Kegagalan Kerajaan dalam Menyediakan Pendidikan Terbaik kepada Rakyat

Sejak pandemik COVID-19 menular di awal tahun 2020 hinggalah ke hari ini, kita menyaksikan kerajaan gagal dalam membendung penularan wabak berkenaan. Bukti jelas di depan mata dengan jumlah kes harian kini telah mencecah lebih 20,000 dan jumlah keseluruhan melebihi 1 juta. Malahan banyak kluster baharu yang wujud walaupun pelbagai usaha telah dilakukan seperti pengisytiharan darurat, ‘total lockdown’, SOP yang begitu ketat dan lain-lain.

Hakikatnya, di sebalik kerajaan melaungkan bahawa fokus mereka ialah untuk memerangi wabak habis-habisan, segala pelaksanaan sebenarnya hanya dibuat secara separuh masak atau suku masak, dan akhirnya tidak pernah masak. Realiti yang dapat disaksikan ialah, isu mempertahankan kuasa, dan lain-lain isu politik tetap menjadi keutamaan.

Hasil kegagalan kerajaan ini jelas terlihat daripada peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan rakyat kerana tekanan yang dihadapi sepanjang lockdown dan SOP yang menyengsarakan. Hingga kini, masih ramai yang terus terperangkap dalam masalah ekonomi, dan tahapnya amat serius sehingga jumlah mereka yang tertekan semakin ramai. Manakala dalam masa yang sama, pemerintah dan ahli-ahli politik terus hidup dalam kemewahan.

Kegagalan Sektor Pendidikan

Sektor pendidikan juga merupakan salah satu sektor yang terjejas teruk dalam suasana pandemik ini. Sikap tidak matang, “blur”, dan acuh tak acuh kerajaan dalam menyediakan perancangan rapi untuk sektor pendidikan dalam mendepani situasi pandemik, ternyata memburukkan lagi masalah rakyat, khususnya yang mempunyai anak-anak yang bersekolah.

Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) oleh pihak Kementerian Pendidikan, yang diharap dapat menyelesaikan masalah pembelajaran para pelajar, ternyata menyerlahkan lagi kelemahan dan kegagalan pemerintah dalam mengurus sektor pendidikan di negara ini. Terlalu banyak masalah berbangkit yang gagal diselesaikan oleh kerajaan. Antara yang utama ialah masalah alat peranti elektronik yang merupakan peralatan penting yang perlu dimiliki oleh para pelajar bagi menjalani PdPR, ini pun gagal diselesaikan.

Masih ramai murid yang tidak memiliki alat peranti elektronik, terutama mereka yang datang dari keluarga yang kurang mampu. Menurut Menteri Kanan Pendidikan Dr. Mohd Radzi Md Jidin, 36.9 peratus murid diseluruh negara tidak mempunyai sebarang peranti elektronik di rumah [Astro Awani, 15/4/2020]. Ini bermaksud lebih kurang 1.7 juta pelajar tidak memiliki alat peranti untuk mengikuti PdPR. Jadi, bagaimana mungkin mereka boleh meneruskan pembelajaran dalam situasi ini?!

Pihak kementerian kononnya telah menjanjikan, pada tahun lepas, untuk memberi sebanyak 150,000 komputer riba. Namun, segalanya ternyata indah khabar dari rupa. Sehingga kini satu pun komputer riba yang dijanjikan itu tidak kedengaran telah sampai ke tangan murid-murid.

Akses internet yang juga merupakan perkara yang diperlukan dalam menjalani PdPR, pun gagal diselesaikan oleh kerajaan. Bukan sedikit aduan yang dilaporkan di media sosial yang menunjukkan berapa ramai pelajar yang tidak mempunyai akses internet, dan ia melibatkan bukan sahaja kawasan luar bandar, bahkan di kawasan bandar sekalipun. Kisah Veveonah Mosibin seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terpaksa memanjat pokok dan tidur di atas pokok demi mendapatkan talian internet, telah berjaya menarik perhatian kerajaan, namun malangnya penyelesaiannya tidak ke mana.

Terdapat cadangan agar radio digunakan bagi tujuan PdPR kerana capaiannya yang lebih luas, termasuk kawasan luar bandar, namun hal ini juga tidak dilakukan oleh kerajaan. Walhal kerajaan tahu bahawa kesukaran mendapatkan akses internet adalah perkara serius untuk tujuan PdPR, dan hal ini bukan sahaja melibatkan masa depan pelajar, malah keluarga mereka juga. Namun, semua ini tidak diambil serius oleh pemerintah.

