Kebrutalan CIA seksa tahanan terdedah secara rasmi

altObama arah CIA disiasat

WASHINGTON 25 Ogos – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semalam melancarkan siasatan jenayah mengenai taktik soal siasat ‘tidak berperikemanusiaan’ yang digunakan oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) ke atas tahanan semasa kempen memerangi keganasan di bawah bekas Presiden George W. Bush.

Dokumen sulit yang disiarkan semalam, menunjukkan penyiasat CIA mengancam untuk membunuh anak-anak seorang tahanan dan untuk memaksa seorang lagi suspek melihat ibunya dirogol.

Obama juga mengarahkan perubahan dilakukan terhadap prosedur soal siasat akan datang, termasuk meletakkan agensi lain selain CIA di bawah arahan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan diselia oleh Penasihat Keselamatan Negara beliau sendiri.

Pentadbiran beliau memberi jaminan, soal siasat akan dijalankan mengikut Manual Medan Tentera Darat, dengan peraturan ketat ke atas taktik yang digunakan dan White House tidak akan campur tangan apabila penyiasat profesional menjalankan tugas mereka.

Beberapa jurucakap Obama berkata, keputusan sama ada hendak memfailkan pendakwaan atau tidak akan dibuat oleh Peguam Negara, Eric Holder dan bukan oleh White House.

Laporan yang disediakan oleh Ketua Inspektor CIA lima tahun lalu, diklasifikasikan sebagai tidak sulit baru-baru ini dan disiarkan semalam atas perintah mahkamah persekutuan, menggambarkan taktik keras yang digunakan oleh penyiasat ke atas suspek pengganas selepas serangan 11 September 2001.

Penyiasat yang mahu mencungkil maklumat mengenai serangan akan datang, mengancam seorang tahanan dengan pistol dan gerudi elektrik, mencekik seorang lagi dan cuba menakutkan seorang suspek dengan menjalankan hukuman mati olok-olok ke atas seorang lagi tahanan.

Holder berkata, beliau telah memilih pendakwa raya veteran, John Durham untuk memastikan sama ada mana-mana pegawai CIA atau kontraktor CIA patut menghadapi tuduhan jenayah kerana menggunakan taktik-taktik yang melampaui batas.

Bekas Pengarah CIA, Michael Hayden, yang dilantik oleh Bush pada 2006, melahirkan rasa kecewa dengan kemungkinan pegawai CIA didakwa.

Obama sebelum ini berkata, para penyiasat tidak akan didakwa jika mereka mematuhi garis panduan undang-undang tetapi laporan Ketua Inspektor CIA itu menyatakan mereka bertindak melampaui batas, malah melanggar apa yang dibenarkan di bawah memo undang-undang Jabatan Keadilan yang telah pun ditarik balik dan dipertikaikan.

Laporan itu juga menunjukkan sesetengah penyiasat menyedari tindakan mereka melampaui batas yang ditetapkan.

“Sepuluh tahun dari sekarang, kita akan menyesal melakukan perkara ini tetapi kita terpaksa melakukannya,” kata seorang pegawai CIA yang tidak disiarkan identitinya, menurut laporan itu, sebagai membayangkan penyiasat suatu hari nanti akan dihadapkan ke mahkamah untuk menjelaskan tindakan mereka.

Laporan itu membuat kesimpulan, CIA menggunakan amalan-amalan ‘yang tidak dibenarkan, yang direka sendiri dan tidak berperikemanusiaan’ semasa menyoal siasat suspek pengganas ‘bernilai tinggi’. – AP

Sumber: Utusan Malaysia 25/08/09

 

Ulasan:


Kebrutalan CIA seksa tahanan terdedah secara rasmi

Siapa tidak tahu kejahatan Amerika? Amerika sebagai negara penganut ideologi Kapitalis terbesar tentunya akan berfikir dan bertindak sebagai Kapitalis. Dan antara ’ajaran’ utama Kapitalis adalah memastikan diri mereka terus hidup untuk meraih manfaat dengan menindas dan menyeksa orang lain. Amerika anti Islam, inilah hakikatnya walaupun dinafikan berkali-kali oleh White House. Amerika telah lama melihat bahawa kebangkitan Islam yang berlaku sekarang akan menghancurkan hegemoni mereka satu hari nanti.

