Kemelesetan dan pengangguran akibat Covid-19 menuntut perubahan sistemik bukan sekadar kosmetik

Berita mengenai pemberhentian pekerja oleh para majikan semakin kerap didengari semenjak pembukaan semula sektor ekonomi secara berperingkat selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diumumkan dan kini dilanjutkan dengan PKP Pemulihan. Menurut statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia (Jabatan Perangkaan) pada April lalu melaporkan bilangan penduduk bekerja menurun kepada 156,400 orang iaitu penurunan satu peratus kepada 14.93 juta orang.

Penutupan operasi bagi sebahagian besar perniagaan semasa PKP memberi kesan kepada kehilangan pekerjaan dan menyebabkan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan. Natijahnya, hampir kesemua sektor industri terjejas dan antara sektor yang paling terkesan ialah sektor penerbangan. Sebelum wabak Covid-19 menular di serata dunia, industri penerbangan memberikan pulang lumayan dan berkembang maju setiap tahun.

Sektor ini juga merupakan penggerak bagi industri-industri lain terutamanya sektor pelancongan, perhotelan, pembuatan, penyelenggaraan sehinggalah penjualan cenderahati, sekali gus menjadikan sektor ini sebagai antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Penularan wabak Covid-19 yang disusuli dengan tindakan hampir kesemua negara di dunia yang melaksanakan lockdown telah meruntuhkan keseluruhan rantaian sektor industri ini. Bagi sektor penerbangan, pembekuan perjalanan antarabangsa mengakibatkan ketiadaan aliran tunai masuk, yang menjejaskan pembayaran sewa beli kapal terbang, penyelenggaraan, pembayaran gaji kakitangan dan lain-lain kos operasi.

Situasi getir ini menyebabkan beberapa syarikat penerbangan gulung tikar, seperti Flybe (UK), Trans States Airlines (US), Compass Airlines (US), Virgin Australia, dan Avianca (Colombia). Langkah kawalan yang melibatkan SOP ketat menyebabkan syarikat-syarikat penerbangan menanggung kerugian bagi menampung kos operasi yang lebih tinggi.

Di samping itu, demi mengurangkan kos operasi, syarikat-syarikat tersebut melaksanakan penstrukturan semula yang antara lain melibatkan pemberhentian pekerja secara besar-besaran. Hal ini sememangnya terjadi, seperti mana yang berlaku ke atas hampir 300 orang kakitangan Air Asia yang bakal diberhentikan sebagai sebahagian daripada usaha pengecilan operasi syarikat penerbangan tersebut susulan daripada situasi sukar akibat wabak COVID-19.

Dalam pada itu, industri-industri lain turut mengalami nasib yang sama. Kesannya, kadar pengangguran yang tinggi menjadi suatu natijah yang tidak dapat dielakkan. Masalah pengangguran merupakan satu isu yang serius dan perlu ditangani dengan segera kerana ia boleh mengundang kepada masalah sosial lain yang lebih besar. Kehilangan pekerjaan di saat krisis ekonomi pasti akan memberikan kesan yang sangat besar kepada seseorang individu dan juga kepada masyarakat.

Meskipun pelbagai usaha telah dilaksanakan namun sehingga kini belum menunjukkan tanda-tanda langkah-langkah tersebut menunjukkan hasil yang positif. Antaranya, kerajaan telah memperkenalkan Program Subsidi Upah (PSU) yang merupakan sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi. Namun, langkah ini bukan sahaja dilihat tidak memadai, bahkan tidak menyelesaikan masalah pengangguran yang dihadapi selagi mana sistem yang sama masih diterapkan dan diamalkan di negara ini.

Pemberian subsidi sebanyak RM600 bagi tempoh tiga bulan (dan kemudiannya dilanjutkan kepada enam bulan) adalah tidak mencukupi bagi menjamin majikan-majikan agar tidak membuang pekerja-pekerja mereka, apatah lagi bagi perniagaan sederhana dan kecil.

Tambahan pula, baru-baru ini Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, memaklumkan kerajaan ada menerima maklumat yang ada majikan yang tidak menyalurkan subsidi upah kepada pekerja mereka. Jelas, program ini kelihatan cantik di atas kertas namun terdedah kepada pelbagai kelemahan dalam perlaksanaannya.

Meskipun langkah ini dapat “membeli” masa bagi para majikan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi ekoran COVID-19, namun tidak dapat dinafikan pemberhentian pekerja tetap akan berlaku sekiranya keadaan menjadi semakin teruk tanpa strategi menyeluruh dalam menghadapi krisis ekonomi.

