Kapitalisme dalam lawatan kenegaraan

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada di Jakarta sebagai lawatan sulungnya ke Indonesia, sebuah negara yang disifatkannya sebagai mempunyai hubungan yang akrab dengan Malaysia, dan secara peribadi menerimanya ketika beliau terlempar, terbuang dan tersisih akibat kemelut politik di era reformasi.

Tidak dinafikan bahawa hubungan Malaysia-Indonesia memang rapat walaupun sekali sekala disulami dengan isu-isu yang kontroversi yang boleh menjadi bom jangka pada kedua-dua pihak.

Dalam pada Malaysia dan Indonesia sering disifatkan sebagai satu rumpun, malah berapa ramai warga Malaysia, termasuk dalam kalangan Menteri, yang keturunan mereka berasal dari Indonesia (khususnya dari tanah Jawa), namun hakikatnya hubungan persaudaraan berdasarkan akidah Islamiyyah masih belum benar-benar terwujud.

Apa tidaknya, jika dahulu Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan sebahagian Filipina merupakan satu kesatuan di bawah Nusantara, yang tidak mempunyai batas sempadan antara satu lain, kini kesemua negeri ini sudah mempunyai batas sempadan yang sangat ketat antara satu sama lain.

Dari segi sejarahnya, Muslim mana pun dari Indonesia boleh datang dan bertempat tinggal di Malaysia, dan begitulah sebaliknya, tanpa memerlukan izin daripada pemerintah. Begitu juga dengan Singapura dan Brunei, yang mana kesemua Muslim bebas keluar-masuk dan bertempat tinggal di seluruh Kepulauan Melayu ini tanpa sekatan, kerana Nusantara merupakan wilayah kaum Muslimin yang satu. Namun kini tidak lagi.

Apa sebabnya? Sebabnya hanya satu iaitu kerana kita dipisahkan-pisahkan oleh kuffar penjajah di mana penjajah-lah yang telah mewujudkan batas sempadan palsu antara kita. Lalu batas sempadan ini dipertahankan pula oleh para penguasa yang dilantik oleh penjajah, hinggalah ke hari kini.

Rentetan dari itu, hubungan yang wujud bukan lagi benar-benar atas dasar akidah Islamiyyah yang tidak mengenal batas sempadan antara sesama Muslim, tetapi malangnya ia menjadi hubungan serumpun berdasarkan sempadan wathaniyyah dan assabiyyah.

Itu dari satu sisi. Dari sisi lain yang tidak terpisah dari sisi yang pertama, penguasa di kedua-dua negara lebih berminat untuk mewujudkan dan mengukuhkan hubungan dagang, berbanding hubungan akidah yang seharusnya mempersatukan kita di bawah satu negara, satu pemerintahan dan satu bendera.

Memang benar hubungan dagang ini boleh mendatangkan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, namun apabila diperhalusi, ternyata golongan yang mengecapi keuntungan paling besar hanyalah penguasa dan syarikat-syarikat kapitalis raksasa yang rapat dengan mereka.

Sejak sekian lama hubungan dagang telah terjalin antara Malaysia-Indonesia, namun realitinya rakyat di kedua-dua negara, apatah lagi di Indonesia, terus menderita dengan jumlah kemiskinan yang luar biasa, yang tidak pernah kelihatan tanda-tanda penyusutannya!

Lihat sahaja lawatan sulung Perdana Menteri ke-10 kali ini, yang telah membawa bersama beliau serombongan syarikat-syarikat kapitalis yang menyaksikan pertukaran sembilan memorandum persefahaman (MoU) bagi pelbagai projek dan kerjasama, selain sesi penyerahan surat hasrat (LoI) yang melibatkan banyak syarikat kapitalis lainnya.

Begitulah hakikatnya yang terjadi dalam setiap lawatan kenegaraan di mana para penguasa mesti membawa bersama mereka syarikat-syarikat kapitalis raksasa yang akan menandatangani pelbagai perjanjian persefahaman, yang akan mengukuh dan menambahkan lagi kekayaan mereka dan para kapitalis, manakala rakyat yang tidak bermodal sentiasa terpinggir.

Hal ini dapat difahami dengan mudah, kerana dalam sebuah pemerintahan demokrasi, para kapitalis-lah yang merupakan pendukung dan pengepam dana kepada para politikus untuk bertanding dalam pilihan raya, sehingga apabila para politikus ini menang, mereka akan membalas “budi” para kapitalis ini semaksimum mungkin dengan pelbagai projek dalam dan luar negara.

Sebaik mana pun hubungan penguasa di kedua-dua negeri kaum Muslimin ini, selama mana mereka berpegang kepada ideologi kapitalisme, maka hubungan manfaat akan tetap menjadi pegangan dan keutamaan. Kesejahteraan dan penyatuan umat Islam tidak akan terwujud di bawah mereka.

Sesungguhnya penyatuan umat Islam berdasarkan kesatuan akidah, di bawah satu negara, satu pemerintahan dan satu bendera, tidak akan dapat terwujud di bawah para penguasa yang tidak berhukum dengan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.

Wallahu a’lam.