Dan mana-mana pihak yang dilihat Amerika yang boleh menghancurkan mereka atau mengancam kepentingan mereka akan terus dicop sebagai pengganas. Dan pengganas mestilah dihapuskan. Inilah polisi mereka. Namun, umpama kucing dengan tikus, adakalanya mangsa dipermain-mainkan terlebih dahulu agar terus terseksa hinggalah akhirnya dibunuh.

Justeru, CIA sebagai pihak yang diberi kuasa menangkap suspek pengganas, dengan kebencian yang ada pada mereka terhadap orang-orang Islam dan juga agama Allah, maka menyeksa tahanan adalah rutin mereka. Kita semua tahu bahawa ’pengganas’ yang mereka maksudkan dan yang mereka tangkap rata-ratanya adalah orang Islam.

Walaupun kita tidak mengetahui apakah kisah sebenar di sebalik arahan Obama untuk menyiasat CIA, namun apa yang pasti, kebrutalan CIA menyeksa tahanan yang dicop sebagai pengganas, kini telah terdedah secara rasmi. Mungkin sahaja Obama cuba menunjukkan kepada dunia bahawa dia adalah seorang pemimpin yang bertanggungjawab, tidak sebagaimana si Bush yang sebelum ini dikecam hebat kerana polisinya yang kejam terhadap tahanan. Mungkin sahaja Obama cuba memulihkan imej Amerika di mata dunia, dengan sengaja mendedahkan sedikit kezaliman, manakala yang disembunyinya jauh lebih banyak. Namun, dunia akan pasti melihat Obama sebagai hero, dan imej Amerika berjaya dipulihkan walaupun tidak banyak, tetapi ini sudah mencukupi.

Sebagai Muslim, kita hendaklah kenal siapa Obama, agar kita tidak terpengaruh dan terpedaya dengan kelicikan yang dilakukannya. Jika benar Obama prihatin dengan nasib yang menimpa tahanan, kita semua mesti ingat bahawa Obama sesungguhnya ’menyeksa’ dan membunuh lebih ramai umat Islam yang dilabelnya pengganas, dan hal ini dilakukannya secara terang-terangan, bukannya secara sembunyi-sembunyi seperti dilakukan CIA. Lihat sahaja sudah berapa ramai umat Islam di Afghanistan yang ’dibunuh’ Obama dengan meneruskan agenda ’war on terror’ Bush. Sejak pemerintahannya, bilangan tentera Amerika di Afghanistan ditambah dengan drastik. Begitu juga dengan perang berterusan yang dilancarkan Obama di Pakistan, juga atas nama ’war on terror’ .

Sudah ribuan umat Islam yang ’diseksa’ oleh Obama. Ramai yang ’terseksa’ termasuk ibu-ibu yang kehilangan anak, isteri yang kehilangan suami, keluarga yang hilang tempat bergantung, kehilangan tempat berteduh, mangsa perang yang mengalami kecederaan kekal dan pelbagai bentuk ’seksaan’ lagi dihadapi oleh umat Islam hasil kerjatangan Obama. Kini, Obama kononnya mengarahkan agar CIA disiasat kerana menyeksa tahanan pengganas!

Wahai kaum Muslimin! Inilah padahnya apabila kuasa dunia berada pada tangan orang kafir. Tanyalah dengan hati yang ikhlas, bilakah semua penderitaan umat ini akan berakhir, jika tidak dengan adanya Daulah Khilafah yang akan menjaga kehormatan, darah dan nyawa umat Islam? Kuasa dunia tidak boleh dibiarkan terus berada di tangan musuh Allah, jika tidak, beginilah jadinya. Justeru, kita wajib berusaha dan terus berusaha untuk menegakkan semula Daulah Khilafah, agar dunia nanti dipimpin oleh seorang Khalifah yang akan menyelamatkan kesemua umat Islam yang terseksa dan seterusnya membawa rahmat ke sekelian alam.