KDNK: Alat Mengukur Kemakmuran Negara?
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau dalam bahasa Inggeris disebut Gross Domestic Product (GDP) merupakan suatu cara pengukuran ekonomi sesebuah negara. Nilai KDNK sering digunakan sebagai kayu ukur kemakmuran ekonomi sesebuah negara. Perbandingan relatif KDNK antara negara dapat menentukan kedudukan ekonomi negara tersebut berbanding negara lain atau negara kuasa besar ekonomi. Inilah cara yang digunakan oleh sistem ekonomi kapitalis pada hari ini untuk menentukan sama ada sesebuah negara makmur atau mundur. Oleh sebab itu, setiap negara berlumba-lumba untuk meningkatkan KDNK bagi menunjukkan ekonomi negara mereka semakin berkembang dan makmur.
Terdapat tiga kaedah pengiraan KDNK yang pada prinsipnya akan mendapat nilai ukuran yang hampir sama iaitu pengiraan berdasarkan pendekatan produk (atau keluaran), pendekatan pendapatan, dan pendekatan perbelanjaan. Sebagai contoh, formula pengiraan berdasarkan pendekatan perbelanjaan adalah seperti berikut:
Dengan kata lain, tidak kiralah formula apa yang digunakan dalam pengiraan KDNK, yang paling penting ialah data yang digunakan.
Dalam membuat pengiraan KDNK, tidak mustahil adanya urus niaga yang tidak tercatat kerana tidak mempunyai resit atau tidak didaftarkan. Tidak mustahil juga berlakunya transaksi sebanyak dua kali atas data yang sama disebabkan oleh laporan daripada dua syarikat yang berbeza. Bagaimana pula dengan aktiviti pelacuran yang tidak diiktiraf sebagai sumber ekonomi negara, namun diiktiraf di negara lain terutamamya di negara Barat? Selain itu, dalam pengiraan KDNK, isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa tidak dianggap sebagai produktif walaupun melakukan kerja-kerja yang sama seperti pembantu rumah. Oleh itu, ia tidak dimasukkan dalam pengiraan KDNK. Namun, pembantu rumah yang melakukan kerja-kerja yang sama seperti suri rumah sepenuh masa dimasukkan ke dalam pengiraan KDNK. Situasi ini jelas menunjukkan adanya kelemahan yang ketara dalam pengiraan KDNK.
Selain KDNK, KNK (Keluaran Negara Kasar) atau GNP (Gross National Product) juga merupakan pengukuran ekonomi yang sangat penting dalam sistem ekonomi kapitalis. KNK dikira berdasarkan jumlah KDNK ditambah dengan faktor pulangan bersih luar negara, iaitu gaji semua rakyat sesuatu negara yang berkerja di luar negara ditolak dengan jumlah gaji pekerja asing yang berada dalam negara.
Walaupun kiraan KDNK tidaklah begitu tepat, namun secara anggaran kasar dapat menganggarkan kedudukan ekonomi sesebuah negara. Berdasarkan statistik Bank Dunia (World Bank) pada tahun 2015, Amerika Syarikat merupakan negara yang mempunyai KDNK tertinggi iaitu sejumlah US$18,036,648 juta manakala Kesatuan Eropah berada pada tangga kedua dengan nilai KDNK sebanyak US$16,229,464 juta. Namun, statistik tahun yang sama dikeluarkan oleh United Nations pula meletakkan Kesatuan Eropah pada tangga pertama, iaitu sebanyak US$18,518,430 juta manakala Amerika Syarikat pada tangga kedua, iaitu sebanyak US$18,036,648 juta. Malaysia pula berada pada tangga ke 35 dengan nilai KDNK US$296,218 juta dan US$326,933 juta menurut statistik Bank Dunia dan United Nations. Unjuran yang dibuat oleh Bank Dunia menjangkakan KDNK Malaysia akan meningkat sebanyak 4.5% pada 2017.
Walaupun Malaysia disasarkan akan menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, namun hakikatnya kuasa beli rakyat Malaysia semakin berkurang dan kos sara hidup pula semakin meningkat. Semakin ramai rakyat Malaysia khususnya golongan muda yang tersepit dengan peningkatan kos sara hidup sehingga terpaksa menanggung hutang yang begitu banyak. Kos sara hidup yang semakin meningkat disebabkan oleh kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kos bahan api serta ditambah lagi dengan pelbagai cukai seperti GST dan sebagainya, merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada kesempitan hidup ketika ini. Tidak hairanlah penyakit mental dijangka menjadi penyakit kedua tertinggi di Malaysia menjelang 2020 dengan faktor yang telah dikenalpasti, iaitu disebabkan oleh tekanan hidup. Oleh itu, timbul persoalan apakah KDNK atau KNK merupakan ukuran yang dapat menggambarkan keadaan sebenar kedudukan ekonomi sesebuah negara?
Menurut laporan Malaysian Digest, statistik gelandangan di Kuala Lumpur telah meningkat daripada 600 orang pada tahun 2014 kepada 2000 orang pada 2015. Amerika Syarikat yang dikatakan negara terkaya di dunia dengan KDNK tertinggi juga tidak kurang hebatnya menghadapi masalah ratusan ribu rakyatnya yang hidup sebagai gelandangan. Pada Januari 2015, dilaporkan seramai 564,708 orang yang hidup sebagai gelandangan di Amerika.