Kos operasi yang besar dan mekanisme menanganinya

Sekiranya ditelusuri, sebahagian besar kos operasi boleh dikurangkan sekiranya mekanisme kepemilikan dilaksanakan mengikut ketetapan syarak. Bekalan elektrik dan air misalnya, merupakan kepemilikan umum yang sepatutnya disediakan secara percuma kepada rakyat. Namun, disebabkan dasar penswastaan dan diburukkan lagi dengan adanya monopoli dalam sektor tertentu, maka pembekalan elektrik dan air dijadikan sebagai perniagaan yang pastinya berorientasikan keuntungan oleh negara.

Demikian juga dari segi kos pengangkutan, menurut Islam petroleum merupakan hak milik umum yang sepatutnya dibekalkan pada harga kos dan hasil penjualannya dikembalikan kepada umat melalui mekanisme pengurusan oleh negara. Manakala tol pula tidak wujud dalam sistem Islam kerana sudah menjadi tanggungjawab negara menyediakan jalan yang selamat dan selesa untuk kegunaan warganya. Ini secara tidak langsung mengurangkan lagi kos operasi yang perlu ditanggung oleh para pengusaha.

Bahkan Islam juga mempunyai ketetapan berhubung isu pengangguran dan penyelesaiannya yang berpandukan ketetapan syarak. Pekerjaan merupakan salah satu kaedah dalam memenuhi nafkah diri dan tanggungan, maka negara wajib menyediakan peluang pekerjaan bagi seluruh warganya. Hal ini termasuklah melalui penyelarasan  polisi pendidikan agar memenuhi keperluan tenaga kerja semasa dan pada masa akan datang (projection).

Pemberian insentif kepada perusahaan dan individu oleh negara (iqtha’ ad-daulah) juga boleh dilaksanakan pada kadar yang berpatutan bagi meringankan beban majikan dan pekerja. Bantuan ini tidak semestinya dalam bentuk dana seperti PSU, bahkan boleh diberikan dalam bentuk penyediaan prasarana, latihan, dan penyediaan medium yang kondusif untuk perkembangan perniagaan.

Kita juga perlu menyedari bahawa sistem kapitalisme ini ditunjangi oleh perbankan yang berkembang subur melalui ‘industri’ hutang yang berasaskan riba di samping produk-produk perbankan lain. Hutang berasaskan riba ini menyebabkan pengusaha terbeban kerana bukan sekadar perlu membayar hutang pokok, bahkan dipaksa membayar riba yang berlipat kali ganda. Bukan sedikit peminjam yang menjadi muflis kerana gagal melangsaikan hutang yang beranak-pinak akibat adanya riba. Sedangkan Islam dengan jelas mengharamkan riba.

Ini hanyalah sebahagian contoh bagaimana kepincangan yang terjadi dalam sistem kapitalis hari ini dapat ditangani apabila mekanisme penyelesaian mengikut syariat Islam diterapkan. Pastinya mekanisme yang sewajarnya menurut Islam tidak akan dapat dijelaskan secara terperinci hanya melalui penulisan artikel sebegini. Sebaliknya tujuan penulisan ini adalah untuk memberikan gambaran umum mengenainya.

Masalah Sistemik Menuntut Perubahan Sistemik

Perlu diketahui bahawa masalah pengangguran dan kemelesetan ekonomi yang melanda ini merupakan masalah yang bersifat sistemik. Wabak Covid-19 hanyalah pemangkin yang memperparah lagi natijah kerosakan sistemik dalam kapitalisme. Maka sesungguhnya, penyelesaiannya juga memerlukan perubahan sistemik yang mencakupi segenap aspek kehidupan.

Syariah mengatur seluruh kehidupan manusia baik dengan Tuhannya, dirinya mahupun sesama manusia. Di samping mengandungi hukum-hukum tentang ibadah, makanan, pakaian dan akhlak, syariah juga merangkumi sistem pemerintahan, ekonomi, pendidikan, politik luar negara, perundangan dan sebagainya. Kesemua hukum ini wajib diterapkan secara menyeluruh, barulah penyelesaian dapat dicapai, dan lebih daripada itu, akan beroleh keberkatan daripada Allah (swt). Jika tidak, maka selamanya manusia akan terus dibelenggu oleh masalah dan ditimpa azab. Firman-Nya,

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَٰتٍ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan” [TMQ al-A’raf (7):96].

Maka kita diwajibkan untuk mengimani dan melaksanakan syariah Islam seperti mana yang telah diperintahkan ke atas kita kerana inilah merupakan manifestasi ketakwaan dalam erti kata yang sebenar dan kemuncak ketaatan kita kepada Allah azza wa jalla dan Rasulullah (saw).

Wallahu a’lam.