Kalaulah para penguasa dan tentera kaum Muslimin masih punya perasaan
Tidak akan ada seorang pun yang terfikir bahawa seorang anggota Tentera Udara Amerika Syarikat yang masih sedang berkhidmat dengan negaranya, akan membakar diri kerana protes terhadap negaranya sendiri dan mahu Palestin dibebaskan.
Aaron Bushnell, 25, dari San Antonio, Texas, bertindak membakar diri sendiri di hadapan kedutaan “Israel” di Washington D.C, yang sudah tentu lokasi tersebut dipilihnya atas sebab yang munasabah dan sangat tepat dengan mesej yang ingin disampaikan. Sambil merakam dan berjalan menuju lokasi, beliau menyatakan “Aku tidak akan lagi terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai.”
Lebih terharu dan menyayat hati, ketika sedang dilahap api, beliau berulang kali menjerit, “Bebaskan Palestin, Bebaskan Palestin”, satu seruan yang bukan sahaja menaikkan bulu roma, malah boleh menitiskan air mata bagi mereka yang punya perasaan.
Jika difikir dengan mendalam, pembakaran diri itu bukanlah sekadar protes terhadap negaranya, tetapi merupakan protes terhadap perang itu sendiri yang menyaksikan “Israel” bertindak sangat kejam dan di luar batas kemanusiaan terhadap penduduk Gaza. Ia sebuah kekejaman luar biasa yang tidak sanggup ditanggung oleh Aaron, sehingga kematian lebih baik baginya daripada terus menyaksikan, apatah lagi terlibat dengannya.
Penglibatan Tentera Udara Amerika Syarikat dalam menyokong “Israel” adalah sangat ketara, yang mana sebahagian besar korban dan kemusnahan di Gaza adalah akibat serangan udara yang berterusan sejak 7 Oktober lalu, yang hingga kini telah meragut lebih 30,000 nyawa. Siapa pun yang mempunyai perasaan tidak akan sanggup untuk menyaksikan kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua yang badan-badan mereka hancur berkecai, putus anggota badan atau cedera teruk akibat pengeboman.
Aaron sudah pasti sedar dan amat mengetahui bahawa senjata-senjata daripada Amerika bukanlah digunakan untuk menyasarkan Hamas, tetapi untuk menyasarkan orang awam sebagai satu strategi pembunuhan besar-besaran oleh Amerika dan “Israel” ke atas umat Islam. Kekejaman ini tidak boleh diterima olehnya, dan dia mahu perang ini dihentikan dan Palestin dibebaskan segera.
Itulah mesej yang ingin disampaikan oleh Aaron, yang dengan nekad dan cukup berani membakar diri sendiri agar mesej tersebut sampai ke seluruh dunia.
Perbuatan, keberanian dan mesej seorang askar Amerika yang jelas-jelas bukan Muslim ini sungguh amat bertentangan dengan sikap para penguasa dan tentera kaum Muslimin. Kita bukanlah mahukan tentera Muslim membakar diri seperti Aaron, tetapi di manakah protes tentera Muslim terhadap Amerika dan “Israel” yang telah hampir memasuki lima bulan melakukan pembantaian kejam ke atas saudara-saudara mereka sendiri di Gaza?
Malah, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Para penguasa dan tentera kaum Muslimin masih meneruskan baik dengan Amerika. Bahkan beberapa negara kaum Muslimin masih meneruskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan “Israel”, bahkan ada yang membekalkan segala keperluan kepada entiti pembunuh umat Islam itu.
Kita semua tahu bahawa Aaron bukanlah seorang yang terikat dengan Islam, tidak sebagaimana para penguasa dan tentera kaum Muslimin yang terikat dengan hukum-hakam Islam, terikat dengan hukum jihad, terikat dengan kewajipan membantu saudara seagama yang sedang ditindas dan diperangi, serta terikat dengan dosa dan pahala.
Justeru persoalannya, bagaimana mungkin seorang askar dari negara yang memusuhi Islam, tanpa mempunyai kewajipan agama, tanpa ada ikatan persaudaraan dengan penduduk Gaza dan tanpa ada apa-apa kepentingan dengan tanah Palestin, boleh mengambil sikap sedemikian?
Sedangkan para penguasa dan tentera umat Islam yang diwajibkan oleh Allah dan Rasul-Nya untuk berjihad melawan musuh, untuk membantu saudara seagama, untuk membebaskan Tanah Palestin Yang Diberkati, terus berdiam diri?!
Kalaulah para penguasa dan tentera kaum Muslimin masih mempunyai perasan, nescaya kepala mereka akan tunduk merafak tanah kerana malu dengan apa yang dilakukan oleh seorang askar kafir terhadap Palestin.
Malangnya kita sudah tidak nampak di manakah perasaan mereka, kerana sudah hampir lima bulan Palestin bermandi darah, para penguasa dan tentera kaum Muslimin masih boleh tidur dengan nyenyak di katil masing-masing. Hati mereka seolah-oleh sudah tertutup untuk mendengar firman Allah (swt):
وَمَا لَكُمْ لَا تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَٰذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَلْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا وَاجْعَلْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ نَصِيرًا
“Mengapa kalian tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki, wanita-wanita mahupun anak-anak yang semuanya berdoa: “Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi-Mu, dan berilah kami penolong dari sisi-Mu!” [An-Nisa’ (4): 75]
Kalaulah para penguasa dan tentera kaum Muslimin masih mempunyai perasaan, nescaya mereka akan bersegera menyahut perintah Allah (swt) kerana sangat takut akan azab-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انْفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُمْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ . إِلَّا تَنْفِرُوا يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْئًا ۗ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Wahai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kalian, ‘berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah’, kalian merasa berat dan ingin tinggal di tempat kalian? Apakah kalian puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. Jika kalian tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyeksa kalian dengan seksaan yang pedih dan digantinya (kalian) dengan kaum yang lain, dan kalian tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Nya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu” [At-Taubah (9): 38-39].
Kalaulah para penguasa dan tentera kaum Muslimin mempunyai perasaan, nescaya sudah lama Tanah Palestin Yang Diberkati akan terbebas.
Wallahu a’lam wa ahkam.