Kegiatan MHTM Dalam Tabbani Mashalih Ummah ( Mengurusi Urusan Ummat)

Kejadian banjir besar dilaporkan telah melanda Indonesia khususnya Jakarta.  Akibat dari musibah ini, kota Jakarta telah mengalami situasi di mana banyak bangunan dan rumah-rumah ditenggelami air, bekalan elektrik terputus serta keperluan bahan asas sangat sukar diperolehi.  Keadaan banjir dilaporkan bertambah buruk sehingga memaksa pemerintah mengishytiharkan darurat.

Muslimah Hizbut Tahrir Indonesia (MHTI) secara proaktif telah membuka posko-posko di Jakarta dengan menyalurkan bantuan dari segi tenaga, wang dan motivasi kepada mangsa-mangsa banjir ini.  Di samping memberikan bantuan dari segi material dan rawatan, mangsa-mangsa banjir juga dimotivasikan dengan meningkatkan nafsiyah dengan mengajak mereka untuk bersabar, bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT dengan menegakkan syariat Islam secara bersungguh-sungguh.

Allah SWT telah berfirman, “Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara[TMQ al Hujurat (49):10].  Manakala Hadis riwayat Nukman bin Basyir RA. ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling kasih, saling menyayang dan saling cinta adalah seperti sebuah tubuh, jika salah satu anggotanya merasa sakit, maka anggota-anggota tubuh yang lain ikut merasakan sulit tidur dan demam.” [Shahih Muslim No.4685].   Atas dasar ini, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) juga telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan Tabbani Mashalih Ummah (TMU) bagi meringankan penderitaan yang dilalui oleh saudara mereka yang ditimpa musibah banjir.

Sebagai sebuah parti politik Islam, aktiviti TMU ini diadakan kerana menyedari kaum Muslimin di Jakarta tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya atas musibah yang dialami.   Ianya  dilakukan bagi mengangkat kemaslahatan yang seharusnya menjadi hak masyarakat (tetapi mereka tidak menyedarinya) yang telah diabaikan oleh pihak lain terutama pihak pemerintah.  Sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya adalah kaum muslimin, pemerintah dilihat telah gagal menangani sejumlah masalah dan penderitaan yang menimpa rakyatnya sejak sekian lama.  Yang terkini, musibah banjir yang melanda Jakarta juga tidak ditangani dengan baik sehingga dilihat mengabaikan kemaslahatan dan kepentingan umat.

MHTM telah mengadakan kutipan sumbangan untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Jakarta.  Kutipan sumbangan ini telah berlangsung selama 5 hari bermula dari 24 – 29 Januari 2013 meliputi seluruh kawasan di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.  Ianya telah dijalankan di tempat-tempat umum seperti masjid-masjid, surau-surau, pasar malam dan pasar tani.  Sumbangan dari individu yang prihatin juga telah diperolehi dari qariah masjid, kakitangan pejabat serta sekolah-sekolah.  Keprihatinan rakyat Malaysia begitu terserlah dengan menghulurkan sumbangan sebagai tanda sokongan untuk membantu saudara mereka yang ditimpa musibah ini.  Sumbangan yang diperoleh telah disalurkan kepada wakil Hizbut Tahrir Indonesia (HTI) di Jakarta untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di sana bagi meringankan penderitaan yang dialami.  “Tiada henti-hentinya Allah memenuhi keperluan seseorang selama orang itu memenuhi keperluan saudaranya[HR Thabrani].