagai malapetaka. Malangnya para penguasa tidak pernah mengambil iktibar untuk kembali kepada Islam kerana ketamakan duniawi yang membelenggu mereka. Atas dasar itu setiap Muslim wajib berusaha mendirikan semula Khilafah yang insya Allah akan mengembalikan semula rahmat ke seluruh alam dengan penerapan Islam secara kaffah.

Wallahu a’lam.