Keluarga Saudi Kaya Raya, Rakyat Masih Papa Kedana

Akhbar Arab Saudi, al-Watan melaporkan bahawa negara Arab Saudi yang memiliki kekayaan minyak yang melimpah ruah itu sedang menghadapi masalah dalam menyediakan perumahan bagi rakyatnya, terutamanya golongan remaja. Laporan tersebut menyebutkan bahawa sekitar 60 peratus rakyat Arab Saudi tinggal di rumah yang sangat tidak selesa untuk didiami. 40 peratus daripadanya adalah rakyat yang tidak memiliki rumah tinggal dan rumah disewa dengan keadaan yang tidak menentu. Sementara sekitar 20 peratus pula memiliki rumah tetapi berada di bawah paras kemiskinan.

Krisis perumahan yang melanda Arab Saudi sejak akhir-akhir ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya adalah kerana kelewatan dalam membuat pembayaran ansuran bank, peraturan perbankan yang rumit serta meningkatnya harga tanah. Pada bulan Januari yang lalu, akhbar harian terkemuka The Guardian melaporkan bahawa sejumlah besar daripada penduduk Saudi yang berjumlah lebih daripada 26 juta orang itu hidup dalam kemiskinan. Menurut akhbar tersebut, faktor kemiskinan dan rasuah menyebabkan peningkatan kemarahan rakyat ke atas kerajaan Arab Saudi. Sejumlah besar wang di Arab Saudi mengalir ke ‘poket-poket’ keluarga Saud melalui jaringan nepotisme, rasuah dan kontrak pemerintah.

Berdasarkan laporan Majalah Forbes, kekayaan peribadi Raja Saudi Abdullah bin Abdul Aziz telah mencecah kira-kira 18 bilion dolar sehingga ia menduduki tempat ketiga sebagai raja terkaya di dunia selepas penguasa Thailand dan Brunei. Arab Saudi merupakan negara pengeksport minyak terbesar dunia. Namun, apabila hukum-hakam Allah tidak diterapkan dan dicampakkan, maka ia akan mengalami situasi yang sama sepertimana negara-negara umat Islam yang lain. Pada hakikatnya, negara-negara umat Islam di seluruh dunia memiliki kekayaan yang sangat luar biasa. Begitu juga dengan kekuataan ketenteraan serta keberanian para tentera untuk berjihad di jalan Allah juga dimiliki sepenuhnya oleh umat Islam. Tetapi disebabkan pengkhianatan dan ketundukan para penguasa Muslim ini kepada Amerika dan musuh-musuh Islam yang lain, mereka mengalami keadaan hidup yang sempit dan serba kekurangan walaupun dalam keadaan kekayaan yang melimpah ruah. Tatkala Khilafah tertegak kembali kelak, kekayaan yang melimpah ruah ini akan kembali mensejahterakan umat di bawah penerapan syariah Islam secara kaffah. InsyaAllah, Khilafah yang dinanti-nantikan itu kini semakin hampir menampakkan sinarnya dan segala siri pengkhianatan dan kekejaman yang dilakukan oleh para pengkhianat terhadap umat Islam akan segera mendapat pembelaan.

Sumber: www.republika.co.id