Di samping itu, perkara yang menjadi buah mulut pelajar kampus ialah tentang yuran pengajian yang mahal yang terpaksa ditanggung, meskipun hanya menjalani pengajian secara atas talian. Ada yang mempertikaikan dan mendesak supaya yuran dikurangkan, namun juga tidak diendahkan. Padahal pendidikan merupakan hak asas bagi setiap individu rakyat yang wajib disediakan oleh negara secara percuma.

Semua ini membuktikan dengan jelas akan kegagalan kerajaan dalam menangani isu-isu yang melibatkan pendidikan, dan yang lebih memburukkan keadaan, kerajaan tidak pernah belajar dari kesilapan dan tidak mahu keluar dari kesilapan. Akibatnya, yang sengsara ialah rakyat.

Pengaturan Pendidikan Menurut Islam

Gagalnya kerajaan pada hari ini ialah kerana mereka gagal menerapkan Islam, yang menyebabkan berantainya kegagalan-kegagalan lain, termasuklah di bidang pendidikan.

Bagaimana Islam mengatur sektor pendidikan? Islam telah menetapkan pendidikan sebagai satu hak asas bagi setiap individu rakyat, yang wajib disediakan secara percuma oleh negara. Tujuan pendidikan dalam Islam ialah untuk melahirkan insan yang mempunyai syakhsiyyah Islam, yakni mempunyai pola fikir dan pola sikap yang Islami.

Melalui pendidikanlah, segala ilmu dan kemahiran dapat diperolehi, termasuklah yang paling penting tsaqafah Islam itu sendiri. Dalam keadaan pandemik, negara tidak boleh mengabaikan tanggungjawab di bidang pendidikan walaupun fokusnya ialah kepada kesihatan dan keselamatan rakyat. Ini kerana, Islam telah menetapkan bahawa menuntut ilmu itu tetap wajib ke atas setiap Muslim, tidak kira dalam apa keadaan sekali pun.

Oleh itu, dalam keadaan pandemik, negara seharusnya berfikir dan bertindak semaksimum mungkin untuk menyediakan kemudahan pembelajaran yang terbaik untuk rakyat, dengan mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan. Negara tidak boleh mengambil sikap acuh tak acuh dalam hal ini. Di saat para pakar kesihatan berhempas pulas menentukan segala usaha yang terbaik menangani pandemik, para pakar dalam bidang pendidikan juga seharusnya berhempas pulas menentukan pendidikan yang terbaik. Peranan negara sebagai pihak yang mengatur dan menguruskan masalah kesihatan dan pendidikan wajib diseimbangkan, bukan dengan memfokuskan satu masalah dan menelantarkan masalah lainnya.

Jika ingin dilaksanakan PdPR, maka segala prasarana yang perlu bagi setiap pelajar hendaklah disediakan dan dipastikan sentiasa berada dalam keadaan berfungsi. Peruntukan yang mencukupi harus diberikan dan disegerakan untuk mencapai tujuan ini. Malangnya kita melihat di negara ini di mana banyak peruntukan telah disalurkan ke tempat yang tidak sepatutnya, termasuklah gaji-gaji menteri, wakil rakyat, dan jawatan-jawatan politik yang diwujudkan, yang telah memakan banyak wang rakyat. Di sinilah bukti yang kerajaan ini sebenarnya tidak serius dalam hal kepentingan rakyat, tetapi hanya serius memenuhkan poket masing-masing dan membuncitkan perut masing-masing sahaja!

Kesimpulan

Pepatah Melayu ada menyatakan “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”. Begitulah nasib sektor pendidikan di Malaysia yang sangat jelas tidak diperhatikan secara serius oleh kerajaan. Sedangkan dalam masa yang sama, kerajaan dan ahli-ahli politik sangat serius berebut kuasa, jawatan dan harta. Maka terabailah sektor pendidikan, yang bukan sahaja menimbulkan masalah kepada para pelajar, malah turut menimbulkan masalah kepada para guru, keluarga dan masyarakat. Inilah yang terjadi, apabila buruknya penguasa dalam menguruskan rakyatnya, dan buruknya sistem yang mereka terapkan, maka yang ada pada kita hanyalah malapetaka demi malapetaka. Sudah masanya untuk kita buang penguasa dan sistem yang buruk ini dan menggantikannya dengan penguasa yang bertakwa yang akan menerapkan sistem Islam yang datangnya dari wahyu. Jika bukan Khalifah sebagai penguasanya, dan Khilafah sebagai sistemnya, apa lagi?

Wallahu a’lam.

#kerajaangagalterapislam

#islamadalahsolusi

#tegakkankhilafah