Kekebalan PM: Bila Kuasa Jadi Perisai, Di Mana Letaknya Keadilan?

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 04/05/2025 telah menolak permohonan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memohon kekebalan daripada tindakan sivil, susulan saman sivil yang dikemukakan oleh bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther.

Anwar sebelum ini dikecam banyak pihak kerana membuat lapan permohonan, termasuk memohon kekebalan daripada tindakan sivil, yang dilihat jelas sebagai usaha untuk melarikan diri daripada proses mahkamah dengan menggunakan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Dalam sidang media yang dibuat oleh peguamnya sejurus selepas keputusan Mahkamah Tinggi, Anwar dilaporkan akan membuat rayuan terhadap penolakan tersebut.

Walaupun ini merupakan kes pertama seumpamanya di mana seorang Perdana Menteri cuba memohon kekebalan secara perundangan, namun umum mengetahui bahawa siapa pun yang menjadi Perdana Menteri, mereka sudah pun memiliki “kekebalan politik” yang membolehkan mereka terlepas dalam banyak kes. Begitulah realiti dengan jawatan nombor satu negara, begitu juga dengan jawatan nombor dua negara, yang sering “kebal” dari sebarang tindakan.

Lihat sahaja bekas-bekas Perdana Menteri sebelum ini, yang hanya berjaya diheret ke mahkamah setelah mereka jatuh daripada kerusi masing-masing. Jadi, walaupun belum ada undang-undang yang memberikan kekebalan kepada mereka secara khusus, namun secara praktisnya jawatan besar yang mereka pegang itu sendiri seakan-akan telah pun memberikan mereka kekebalan.

Cubaan Anwar untuk memohon kekebalan ini amat jelas menunjukkan bahawa sebagai Perdana Menteri, beliau tidak mahu tunduk kepada undang-undang seperti rakyat biasa. Wajarkah untuk seorang Perdana Menteri bersembunyi di sebalik istilah seperti “kekebalan eksekutif”, “kuasa budi bicara” atau “kelancaran tugas negara” untuk kebal dari sebarang kesalahan? Bolehkah alasan seumpama itu dijadikan asalah untuk seseorang Perdana Menteri mengelak daripada sebarang tanggungjawab atau kesalahan?

Tindakan Anwar ini seharusnya membuka minda rakyat, terutama kepada para penyokongnya, mengenai kewajaran seorang pemimpin, yang sepatutnya menjadi contoh teladan dalam kepatuhan kepada undang-undang, memohon untuk dikecualikan daripada diadili oleh undang-undang.

Dalam Islam, langsung tidak wujud konsep kekebalan bagi seseorang pemimpin, yang sekali gus bermaksud tidak ada seorang pemimpin pun yang boleh memohon kekebalan dari mahkamah untuk sebarang hukum. Seorang Khalifah sekali pun, tetap wajib diadili di mahkamah apabila berlaku pelanggaran. Bahkan ada satu mahkamah khas iaitu Mahkamah Madzalim yang akan mengadili apa jua sengketa di antara rakyat dan pemerintah.

Pernah suatu ketika kaum kafir Quraisy berhadapan dengan kes yang melibatkan seorang wanita yang tinggi status sosialnya dalam kalangan mereka di mana mereka sebolehnya tidak mahu wanita tersebut dihukum kerana kemuliaannya:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ قُرَيْشًا أَهَمَّهُمْ شَأْنُ الْمَرْأَةِ الْمَخْزُومِيَّةِ الَّتِي سَرَقَتْ فَقَالُوا وَمَنْ يُكَلِّمُ فِيهَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا وَمَنْ يَجْتَرِئُ عَلَيْهِ إِلَّا أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ حِبُّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَلَّمَهُ أُسَامَةُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَشْفَعُ فِي حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ ثُمَّ قَامَ فَاخْتَطَبَ ثُمَّ قَالَ إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمْ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمْ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الْحَدَّ وَايْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا

Dari ‘Aisyah (ra) bahawa orang-orang Quraisy sedang menghadapi persoalan yang menggelisahkan, iaitu tentang seorang wanita Makhzumiyah (Bani Makhzum) yang mencuri, lalu mereka berkata, “Siapakah yang mahu merundingkan masalah ini kepada Rasulullah?” Sebahagian mereka berkata, “Tidak ada yang berani menghadap baginda kecuali Usamah bin Zaid, orang kesayangan baginda. Usamah pun menyampaikan masalah tersebut, lalu Rasulullah bersabda: “Apakah engkau meminta pengampunan atas pelanggaran terhadap hududullah?” Kemudian baginda menyampaikan khutbah seraya bersabda: “Sesungguhnya kebinasaan atas umat-umat sebelum kalian, jika orang yang mulia dalam kalangan mereka mencuri, mereka membiarkannya, akan tetapi jika orang yang rendah dalam kalangan mereka mencuri, mereka memotong tangannya. Demi Dzat yang jiwaku ada dalam genggaman-Nya, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya akan aku potong tangannya” [HR al-Bukhari].

