Kehebatan gaji sang kapitalis










Menurut laporan yang diterbitkan oleh sebuah majalah perniagaan tempatan, Malaysian Business terbitan 16 Ogos, Datuk Nazir Razak merupakan seorang ketua eksekutif kumpulan Bumiputera Commerce Holdings Bhd (GLC) yang menerima gaji paling tinggi bagi kelas jawatan yang setaranya.

 

CIMB Investment Bank yang diterajuinya membayar gajinya sebanyak RM9.035 juta pada tahun 2007. Manakala bagi Genting Bhd pula, melalui tinjauan tersebut, mengeluarkan belanja antara RM86.45 juta hingga RM86.50 juta kepada seorang pengarah yang tidak didedahkan namanya. Bagi anak syarikat Genting Bhd, Resort World Bhd pula dikatakan mengeluarkan ganjaran tertinggi kepada seorang pengarahnya bernilai RM41.50 juta. Lain pula syarikat Berjaya Toto Bhd yang membayar RM6.66 juta kepada pengarahnya di mana nilai itu menyusut dari RM17.23 juta pada tahun sebelumnya.

 

Nampaknya, angka-angka ini sengaja dilaporkan dalam media massa bagi tatapan rakyat marhain yang kini semakin terhimpit dengan kos harian yang kian memecut naik sedangkan pendapatan mereka masih ditakuk lama. Selain dari menayangkan nilai jutaan ringgit yang mungkin mengucurkan air liur pembaca dari kalangan mereka yang susah (miskin), ia juga memaparkan suatu laporan yang tepat mengenai perjalanan syarikat-syarikat kapitalis yang berasaskan riba dan judi di bumi Malaysia Darul Sekular ini.

 

Biarpun Malaysia dikenali sebagai sebuah negara Islam Hadhari, namun aktiviti ke’Islam’annya yang ada di dalamnya termasuklah membenarkan syarikat yang berasaskan riba dan judi beroperasi secara besar-besaran. Aktiviti kemungkaran tetap berjalan sesuai dengan undang-undang sekular yang diterapkan di sini. Bahkan ia merupakan institusi atau sumber kekayaan negara yang cukup mewah dan ‘mengenyangkan’ para pemerintah dan juga para kapitalis. Bayangkan, sebuah syarikat perbankan yang berasaskan riba sahaja mampu membayar gaji berjuta-juta ringgit kepada seorang ketuanya. Berapa pula agaknya cukai yang berjaya dipungut oleh kerajaan Hadhari dari perniagaan riba ini? Tentu mewah sekali!

 

Banyak sekali dalil-dalil qath’ie yang mengharamkan aktiviti riba dan judi dan larangan ini terkena pada negara/pemerintah, bukan sekadar individu. Riba dan judi wajib dibanteras dengan kekuasaan (negara). Membiarkannya adalah suatu kemaksiatan kepada Allah SWT. Malangnya dalam negara Islam Hadhari ini, bukan sahaja ia dibenarkan oleh Imam Hadhari, malah riba dan judi menjadi sumber pendapatan terbesar bagi sesetengah golongan.

 

Inilah antara kemaksiatan terbesar dari perlaksanaan sistem hidup Barat (Kapitalisme) yang diamalkan oleh kerajaan. Riba dan judi sudah tidak dilihat sebagai suatu kemaksiatan tetapi sebagai sumber pendapatan. Sebenarnya, Islam telah mengklasifikasikan beberapa sumber pendapatan yang halal bagi sebuah negara seperti, ghanimah, kharaj, jizyah, fai’, khumus rikaz dan lain-lain (rujuk Al-Amwal Fi Daulah Khilafah, Abdul Qadim Zallum). Yang pastinya, ia langsung tidak berkait dengan manfaat atas aktiviti riba, judi dan lain-lain kemungkaran serta kemaksiatan. Sampai bila para pemerintah perlu sedar bahawa kuasa yang mereka rangkul sekarang pasti mengheret mereka ke lembah neraka yang seksanya maha dahsyat lagi maha pedih dengan sistem kapitalis yang mereka terapkan?