Kebuntuan Debat Etika Pakaian Wanita Di Singapura: Potret Masyarakat Yang Keliru
Skirt pendek, seluar singkat, dan seluar pendek—etika wanita dalam berpakaian—menjadi topik hangat perdebatan selepas seorang pembaca The Straits Times menulis surat forum tentang idea kod etika berpakaian di tempat awam untuk lelaki dan wanita. Tulisan Benjamin Sim Buke Huang itu mengulas kes gangguan seksual oleh seorang doktor gigi di Singapura terhadap seorang penumpang MRT yang memakai seluar pendek pada 2 Julai yang lalu. Sim menulis bahawa remaja perempuan ramai yang memakai seluar pendek di tempat awam, termasuk tempat ibadat merupakan satu perbuatan yang kurang menghormati agama dan orang lain. Netizen lain juga berkata, “Kaum lelaki memang perlu mengawal diri mereka, tetapi wanita juga mempunyai tanggungjawab untuk tidak memberi godaan di hadapan mereka.”
Sementara itu, Oliver Ming Kang melalui akaun Facebooknya menulis, “Ini adalah satu bentuk meng’kambing hitam’kan mangsa. Sekalipun seseorang keluar dengan memakai pakaian dalamnya (seperti di kolam renang) bukanlah satu masalah. Jenayah tetap jenayah dan tidak sepatutnya mangsa yang dipersalahkan.” Francis Cheng yang juga tidak bersetuju dengan idea ini mengatakan pada pendapatnya yang disiarkan dalam The Straits Times pada 11 Julai, “Siapa gerangan kita sehingga boleh menilai benar-salah pakaian di tempat awam dan bagaimana kita menetapkan hadnya? Memilih pakaian di tempat awam adalah hak peribadi setiap orang, seseorang tidak perlu berpakaian sopan dahulu untuk dihormati.”
Ulasan:
Perdebatan mengenai isu ini sebenarnya sudah sering muncul apabila masyarakat kembali digegarkan oleh isu jenayah/gangguan seksual yang mengancam maruah wanita. Namun, sama sahaja perdebatannya tidak pernah membawa kepada kesepakatan dan tindakan penyelesaian terhadap isu ini. Adalah sangat ironi, kemajuan ekonomi Singapura yang digelar sebagai salah satu daripada negara maju malah disertai dengan jenayah yang berleluasa dan keruntuhan akhlak masyarakat—suatu fenomena sindrom Chicago yang dikatakan oleh seorang profesor di Malaysia sebagai sindrom negara kapitalis yang ‘mencapai kemajuan ekonomi namun mengalami kerosakan peradaban’. Singapura dengan gaya hidup bebas ala Kapitalisme pragmatik mengekalkan amalan pelacuran melalui penempatan beberapa daerah PSK (Pekerja Seks dan Komersil) dengan pekerja seks dan pelanggan bukan sahaja dari Singapura, tetapi juga dari pelbagai negara di Asia, seperti Indonesia, Malaysia, Thailand, Vietnam, India, dan Cina. Ramai remaja lelaki di negara Singa itu yang menjadi pelanggan pelacuran di sana.
Kes gangguan wanita di tempat awam seperti ini, menambahkan senarai masalah sosial di negara maju itu. Masyarakat Singapura sebenarnya tidak henti berdebat mengenai tatacara berpakaian tetapi kurangnya tindakan penyelesaian terhadap masalah jenayah seksual. Sebab, pendidikan akhlak/moral untuk kaum lelaki yang sering dikemukakan sebagai penyelesaian dan penolakan ke atas idea peraturan cara berpakaian wanita, tidak mungkin tercapai di tengah-tengah sistem Kapitalisme yang sebenarnya mendedahkan dan memperdagangkan wanita secara berahi. Kapitalisme juga tidak teragak-agak menjadikan kecantikan dan keindahan tubuh wanita sebagai alat pemangkin perniagaan dan mesin pencetak duit; pelbagai iklan produk bermula daripada industri makanan dan minuman, automotif, kosmetik, pakaian, sehingga media dan perfileman menonjolkan imej berahi wanita & ukuran kecantikan daripada aspek fizikal semata-mata. Ukuran kecantikan ‘palsu‘ ini ditambah dengan prinsip kebebasan ala Barat akhirnya juga membuatkan ramai wanita memandang penampilan fizikal sebagai aset untuk memperoleh pengiktirafan, populariti, dan perhatian.
Sementara Islam sejak awal kedatangannya telah meninggikan darjat wanita dengan meletakkan peranan pentingnya sebagai intelektual, ahli politik, dan ibu generasi emas, bukan objek seksual. Islam melarang eksploitasi wanita dalam apa jua bentuk–bukan hanya menyentuh, kaum lelaki juga diperintahkan untuk menahan pandangannya daripada melihat aurat wanita yang terdedah bahkan daripada memandang wanita yang memakai pakaian tertutup sekalipun—dan oleh sesiapa sahaja sama ada oleh individu, media, atau syarikat. Pemahaman yang benar tentang peranan wanita dalam masyarakat dan hak-haknya serta ukuran kecantikan hakiki akan dapat dibentuk melalui sistem pendidikan berasaskan akidah Islamiyah, yang bersepadu dengan penerapan sistem pergaulan Islam dengan penentuan had interaksi antara lelaki dan wanita yang menjaga supaya interaksi di antara mereka menjadi interaksi profesional yang produktif, dan menjaga wanita supaya tidak dinikmati dari segi tubuh dan wajahnya, apatah lagi sehingga menjadi objek fantasi seksual lelaki hidung belang.
Keseluruhan sistem tersebut hanya dapat diterapkan oleh pemerintah yang mengemban ideologi Islam secara kaffah, Khilafah Islamiyah yang akan menghentikan semua bentuk eksploitasi wanita melalui keadilan sistem iaitu keadilan hukuman Islam. Hanya melalui pengembanan ideologi Islam oleh negara akan mewujudkan kepemimpinan seperti kepemimpinan Khalifah al-Mu’tasim Billah yang menjawab seruan permintaan tolong oleh seorang hamba Muslimah Bani Hasyim—yang diganggu dan diperlecehkan orang-orang Rom yang mengaitkan kainnya ke paku sehingga sebahagian auratnya terbuka ketika berdiri. Khalifah al-Mu’tasim telah menggerakkan berpuluh-puluh ribu pasukan untuk menyerbu kota Ammuriah (Turki) demi memberikan keadilan dan membela maruah seorang hamba Muslimah tersebut.