Keangkuhan China di Laut China Selatan, antara puncanya ialah pemimpin umat Islam itu sendiri

Situasi Laut China Selatan kini menjadi semakin tegang ekoran tindakan badan perundangan tertinggi China, Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan yang meluluskan Undang-undang Pengawal Pantai pada 23 Januari lalu, menurut laporan akhbar.

Undang-undang ini antara lain membenarkan pasukan pengawal pantai negara tersebut menembak mana-mana kapal asing yang menceroboh perairan mereka serta merobohkan binaan di terumbu karang yang menjadi rebutan di Laut China Selatan. Ia juga memberikan kuasa kepada pengawal pantai China untuk mewujudkan zon larangan sementara bagi menyekat kemasukan kapal-kapal lain.

Meskipun jurucakap Kementerian Luar China menyatakan bahawa undang-undang tersebut selaras dengan amalan antarabangsa, namun hakikatnya langkah ini menunjukkan keangkuhan China untuk membuli negara-negara di Asia Tenggara agar tunduk kepada tuntutan mereka. Di samping itu, langkah ini juga dilihat cuba untuk memberikan legitimasi/keabsahan undang-undang sekiranya berlaku pertempuran di kawasan yang mempunyai tuntutan hak maritim yang bertindih.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 3 yang dipetik Malaysiakini (14/7/2020), perairan Malaysia telah diceroboh oleh Pasukan Pengawal Pantai dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat China sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019. Meskipun Malaysia telah mengeluarkan sebanyak lima nota bantahan diplomatik, namun tidak sedikit pun dihiraukan oleh rejim China. Dengan adanya undang-undang ini, pastinya akan meningkatkan lagi ancaman terhadap tentera negara ini dalam pencerobohan-pencerobohan yang mungkin terjadi pada masa akan datang.

Laut China Selatan menjadi rebutan beberapa buah negara yang bertetangga dengan China, dan masing-masing menuntut hak kedaulatan di perairan ini, termasuk Malaysia.

Apa yang mendukacitakan kita ialah, tiada respons yang tegas daripada pemimpin kaum Muslimin sama ada dari Malaysia, Indonesia atau Brunei, tatkala kapal-kapal China menceroboh perairan ketiga-tiga negara ini.

Perkara ini sangat berbeza ketika Khilafah masih wujud suatu ketika dulu, di mana Khalifah memberi kata dua kepada kapal negara asing yang menceroboh, sama ada keluar atau akan berdepan dengan tentera Khilafah. Inilah antara tugas Khalifah yang akan memastikan negara terus terjaga daripada pencerobohan puak kuffar. Benarlah sepertimana yang disebutkan oleh Rasullullah (saw) yang bermaksud

“Sesungguhnya Imam (Khalifah) itu laksana perisai, orang-orang berperang dan berlindung di belakangnya” [HR Bukhari].

Fungsi Khalifah sebagai perisai bagi rakyatnya menuntut Khalifah itu menjadi seorang yang pemberani, kuat dan tidak gentar dengan pihak musuh, bukannya seorang pengecut atau lemah di hadapan musuh. Kekuatan ini dibangun bukan sahaja kerana karakter peribadi Khalifah itu sendiri yang berani, tetapi kerana akidah yang dimiliki oleh sang Khalifah, sebagaimana akidah kaum Muslimin lainnya, yang meyakini bahawa hidup dan matinya hanyalah untuk Allah, dan ia akan beroleh syahid sekiranya mati tatkala berjihad melawan musuhnya.

Hadis di atas juga dengan jelas dan tegas menunjukkan bahawa Khalifah adalah satu-satunya penguasa yang akan menjadi pelindung bagi umat Islam, yang akan menjaga agama, darah, kehormatan dan harta mereka. Khalifahlah yang juga menjadi penjaga setiap inci wilayah Daulah Islam daripada diceroboh oleh musuh-musuh Islam.

Malangnya umat Islam pada hari ini tidak memiliki seorang Khalifah, dan tidak bersatu di bawah negara Khilafah. Sebaliknya umat Islam terpecah-belah dan dipisahkan mengikut batas sempadan negara-bangsa yang dicorakkan oleh penjajah. Kesannya, umat ini menjadi lemah dan seringkali ditindas serta diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa kuffar. Lebih malang apabila penguasa mereka bukan sahaja pengecut, malah rata-rata merupakan ejen kepada puak kuffar dan tunduk patuh kepada musuh-musuh Allah.

Justeru, tidak hairan apabila China begitu berani melakukan pencerobohan dan tidak pernah menghiraukan bantahan daripada pemimpin kaum Muslimin, yang mereka tahu bukan sahaja lemah, malah bantahan tersebut tidak lebih daripada sebuah retorik semata-mata.

Wallahu a’lam.