Kehamilan Luar Nikah Remaja: Di Mana Solusi Islam?

Saban tahun kita diberitakan isu kehamilan luar nikah akibat masalah sosial dikalangan remaja. Satu isu yang nampaknya masih tidak menemukan solusi tuntas dan menjadi kemelut yang berpanjangan. Padahal, masalah pergaulan bebas dan perzinaan bukanlah hal kecil melainkan hal serius yang mesti ditangani ke akar umbi. Selain daripada keharamannya dalam Islam (Surah Al Isra‘, ayat 32), akibat daripada perbuatan zina sangatlah besar kepada individu, keluarga mahupun masyarakat.

Isu kehamilan remaja di Malaysia

Berdasarkan laporan berita, masalah kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja masih merupakan isu serius yang memerlukan perhatian mendesak di Malaysia, khususnya di negeri Selangor dan Sarawak. Sehingga September 2024, Selangor telah merekodkan 555 kes kehamilan luar nikah remaja, termasuk 13 kes yang melibatkan kanak-kanak seawal usia 10 tahun. Manakala di Sarawak, sebanyak 841 kes kehamilan luar nikah melibatkan remaja bawah umur telah dicatatkan bagi tempoh 2023 hingga 2024. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, dilaporkan berkata walaupun terdapat penurunan di Sarawak, usaha berterusan dalam membangunkan sistem sokongan lebih kukuh amat diperlukan bagi membantu golongan yang terlibat.

Statistik lima tahun kebelakangan ini pula menunjukkan bahawa Malaysia telah merekodkan 44,263 kes kehamilan remaja, dengan 17,646 daripadanya melibatkan remaja yang belum berkahwin. Ini adalah bukti nyata bahawa isu ini bukan sekadar masalah per individu, tetapi merupakan gejala sosial yang berpunca daripada kelemahan sistemik.

Menurut laporan Utusan Borneo, pergaulan bebas dikenalpasti menjadi faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes di Sarawak. Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, dipetik menyatakan bahawa,

Selain pergaulan bebas, terdapat beberapa faktor yang lain menyumbang kepada jumlah kes kehamilan remaja yang tinggi di Sarawak. Ini termasuk tercicir daripada sekolah, terdedah kepada gambar dan video lucah, faktor keluarga termasuk faktor budaya,”.

Namun lebih mendukacitakan, masalah komunikasi antara anak-anak dengan ibu bapa turut dilaporkan menjadi punca kepada isu kehamilan dalam kalangan remaja termasuklah hamil luar nikah. Akibatnya, remaja berasa tidak dihargai dan memilih mencari ketenangan di luar rumah. Mereka merasa kehilangan tempat mengadu, dan cuba membina hubungan dengan rakan sebayanya. Situasi inilah yang akhirnya membawa remaja kepada masalah pergaulan bebas.

Seperti yang dinyatakan oleh Presiden Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM), Datuk Dr Raj Karim dalam Berita Harian, “Sekiranya keluarga berkenaan mengalami keretakan atau hubungan yang tidak baik, anak-anak mereka berasa tidak tenteram sekali gus akan mencari tempat lain untuk mereka mengadu dan mendapatkan ketenangan.”

Setakat ini, Modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) yang sebenarnya sudah lama dibuat masih dilaksanakan sebagai salah satu sarana mendidik remaja dan usaha merawat permasalah ini.

Ibu bapa berpengaruh terhadap anak

Ibu bapa sebagai orang yang memiliki posisi kepimpinan dalam rumahtangga, memikul tanggungjawab paling utama dalam mendidik dan membimbing anak-anak, serta melindungi mereka agar tidak terjerumus dalam hal-hal yang merosakkan anak, seperti pergaulan bebas atau masalah sosial lainnya. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

“Ketahuilah setiap dari kalian adalah seorang pemimpin, dan kalian akan dimintai pertanggungjawabannya atas yang dipimpin. Penguasa yang memimpin orang ramai akan dimintai pertanggungjawaban atas yang dipimpinnya, setiap ketua keluarga adalah pemimpin anggota keluarganya dan dia dimintai pertanggungjawaban atas yang dipimpinnya, dan isteri pemimpin terhadap keluarga suaminya dan juga anak-anaknya, dan dia akan dimintai pertanggungjawabannya terhadap mereka, …..” [HR Bukhari dan Muslim].

