Rocky: Negara wajib hilangkan dharar – Jurucakap HTM

BULETIN HTM – Kematian seekor anjing bernama Rocky dalam operasi menangkap anjing liar oleh pihak berkuasa tempatan di Klang telah mencetuskan tuntutan keadilan dan demonstrasi oleh kumpulan hak asasi haiwan. Isu tersebut kemudiannya turut dikaitkan dengan sentimen perkauman berikutan perbezaan kaum antara pemilik anjing dengan penguat kuasa yang terlibat.
Menurut pihak berkuasa tempatan, operasi itu dijalankan selepas menerima aduan orang ramai mengenai banyak anjing liar di kawasan berkenaan. Individu yang mengaku sebagai tuan Rocky turut mengakui yang dia tidak mempunyai lesen memelihara anjing. Kes kini dalam proses siasatan lanjut.
Isu tersebut menjadi pilihan perbincangan Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia, Ustaz Abdul Hakim Othman, dalam program Kupas Tuntas bertajuk “Justice for Rocky: Apa Jawapan Islam?” (07/08/2026). Beliau menarik perhatian penonton untuk menilai dan mencari jawapan isu berkenaan berdasarkan Islam, bukan sentimen perkauman.
Memulakan kupasannya, Ustaz Abdul Hakim menjelaskan bahawa Islam bukan sahaja mengatur hubungan sesama manusia, tetapi juga hubungan manusia dengan haiwan. Beliau merujuk Surah al-Anbiya’, ayat 107 yang menyatakan bahawa Rasulullah (saw) diutuskan sebagai rahmat bagi sekalian alam. Menurut penjelasan yang dibawakannya daripada Tafsir Ibnu Katsir, rahmat tersebut mencakupi manusia, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan juga alam sekitar.
Beliau turut membawakan hadis Rasulullah (saw) bahawa Allah telah mewajibkan ihsan atas segala sesuatu dan juga hadis-hadis lain mengenai hukum layanan kita ke atas haiwan di mana haiwan tidak boleh disakiti, diseksa atau dibunuh sesuka hati Beliau turut memetik hadis mengenai seorang lelaki yang diampunkan dosanya kerana memberi minum kepada seekor anjing yang kehausan serta seorang wanita yang diseksa kerana mengurung seekor kucing sehingga mati kelaparan. “Berbuat ihsan kepada haiwan adalah wajib, manakala menyeksa haiwan adalah haram,” tegasnya.
Mengenai hukum memelihara anjing, beliau menjelaskan bahawa hal itu diperbolehkan di mana anjing telah digunakan untuk berburu serta menjaga ternakan dan tanaman sejak zaman Rasulullah (saw) lagi. Menurutnya, orang Islam mahupun kafir zimmi dalam Daulah Islam dibenarkan memelihara anjing. Namun, pemilik tidak boleh membiarkan anjingnya tanpa kawalan sehingga mengganggu jiran atau membahayakan orang ramai.
Beliau menegaskan bahawa persoalan utama dalam isu anjing ini bukanlah kaum atau agama pemilik anjing, tetapi mudarat yang ditimbulkan. Anjing bertuan yang terlepas atau sengaja dilepaskan serta anjing liar yang tidak bertuan sama-sama berpotensi menyebabkan bahaya pada orang ramai. Pemilik yang cuai mesti dipertanggungjawabkan berdasarkan perbuatannya, tanpa mengira kaum atau agama.
Dalam Islam, jelasnya, politik bermaksud menguruskan urusan umat. Oleh itu, negara bertanggungjawab menguruskan masalah anjing liar dan menghilangkan bahaya (dharar) yang mengancam masyarakat. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah (saw) bahawa Imam (pemimpin) ialah pemelihara dan bertanggungjawab terhadap apa yang dipeliharanya (rakyatnya).
Beliau membincangkan dengan agak mendalam persoalan dharar dalam Islam. Tidak boleh wujud keadaan dharar dan setiap orang tidak boleh menyebabkan dharar. Dalam Negara Khilafah, urusan yang melibatkan dharar terhadap hak masyarakat berada di bawah bidang kuasa Qadhi Hisbah/Muhtasib. Qadhi boleh, malah wajib bertindak di kawasan awam tanpa menunggu aduan bagi mencegah dharar sebelum berlaku kejadian yang lebih buruk. Masalah dengan pihak berkuasa tempatan sekarang ialah menunggu laporan dulu baru nak bertindak, selar beliau.
Menurut beliau, anjing liar boleh ditangkap dan ditempatkan di kawasan khas, ditawarkan kepada orang yang ingin memeliharanya atau dilatih untuk kegunaan tertentu. Namun, anjing tidak boleh dibunuh sewenang-wenangnya. Berdasarkan hadis, hanya anjing yang benar-benar membahayakan, yang termasuk dalam kategori al-kalb al-‘aqur, boleh dibunuh setelah dinilai oleh pihak yang mempunyai kepakaran. Tindakan bunuh tersebut juga tetap wajib dilakukan dengan ihsan dan tanpa penyeksaan.
Manakala mana-mana pemilik anjing yang membiarkan anjingnya di tempat awam, atau melakukan kecuaian sehingga anjingnya membahayakan orang ramai, wajib dikenakan hukuman (ta’zir). Setiap pemilik anjing bertanggungjawab memastikan anjingnya berada dalam kawalan dan tidak membahayakan, tegasnya.
Mengulas kumpulan hak asasi haiwan yang dilihat berlebih-lebihan dalam isu Rocky ini, beliau menyatakan bahawa kemunculan kumpulan tersebut antaranya berpunca daripada kegagalan sistem sedia ada menjaga kebajikan haiwan. Namun, ada juga kumpulan yang hanya ingin meraih publisiti dan ada yang wujud kerana terpengaruh dengan kerosakan berfikir liberalisme dan hak asasi yang dibawa oleh Barat.
Beliau turut membidas kumpulan tersebut yang membela haiwan secara ‘double standard’, bahkan lebih buruk kata beliau, kumpulan tersebut lebih mengutamakan nyawa dan kebajikan haiwan berbanding nyawa dan kebajikan manusia. Berapa ramai manusia yang mati, cedera dan cacat kekal akibat serangan anjing, tidak pula kumpulan tersebut menuntut agar anjing-anjing yang bahaya tersebut diambil tindakan, soal beliau.
Menutup kupasannya, Ustaz Abdul Hakim menegaskan bahawa mahkamah perlu menentukan pihak yang bersalah berdasarkan keterangan dan bukti. Dalam sistem Islam, aduan terhadap penjawat awam atau penguasa boleh dibawa ke Mahkamah Madzalim. Sekiranya kesalahan terbukti, pihak yang bersalah boleh dikenakan hukuman.
Menurutnya, di sinilah Islam sebagai rahmatan lil-‘alamin direalisasikan – melalui pengadilan yang adil, pertanggungjawaban terhadap pihak yang bersalah dan tindakan negara menghapuskan mudarat, bukan melalui sentimen perkauman atau permainan politik.