Hadis ini amat jelas menunjukkan yang golongan kafir Quraisy cuba memohon kekebalan hukum ke atas seorang wanita bangsawan mereka. Namun, Rasulullah (saw) dengan tegas menjawab bahawa tidak ada seorang pun yang kebal daripada hukuman apabila melakukan kesalahan, termasuklah Fatimah, anak baginda sendiri.

Demikianlah Islam yang diajar oleh Rasulullah (saw) kepada kita, yang tidak ada seorang pun kebal dari sebarang hukum, tanpa mengira setinggi manakah status sosial mereka. Semua orang tanpa mengira mulia atau hina, pemimpin atau rakyat, Muslim atau kafir, adalah sama statusnya di mata Islam – semuanya tertakluk kepada syariat Allah (swt).

Sebaliknya, dalam sistem pemerintahan sekular hari ini, ada orang yang kebal dari segi undang-undang, dan ada orang yang berusaha mendapatkan kekebalan, hanya kerana jawatannya yang tinggi dalam negara. Demikianlah dalam sistem yang dicipta oleh manusia ini, di mana siapa yang berkuasa boleh melakukan apa sahaja, samada untuk menangguhkan kes, menutup kes atau mengheret siapa sahaja yang tidak disukainya ke mahkamah.

Inilah sistem yang kononnya berpegang kepada prinsip “the rule of law” (kedaulatan undang-undang). Penguasa menekankan kepada rakyat untuk patuh kepada undang-undang yang kononnya berdaulat, namun dalam masa yang sama sentiasa terdapat “pintu belakang” kepada mereka yang memegang kuasa untuk terlepas daripada undang-undang.

Setiap Muslim perlu sedar bahawa inilah akibatnya apabila kita hidup di bawah sistem pemerintahan yang tidak berpaksikan wahyu. Selagi undang-undang ditentukan oleh manusia, maka akan sentiasa ada ruang untuk manusia yang berkuasa membentuk undang-undang untuk melindungi diri mereka sendiri. Undang-undang buatan manusia tidak pernah adil kepada manusia – ia sentiasa memihak kepada mereka yang berkuasa.

Justeru, keadilan sebenar hanya akan dapat dirasai apabila sistem pemerintahan sekular pada hari ini digantikan dengan sistem Islam yang meletakkan hukum Allah di tempat yang tertinggi. Dalam sistem Islam, seorang pemimpin tidak akan pernah berani memohon kekebalan, kerana dia tahu bahawa kuasanya hanyalah amanah, bukan perisai. Dia tahu bahawa dia bukan sahaja akan disoal di mahkamah dunia jika melakukan kesalahan, tetapi jauh lebih menakutkan daripada itu, dia akan disoal di mahkamah akhirat yang mana tidak ada seorang pun yang dapat membelanya pada waktu itu.

Rakyat perlu sedar bahawa permohonan kekebalan oleh pemimpin negara bukan sekadar isu undang-undang. Ia adalah cerminan kepada sistem yang membenarkan kezaliman berlaku dengan sah. Selama sistem ini terus dipertahankan, selama itu jugalah kita akan melihat keadilan atau the rule of law hanyalah sebagai slogan, bukan kenyataan.

Sudah tiba masanya untuk rakyat berkata cukup dan menoktahkan semua ketidakadilan ini. Cukuplah dengan pembohongan kedaulatan undang-undang. Cukuplah dengan isu kekebalan, cukuplah dengan isu keistimewaan, cukuplah dengan sistem yang melindungi elit penguasa daripada hukum. Ayuh kita kembali kepada sistem pemerintahan Islam (Khilafah) yang meletakkan syariat Allah sebagai satu-satunya yang berdaulat, kerana hanya dengan itu, pemimpin dan rakyat akan tunduk kepada hukum yang sama, tanpa diskriminasi, tanpa double standard dan tanpa kekebalan.

Wallahu a’lam.