Kecerdikan Seorang Profesor

altSekali lagi, isu berkaitan penjajahan Tanah Melayu muncul. Baru-baru ini Berita Harian melaporkan komen daripada seorang bekas pensyarah sejarah semasa Kolokium Sejarah Malaysia, di Universiti Malaya beberapa hari lepas yang mengatakan Malaysia tidak dijajah sepenuhnya kerana Raja-Raja Melayu masih memegang kuasa di dalam hal-ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu.

Ya, memang benar semasa penjajahan British di Tanah Melayu, Raja-Raja Melayu diberikan kuasa menentukan perkara-perkara yang berkaitan dengan keagamaan dan adat istiadat orang melayu. Walaupun memang ada Raja-raja Melayu dipanggil untuk diminta nasihat, urusan politik dan pemerintahan tetap dikuasai sepenuhnya oleh British. Namun, di manakah isu utamanya?

Isunya disini bukanlah sebahagian kuasa yang diberikan kepada Raja-Raja Melayu semasa di zaman British itu tetapi yang mesti dijelaskan adalah betapa besarnya kuasa yang ada pada Suruhanjaya British di Tanah Melayu ketika itu sehingga mereka sewenang-wenangnya mengorek harta kekayaan Tanah Melayu ketika itu. Orang-orang British dan segelintir orang-orang Melayu di Tanah Melayu ketika itu hidup mewah tetapi hampir semua orang-orang Tanah Melayu hidup di dalam keadaan susah. Pembangunan dan kemajuan hanya dinikmati di bandar/pekan yang memberikan hasil lumayan seperti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Singapura. Kita tidak pernah didedahkan berapa banyak bijih timah, bijih besi dan hasil getah yang telah dikorek dan dihantar ke empayar British. Hasil bumi yang begitu banyak sehingga British melihat Tanah Melayu sebagai salah sebuah negara jajahannya yang banyak memberikan hasil kepada British. Ini sebenarnya sudah menjadi bukti betapa banyaknya hasil Tanah Melayu yang mengalir ke Empayar British. Hampir semua jawatan-jawatan penting dipegang oleh orang British. Kebanyakkan ladang dimiliki oleh British. Walaupun ada lombong-lombong dikuasai oleh pembesar-pembesar melayu, manfaat daripada hasil lombong tetap mengalir kepada Empayar British.

Apa yang paling penting di sini adalah akibat daripada penjajahan dari segi politik dan pemerintahan, British telah menggunakan sepenuh kuasa dan pengaruh yang ada pada mereka untuk menetapkan bentuk perlembagaan Tanah Melayu menjelang kemerdekaan Tanah Melayu. Walaupun adanya penglibatan pemimpin melayu semasa pembentukan perlembagaan, British amat berhati-hati di dalam memastikan bahawa Tanah Melayu ini tidak akan bertukar menjadi Negara Islam pada masa akan datang. Kemudian, setelah kemerdekaan diberikan kepada Tanah Melayu, tanpa disedari atau tidak, pemimpin-pemimpin negara pada hari ini tetap mempertahankan perlembagaan tersebut padahal asas penubuhan dan pembentukan perlembagaan Negara itu adalah hasil perancangan halus British. Maka dengan itu, isunya bukan berapa banyak kuasa yang diberikan kepada Raja-Raja Melayu tetapi yang paling penting adalah apakah kesan utama penjajahan British di Tanah Melayu. Jadi untuk apa dikekalkan perlembagaan yang dengan jelas menghalang penubuhan Negara Islam dan perlaksanaan syariat Islam sepenuhnya itu?

Rujukan : Berita Harian  25/2/2012