Kekal ibu kota Palestin – Najib

“Kita mesti bersatu untuk menolak sebarang cubaan untuk menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel. Kita mesti bekerjasama sebagai saudara seIslam dan bersama masyarakat antarabangsa untuk memastikan status Baitulmuqaddis dibincangkan berdasarkan kerangka penyelesaian dua negara.

Utusan, Khamis, 14 Disember 2017

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Ulasan:

Penyelesaian dua negara (Two-state solution) ke atas konflik di bumi Palestin bermaksud menyerahkan tanah suci Palestin kepada entiti Yahudi. Oleh itu, mana-mana pemimpin umat Islam yang bersetuju kepada penyelesaian dua negara bererti menyokong tanah suci Palestin diserahkan kepada musuh umat Islam iaitu entiti yahudi. Ia merupakan satu bentuk pengkhianatan oleh para pemimpin kaum muslimin yang sangat menghinakan. Ketika Theodor Herzl menawarkan bantuan kepada Turki Uthmaniyyah dengan imbalan membenarkan kaum Yahudi membina penempatan di bumi Palestin, Khalifah umat Islam ketika itu iaitu Sultan Abdul Hamid dengan tegas dan lantang berkata:

Nasihatilah Doktor Hertz, janganlah dia mengambil langkah serius dalam perkara ini. Sesungguhnya aku tidak akan melepaskan bumi Palestin walaupun hanya sejengkal…Tanah Palestin bukanlah milikku, tetapi milik umat Islam…Rakyatku telah berjihad untuk menyelamatkan bumi ini dan mengalirkan darah demi tanah ini…Hendaknya kaum Yahudi menyimpan sahaja wangnya yang berjuta-juta itu…Jika suatu hari nanti Khilafah terkoyak-koyak, maka ketika itulah mereka akan sanggup merampas Palestin tanpa perlu mengeluarkan sedikit wang pun. Selagi aku masih hidup, maka torehan pisau pada badanku terasa lebih ringan kepadaku daripada aku terpaksa menyaksikan Palestin terlepas dari Khilafah. Ini adalah satu perkara yang tidak boleh berlaku!”

Begitulah ketegasan yang ditunjukkan oleh seorang pemimpin Islam yang faham akan kedudukan tanah suci Palestin dalam Islam. Haram bagi mana-mana pemimpin umat Islam menyerahkan atau menyokong usaha menyerahkan tanah suci Palestin kepada musuh Islam walaupun seinci. Begitu juga, sesiapa pun tidak kira parti politik, gerakan Islam atau mana-mana individu yang berpengaruh, haram bagi mereka menyeru atau menyokong sebarang usaha ke arah penyelesaian dua negara (Two-state solution).

Mus’ab

Pimpinan Pusat HTM