Meninjau Konflik Laut China Selatan Dari Perspektif Islam

Di saat fokus utama dunia tertumpu kepada langkah menangani pandemik COVID-19, konflik di Laut China Selatan (LCS) semakin hari semakin memanas. Sebuah kapal China mengganggu pelantar penggerudian dan kapal pembekal milik Malaysia pada 19 November tahun lalu, dan tentera laut Malaysia bertindak balas dengan mengerahkan sebuah kapal untuk mengekori kapal China. Kapal milik Vietnam pernah ditenggelamkan oleh kapal peronda maritim China di perairan yang dipersengketakan. Indonesia dan China juga pernah tegang disebabkan rondaan kapal-kapal China di Laut Natuna Utara sebelum tercetusnya wabak COVID-19.

Konflik di Laut China Selatan juga menjadi salah satu medan pertembungan dua kuasa besar iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China. China mengambil kesempatan ketika dunia mengalihkan perhatian untuk mengatasi pandemik COVID-19 untuk menunjukkan kekuatannya. Sementara itu, negara-negara Asia Tenggara telah mengurangkan perbelanjaan pertahanan mereka walaupun berdepan dengan ancaman dari China yang semakin meningkat saban waktu. Indonesia telah mengumumkan akan mengurangkan perbelanjaan pertahanannya tahun ini sebanyak USD588 juta. Thailand juga telah mengurangkan peruntukan pertahanannya sebanyak USD555 juta. Negara-negara lain seperti Malaysia, Vietnam, dan Filipina turut menghadapi tekanan serupa.

Dalam pada itu, kebanyakan negara kaum Muslimin juga terlalu bergantung kepada negara kaum kuffar untuk mendapatkan bekalan persenjataan. Mantan Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu pernah menegaskan bahawa kesiapsiagaan ketenteraan Malaysia berada di tangga terbawah berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara. Menurutnya Malaysia berada di tempat paling bawah dari aspek kedudukan laut, udara, dan sebagainya, di Asia Tenggara [Astro Awani, 9/8/2018]. Mat Sabu juga menegaskan jet pejuang Malaysia Su-30 dan MiG-29 sudah usang dan perlu diganti. Daripada 6 buah kapal tempur yang dibina oleh syarikat Boustead, tidak ada sebuah pun yang sudah siap walaupun sejumlah RM6 bilion telah dibayar. Manakala helikopter Nuri telah berusia lebih 52 tahun dan kebanyakan komponen serta alat gantinya sudah tidak dikeluarkan lagi [Sinar Harian, 18/12/2020].

Begitu juga dengan Indonesia. Lebih daripada separuh armada tentera laut Indonesia telah uzur dan mesti ditamatkan perkhidmatannya dalam tempoh beberapa tahun lagi [Deutsche Welle, 6/10/17], malah pernah timbul kontroversi pada tahun 1996 apabila Indonesia membeli 39 buah kapal perang ‘second hand’ yang pernah digunakan oleh Jerman Timur dengan harga yang dilaporkan oleh majalah Tempo bertarikh 04/06/1994 membengkak menjadi 62 kali ganda.

Pada bulan November 2020, Presiden China Xi Jinping memerintahkan tentera China untuk berlatih lebih gigih dan bersiap untuk pertarungan sampai mati. Xi mengatakan kepada para jeneral Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) bahawa dua juta tentera China mesti berlatih dalam keadaan pertempuran nyata. Dia mengatakan kepada mereka untuk “tidak takut menghadapi kesulitan” dan “tidak takut mati”.

Kedudukan Amerika Syarikat (AS) yang semakin melemah memberi peluang kepada China untuk melebarkan pengaruhnya termasuk di LCS. Amerika tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya di LCS memandangkan ia menempatkan tenteranya di merata-rata tempat di seluruh dunia. Walaupun demikian, pastinya AS tidak akan berdiam diri. AS mendesak China untuk menghentikan operasi membina pulau buatan di Laut China Selatan. Pada 22 Disember 2020 China telah mengusir kapal pemusnah Amerika yang berlayar memasuki perairan Kepulauan Spratly di LCS. Operasi itu dilakukan setelah Amerika mengancam bahawa mereka akan “lebih tegas” terhadap Beijing.

Sementara itu, AS turut mendesak negara-negara Asia Tenggara untuk bergabung mengekang China secara politik dan ketenteraan. Negara-negara ASEAN kini berada dalam dilema. Mereka bingung kerana diminta untuk memilih China yang banyak memberi keuntungan ekonomi atau Amerika yang memiliki beberapa kelebihan termasuk kekuatan pangkalan-pangkalan tenteranya di Filipina, Singapura, dan Jepun.

