Kegagalan pemerintah dan sistem: Solusinya ialah Islam

Realiti yang menyelubungi negara pada hari ini jelas menunjukkan betapa pemerintah bukan sahaja gagal mengawal pandemik dan menjaga kebajikan rakyat, malah yang lebih utama ialah gagal menerapkan Islam. Pemerintah dan sistem yang mereka terapkan iaitu sistem demokrasi, merupakan dua faktor utama yang menjadi musibah kepada umat Islam, sejak runtuhnya Khilafah dan berterusan hingga kini.

Demikian intipati program FB Live berjudul “Kegagalan Penguasa dan Sistem: Realiti dan Solusi” anjuran Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), hari ini (08/08/2021). Forum yang membariskan dua ahli panel dari Malaysia dan seorang dari Indonesia ini telah mengupas secara terperinci kegagalan demi kegagalan yang berlaku di kedua-dua buah negara serta negara-negara umat Islam lainnya.

Pimpinan pusat HTM, Ustaz Muhammad Amin dan Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman telah berganding bersama Ustaz Ismail Yusanto selaku panelis undangan dari Indonesia bagi menjayakan FB Live kali ini, yang sekali gus merupakan acara penutup kepada kempen “Kerajaan Gagal Terap Islam” yang dianjurkan oleh HTM sejak dua minggu lepas. Forum yang dipimpin oleh Ustaz Umar Hussein, yang juga salah seorang pimpinan Pusat HTM itu telah berlangsung selama lebih kurang dua jam setengah.

Di samping mengetengahkan realiti kegagalan, barisan ahli panel turut mengupas solusi tuntas daripada Islam, serta merungkai beberapa persoalan yang dibangkitkan oleh penonton berkenaan peranan dan sumbangan Hizbut Tahrir di tengah-tengah umat.

Dalam kupasannya, Muhammad Amin telah menjelaskan sejauh mana keberkesanan kempen yang dijalankan selama dua minggu itu, di mana terdapat banyak pandangan positif, dan tidak dinafikan terdapat juga suara-suara negatif yang diterima oleh HTM. Apa yang penting jelas beliau ialah tugas dan peranan HTM dalam memberi kesedaran dan solusi kepada umat mengenai kerosakan dan kegagalan pemerintah dan sistem pada hari ini, yang mana satu-satunya jalan keluar ialah dengan menolak pemerintah dan sistem ini, seterusnya menggantikannya dengan penerapan syariah secara kaffah di bawah bingkai Daulah Khilafah.