Angka-angka tersebut jelas menunjukkan bahawa nilai KDNK atau KNK yang tinggi tidak mengambarkan kesejahteraan ekonomi sesebuah negara. Seseorang tidak perlu belajar sehingga ke menara gading untuk memahami bahawa KDNK atau KNK ialah ukuran yang sangat lemah untuk mengukur kemakmuran kehidupan rakyat. Lebih-lebih lagi, nilai ini langsung tidak memberikan sebarang makna kepada kebanyakkan rakyat jelata kecuali sebagai penyedap mata segelintir manusia terutamanya pihak yang berkepentingan seperti golongan pemodal dan pemimpin-pemimpin negara.
Hakikatnya, dalam sistem ekonomi Kapitalis, golongan kaya menjadi semakin kaya dan yang miskin menjadi semakin papa. Syariat Islam mewajibkan pemerintah untuk memastikan setiap individu mampu memberikan nafkah kepada ahli keluarganya dan jika ada pelanggaran terhadap kewajipan ini, maka negara perlu mengambil tindakan undang-undang. Secara umumnya, tugas negara menjalankan tanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyatnya. Dalam Islam, kemakmuran ekonomi dinilai berasaskan kepada keupayaan negara untuk memenuhi keperluan setiap individu rakyat yang menjadi warga Daulah Islam dan seterusnya memberikan peluang kepada mereka seluas-luasnya untuk menikmati kemewahan. Dengan kata lain, walaupun hanya ada seorang sahaja warganegara yang tidak dapat makan, maka keadaan ini dinilai ‘buruk’ dan pemerintah wajib menyelesaikan masalah ini bagi melepaskannya daripada dosa kepada Allah SWT.
Pemimpin Islam akan memastikan setiap individu rakyat dapat memenuhi tiga keperluan yang paling asas iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Negara wajib menyediakan peluang pekerjaan dan mengenakan hukuman kepada individu yang malas bekerja sedangkan dia mempunyai ahli keluarga yang wajib dinafkahi. Peruntukan Baitul Mal akan digunakan sekiranya seseorang individu itu memang tidak mampu untuk bekerja (tidak produktif) disebabkan oleh sakit berat, kecacatan, tua, dan sebagainya. Sejarah banyak mencatatkan bagaimana pemerintah menjaga rakyatnya. Khalifah Umar bin al-Khattab pernah menangis kerana sangat bimbang untuk menghadapi ‘Mahkamah Akhirat’ kelak apabila dia akan ditanya oleh Allah SWT terhadap segala tindakannya semasa menjadi Ketua Negara. Beliau faham akan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Ma’qil bin Yasar RA.
مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلَّا حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ
“Barang siapa yang diangkat oleh Allah SWT untuk memimpin rakyatnya mati dalam keadaan memperdayakan (menganiaya) mereka (rakyatnya), Allah akan mengharamkan syurga untuknya” [HR Bukhari dan Muslim]
Perlu difahami bahawa Islam tidak pernah menghalang suatu kaedah pengiraan kemakmuran ekonomi negara seperti KDNK kerana ia bersangkutan dengan ilmu sains ekonomi yang bersifat universal. Hal ini demikian kerana sains ini secara umumnya bersifat mubah (harus) kecuali ada dalil yang mengharamkannya. Namun, sistem ekonomi sebaliknya bersifat khusus. Islam memiliki sistem tersendiri dan unik yang lahir daripada akidah Islam. Sistem ekonomi dalam Islam membahaskan tentang pemilikan dan bagaimana untuk menambahkan harta pemilikan. Islam juga mengatur tentang perbelanjaan pemilikan dan pengagihan kekayaan dikalangan rakyat Daulah Islam.
Islam telah menggariskan tiga jenis pe
milikan iaitu pemilikan individu (al-milkiyyah al-fardhiyyah), pemilikan umum (al-milkiyyah al-ammah), dan pemilikan negara (al-milkiyyah al-daulah). Kesemua ini ada diterangkan di dalam buku Sistem Ekonomi Islam dan Sistem Kewangan Negara Khilafah yang jelas menerangkan tentang pengurusan ekonomi dalam sistem Islam.
Kesimpulannya, KDNK ataupun KNK bukanlah satu alat yang jitu untuk menilai kesejahteraan kehidupan dari aspek ekonomi. Sebagai contoh, perkembangan ekonomi 6% setahun tidak menggambarkan bahawa kekayaan rakyat secara perkapita turut bertambah. Hal ini demikian kerana, KDNK atau KNK tidak dapat mengukur jurang kemiskinan. Amerika Syarikat yang merupakan kuasa ekonomi terbesar ketika ini sendiri gagal untuk mengagihkan kekayaan ekonomi dengan adil kepada rakyatnya sehingga ramai rakyat Amerika yang hidup sebagai gelandangan.
Rosli Salleh
Ketua HTM Cawangan Kuala Lumpur