Penganalisis mengatakan presiden Amerika yang baru iaitu Joe Biden dijangka tidak akan bersikap lembut tentang isu LCS. Walaupun Biden mungkin tidak sebising Trump, namun Washington akan meneruskan operasi ‘kebebasan pelayaran’ di LCS untuk terus mencabar China. Biden menyedari bahawa China adalah ancaman kepada AS. Beliau semakin kritikal terhadap Beijing dan menggelar Presiden Xi sebagai samseng. Biden juga berpura-pura menunjukkan sikap prihatinnya terhadap tindak tanduk kezaliman rejim China di Hong Kong dan Xinjiang. Walaupun

Biden mungkin tidak selantang Trump, namun Amerika akan terus mengamalkan sikap anti-China dan pentadbirannya dijangkakan akan terus bersikap tegas tentang isu-isu seperti LCS [South China Morning Post, 9/11/20].

Dunia menyaksikan kedua-dua kuasa besar saling bersaing dan saling mencurigai antara satu sama lain. Buat masa sekarang AS masih lagi mengekalkan kedudukannya sebagai kuasa dunia nombor satu. Manakala dari segi Keluaran Negara Kasar (KNK) ekonomi Amerika menghasilkan satu pertiga keluaran dunia. Dalam sektor telekomunikasi, farmasi dan aero angkasa lepas, syarikat-syarikat dan firma Amerika berada di hadapan. Syarikat McDonald, Google, Apple dan Facebook juga menjadi jenama-jenama yang berpengaruh. AS juga mendabik dada, kononnya merupakan jaguh dalam peperangan global memerangi ‘keganasan’ (baca: memerangi Islam dan memerangi sesiapa yang menjadi musuh Amerika). Pangkalan tentera AS wujud di 130 buah negara. Jumlah perbelanjaannya untuk persenjataan dan ketenteraan mengatasi gabungan tujuh buah negara yang cuba bersaing dengannya.

Namun, China telah mengalahkan Amerika sebagai kuasa ekonomi nombor satu dunia menurut laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bertajuk ‘World Economic Outlook’ yang dikeluarkan pada Oktober 2020. Nilai ekonomi China berjumlah USD24.2 trilion telah mengatasi AS yang berjumlah USD20.8 trilion. China juga telah melancarkan satelit pengujian komunikasi generasi keenam (6G) pada 6 November tahun lalu.

Di samping itu, China telah memerangkap banyak negara dengan hutang yang diputar-belit sebagai pelaburan ekonomi. Syarikat-syarikat China seperti Huawei, Lenovo, Haier, Alibaba, Tencent dan Baidu telah melebarkan pengaruhnya di serata dunia.

China dan Amerika tidak mempedulikan undang-undang laut antarabangsa malah mereka menunjukkan keangkuhan mereka untuk menguasai LCS. Undang-undang laut antarabangsa hanya ‘dipatuhi’ apabila ia memberikan manfaat atau kelebihan kepada mereka, sepertimana yang dilakukan oleh AS dengan strategi ‘kebebasan belayar’. Sebaliknya Malaysia, Indonesia dan Brunei pula sebagai wakil negeri Muslim di sekitar LCS tidak mampu melakukan sebarang tindakan bermakna dalam menangani sikap agresif China dan reaksi Amerika. Ketiga-tiga negara ini masih terjebak dalam masalah teknikal tentang batas-batas maritim, kelemahan ekonomi, dan ketundukan politik pada kekuatan China dan AS.

Mengapa umat Islam hanya menjadi penonton yang hanya mampu melihat kekuatan negara-negara kuffar seperti AS dan Cina yang mempunyai rekod memerangi dan menindas umat Muslim? Padahal catatan sejarah mencatat banyak prestasi maritim gemilang kaum Muslimin. Salah satunya yang paling awal terjadi pada bulan Ramadhan 53 H di era tokoh maritim Islam iaitu Khalifah Mu’awiyah yang menguasai Pulau Rhodes di Laut Mediterranean. Pulau Rhodes adalah pulau terbesar dari kepulauan Dodecanese, dan pulau utama paling timur Greek di Laut Aegean.

Situasi di LCS mirip dengan kedudukan Laut Mediterranian pada abad pertengahan. Kedua-dua laut ini menjadi medan persaingan kuasa-kuasa besar pada masanya. Di laut Mediteranean, kekuatan besar di situ ialah Khilafah Islam dan Empayar Bizantium. Apa yang membezakannya dengan keadaan hari ini di LCS? Umat Islam pada ketika itu berada di bawah kepemimpinan Khilafah Islam yang mempunyai visi maritim Islam untuk mengawal dan menguasai Laut Mediteranean. Manakala pada zaman sekarang, kelemahan meliputi dunia Islam setelah runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924 yang diikuti dengan perpecahan umat Islam menjadi banyak negara bangsa akibat nasionalisme, dan ditambah dengan hegemoni kapitalisme demokrasi yang menjadi tata dunia hari ini.

Visi maritim Islam di Laut Mediterranean adalah selaras dengan dasar politik luar negeri Islam yang bertumpu pada prinsip dakwah dan jihad. Kekuatan armada laut umat Islam menjadi salah satu kekuatan besar yang disegani pada masa itu. Puncaknya adalah ketika Kesultanan Uthmaniyah yang menonjolkan tokoh-tokoh maritim seperti Heyreddin Barbarosa, Hasan Khairuddin, Kilij Ali, Piri Reis, Hasan ath-Thusi, Zaganos Pasha dan Turgut Reis. Mereka adalah jaguh mujahid maritim bagi umat Islam yang menggentarkan musuh-musuh Islam. Di bawah panji jihad, dakwah Islam tersebar menyeberangi Laut Mediterranean.