Selain itu, dalam surah at-Tahrim ayat 6 pula, Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu,…

Demikianlah agama Islam sangat memberikan perhatian terhadap urusan kekeluargaan dan pendidikan anak. Islam menetapkan tanggungjawab yang utama pada ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka dan mempersiapkan mereka menghadapi cabaran kehidupan mengikut acuan syariat. Malah tanggungjawab ini tidak boleh diremehkan sama sekali atas alasan apapun, baik kesibukan bekerja ataupun atas faktor perceraian sekalipun. Apa jua bentuk penelantaran atau pengabaian terhadap anak termasuk dalam perbuatan menzalimi hak-hak anak, termasuklah mengabaikan aspek komunikasi dan hubungan yang memberi Kesan mendalam terhadap psikologi anak. Sebab itu bila akibatnya anak terjerumus dalam hal yang tidak diingini, ibu bapa turut wajar dipertanggungjawbakan kerana mereka adalah pemimpin dan pemikul amanah terhadap anak.

Terkait masalah komunikasi sebagai faktor anak terjebak pergaulan bebas pula, hal ini nampaknya hampir senada dengan peringatan yang pernah disampaikan oleh Syaikh Dr. ‘Abdullah Nashih ‘Ulwan, pengarang Tarbiyatul Aulad fil Islam (Pendidikan Anak dalam Islam), yang menyatakan,

“Salah satu faktor terbesar yang menyebabkan terjadinya kenakalan pada anak adalah berlangsungnya suasana ketidakharmonian antara bapa dan ibu ketika mereka bertemu dan berkumpul. Seorang anak tatkala membuka kedua matanya lantas menemukan pertengkaran kedua ibu bapanya, maka anak akan lari dari rumah yang ia anggap membosankan. Ia akhirnya mencari teman bergaul yang menghilangkan keresahannya. Ia pun banyak menghabiskan waktunya bersama teman-temannya. Seandainya teman-temannya adalah anak-anak nakal, secara perlahan anak tersebut pun menjadi nakal, malah boleh menjadi bertambah parah.”

Dari sini kita boleh memahami bahawa, komunikasi yang baik antara ibu bapa dan anak bukan sekadar satu keperluan, tetapi merupakan sebahagian daripada tanggungjawab besar ibu bapa. Islam menekankan kepentingan keluarga yang berfungsi sebagai ruang selamat di mana anak-anak mendapat kasih sayang, bimbingan, dan perhatian yang sewajarnya.

Namun, penyelesaian kepada masalah ini tidak boleh diletakkan di bahu ibu bapa semata-mata. Sebaliknya masyarakat dan negara turut memainkan peranan penting mencegah terjadinya gejala sosial seperti zina dalam masyarakat.

Tanggungjawab negara mencegah masalah

Negara mempunyai peranan penting dalam membentuk sistem sosial dan sistem pergaulan yang terkawal dan bebas daripada budaya tidak syarie dan tidak bermoral, seperti pengaruh hedonisme dan liberalisme yang merosakkan. Negara merupakan pihak yang bertanggungjawab menerapkan bentuk sistem sosial dan pergaulan serta ideologi yang ingin ia jadikan sebagai dasar kepada rakyat. Sebab itulah dasar negara melalui sistemnya menjadi elemen yang paling berpengaruh dalam mencorak cara hidup rakyatnya. Dengan kata lain berpengaruh terhadap cara hidup institusi kekeluargaan di dalamnya, baik pada ibu bapa mahupun anak.

Jika kita teliti lebih lanjut, punca-punca permasalahan kes kehamilan luar nikah yang dinyatakan inilah sebenarnya imapk dari realiti yang berlaku dalam negara acuan demokrasi hari ini. Tidak boleh dinafikan, sistem hari ini menawarkan kebebasan tanpa batas dalam pelbagai aspek kehidupan. Misalnya, ia memprasaranakan banyak hiburan dari pelbagai arah, tanpa mengira kesan langsung mahupun tidak langsung pada rakyat. Bukan sekadar konsert yang dianjurkan saban bulan, malah dunia penyiaran dan media digital dilimpahi dengan pelbagai konten yang bercanggah dengan syariat dan norma tempatan. Impak globalisasi memperparahkan lagi keadaan walaupun sudah lama dibincangkan. Namun dipandang ringan atas alasan keterbukaan dan kemodenan. Akibatnya, masyarakat terikut menormalisasikan budaya asing yang membenarkan kemaksiatan, zina dan pergaulan bebas yang membanjiri sosial media melalui siri drama, muzik, e-novel, dll. Semuanya boleh diakses dengan mudah tanpa kawalan berkesan oleh remaja bahkan kanak-kanak. Lebih parah ia turut menjadi trend yang membudaya dikalangan masyarakat.