Strategi ini bahkan sudah dipelopori secara serius sejak zaman Mu’awiyah bin Abu Sufyan lagi. Usaha gigih Muawiyah merintis armada laut telah memberikan pengaruh besar di Laut Mediterranean yang menjadikan tentera laut umat Islam sebagai ancaman terhadap empayar Rom Timur. Di zaman Mu’awiyah juga untuk pertama kalinya tentera Islam melakukan ekspedisi penaklukan kota Istanbul. Mu’awiyah berjaya meletakkan diri sebagai salah satu tokoh maritim, bukan sekadar penonton seperti pemimpin pada hari ini.

Dilema yang dihadapi dalam isu LCS tidak akan terjadi jika rantau Melayu-Nusantara yang terbentang dari Indonesia, Malaysia, Brunei, Filipina, Thailand, hingga ke Singapura berada di bawah naungan Khilafah Islamiyah. Khilafah memiliki visi dan strategi politik yang jelas. Ia tidak akan bekerjasama dengan negara kuffar yang hanya memanfaatkan negara lain untuk kepentingan politiknya, selain daripada mengikis kekayaan negara tersebut.

Sudah sampai masanya bagi para penguasa Muslim di sekitar Laut China Selatan mengembalikan visi maritim Islam yang akan membebaskan dan melindungi wilayah mereka dari penguasaan kuffar dengan menegakkan hukum-hukum Islam. Sebuah visi yang menjadikan dorongan iman, jihad dan takwa sebagai asas, bukan keserakahan dan penjajahan ekonomi seperti hari ini. Ingatlah bahawa keutamaan jihad di lautan berdasarkan sabda Rasulullah (saw):

غَزْوَةٌ فِي الْبَحْرِ خَيْرٌ مِنْ عَشْرِ غَزَوَاتٍ فِي الْبَرِّ، وَمَنْ أَجَازَ الْبَحْرَ فَكَأَنَّمَا أَجَازَ الأَوْدِيَةَ كُلَّهَا، وَالْمَائِدُ فِيهِ كَالْمُتَشَحِّطِ فِي دَمِهِ

“Satu kali berperang di lautan itu lebih baik dari sepuluh kali berperang di daratan. Orang yang berlayar di lautan (ketika jihad) adalah seperti orang yang telah mengharungi seluruh lembah (daratan). Dan orang yang mabuk di lautan (ketika jihad) adalah seperti orang yang bersimbah darah (dalam jihad)” [HR al-Hakim No. 2634 dan ath-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir].

Umat Islam memerlukan perisai politik yang sejati demi melindungi wilayah mereka. Rasulullah (saw) bersabda:

إِنَّمَا الْإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ

“Sesungguhnya Imam (Khalifah) itu adalah perisai, orang-orang berperang dan berlindung di belakangnya” [HR Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Daud, dll].

Imam al-Mala al-Qari menyatakan, “Makna kalimat (إنما الإمام) adalah al-Khalifah atau Amirnya”. Kedudukan al-Imam, dan apa yang diungkap dalam hadis yang agung ini tidak terbatas dalam peperangan semata-mata seperti penegasan beliau:

“Ungkapan (وَيُتَّقَى بِهِ) sebagai penjelasan dari kedudukan al-Imam sebagai junnah (perisai) yakni menjadi pemimpin dalam peperangan yang terdepan dari kaumnya untuk mengalahkan musuh dengan keberadaannya dan berperang dengan kekuatannya seperti keberadaan perisai bagi orang yang dilindunginya, dan yang lebih tepat bahawa hadis ini mengandungi konotasi dalam seluruh keadaan; kerana seorang Imam menjadi pelindung bagi kaum Muslimin dalam memenuhi keperluan-keperluannya secara berkelanjutan” [‘Ali bin Sulthan Muhammad Abu al-Hasan Nuruddin al-Mala’ al-Qari, Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Mashabih, juz VI, hlm. 2391].

Makna ungkapan kalimat “al-Imamu junnah” adalah perumpamaan sebagai bentuk pujian terhadap Imam yang memiliki tugas mulia untuk melindungi orang-orang yang ada di bawah kekuasaannya sebagaimana dijelaskan oleh Imam an-Nawawi dalam Syarh Shahih Muslim,

“(Imam itu perisai) yakni seperti as-sitr (pelindung), kerana Imam (Khalifah) menghalangi/mencegah musuh dari mencelakai kaum Muslimin, dan mencegah antara manusia satu dengan yang lain untuk saling mencelakai, memelihara kemurnian ajaran Islam, dan manusia berlindung di belakangnya dan mereka tunduk di bawah kekuasaannya”.

Dr. Shafie