Berbeza dengan sistem Islam, negara bersistem Islam kaffah wajib memastikan  kandungan media dan hiburan yang disiarkan kepada masyarakat tidak melanggar nilai-nilai akhlak dan moral seperti pergaulan bebas, kebebasan bertingkah laku, dll. Sebaliknya media dijadikan sarana mendidik masyarakat dengan nilai-nilai Islam. Segala bentuk budaya atau bahan yang bercanggah dengan nilai-nilai Islam dan merosakkan masyarakat wajib disaring dan dihalang masuk. Tindakan sebeginilah sebenarnya menjadi pendukung pada ibu bapa dalam aspek pendidikan anak.

Selain itu, sistem pendidikan berteraskan tsaqafah Islam, di mana akhlak Islam dijadikan sandaran pada nilai perbuatan dan moral, diterapkan disekolah-sekolah bagi memastikan remaja memahami hukum syarak dengan benar, dan memahami batas pergaulan serta hikmah di sebalik larangan zina. Sekaligus menjadikan akhlak Islam sebagai budaya dominan dalam masyarakat berbilang kaum. Bila syariat Islam dijadikan standard, maka remaja akan melihat permasalah ini dari kaca mata Islam. Melihat dan memahami pergaulan bebas sebagai keharaman dan hal yang mendatangkan keburukan serta pintu kepada perzinaan. Begitu juga anak-anak akan memahami sebarang usaha ke arah perzinaan adalah ancaman yang mesti dijauhi.

Para remaja bukan saja dididik untuk memahami tsaqafah Islam secara teori tapi secara praktikal, bila mana negara turut mengimplementasikan hukum syarak sebagai perundangan sebagai langkah awal mencegah berlakunya masalah sosial. Inilah mekanisme perlindungan berkesan bagi remaja terkait masalah sosial.

Tambahan pula, negara Islam juga akan memastikan tekanan ekonomi tidak menjadi alasan bagi ibu bapa terpaksa mengabaikan tanggungjawab mendidik anak-anak. Dalam sistem Islam, negara bertanggungjawab memastikan keperluan asas rakyat dipenuhi dengan makruf. Hal ini agar mereka dapat menjalankan peranan keibubapaan dengan lebih baik. Ini termasuklah menyediakan pekerjaan yang stabil dan sistem sokongan sosial yang memastikan kesejahteraan keluarga tetap terjamin tatkala ibu bapa sibuk bekerja.

Kesimpulan

Justeru, penyelesaian kepada isu kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja tidak cukup dengan hanya menerapkan pendidikan seksualiti atau kempen kesedaran, tapi negara masih mengekalkan dasar sistem yang membenarkan idea sekularisme dan kapitalisme subur di dalamnya. Sebaliknya, ia memerlukan perubahan sistemik yang revolusioner. Peruabahan sistemik inilah yang akan menetukan apa jua projek sosial remaja mencapai tujuan yang benar dan berkesan. Sistem Islam bukan sekadar memberikan penyelesaian jangka pendek, tetapi juga solusi jangka panjang dengan meletakkan dasar yang kukuh bagi mencegah masalah ini daripada terus berulang. Oleh itu, dengan menerapkan Islam sebagai sistem kehidupan secara menyeluruh, yakni melalui pendidikan, perundangan, ekonomi, dan media, barulah pergaulan bebas dapat dikawal. Seterusnya masalah kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja dapat dibendung secara efektif.

Sudah tiba masanya kita kembali kepada Islam sebagai satu-satunya solusi yang mampu menjamin kesejahteraan keluarga dan remaja kita secara keseluruhan. Wallahu`alam.

Aliya Ab Aziz

Lajnah I’lamiyyah MHTM

Rujukan berita:

  1. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/11/1157550/555-kanak-kanak-remaja-seawal-usia-10-hamil-luar-nikah-exco-wanita-dan
  2. https://www.utusanborneo.com.my/2024/01/15/pergaulan-bebas-antara-punca-kes-kehamilan-remaja
  3. https://www.tvsarawak.my/2025/02/01/kes-kehamilan-luar-nikah-remaja-bawah-umur-di-sarawak-menurun/
  4. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1322524/tiada-komunikasi-keluarga-punca-isu-hamil-remaja
  5. Tarbiyatul Aulad Fil Islam, Dr Abdullah Nashih Ulwan