Kemelut Politik Lebanon
Sejarah politik Lebanon adalah yang paling unik jika dibandingkan dengan negara-negara Asia Barat yang lain. Sejak di akhir pemerintahan Khilafah Othmaniah, Lebanon menjadi tumpuan campurtangan negara-negara Eropah terutama British dan Perancis. Tujuan mereka adalah untuk menjadikan Lebanon sebagai pintu masuk kepada gerakan untuk menjatuhkan Daulah Islam. Masyarakat Lebanon terdiri daripada pelbagai puak dan kelompok. Antara kelompok-kelompok utama yang banyak mempengaruhi politik Lebanon adalah Syiah, Sunnah, Kristien Maronite dan Druze. Di kalangan kelompok-kelompok ini, ada yang menyokong Syria dan ada yang menentang. Tidak hairanlah Lebanon telah menyaksikan beberapa siri perang saudara. Contohnya pada perang saudara 15 tahun yang berlaku di antara 1975 sehingga 1990 telah mengorbankan banyak nyawa.
Pembunuhan Rafik Hariri pada sedikit masa lalu dipercayai telah didalangi oleh perisik entiti Yahudi, Mossad. Buktinya adalah berdasarkan kaedah serangan bom yang digunakan. Kaedah serangan bom kereta adalah salah satu kepakaran yang dimiliki oleh Mossad. Pembunuhan ke atas Rafik Hariri dilakukan sedemikian rupa agar rakyat Lebanon menyangka bahawa ia adalah angkara perisikan Syria . Rancangan tersebut berjaya memandangkan selepas kejadian tersebut, tentera-tentera Syria telah mengundurkan pasukan-pasukan tentera mereka daripada wilayah Lebanon berikutan desakan rakyat Lebanon sendiri.
Ini menjadikan Lebanon terdedah kepada serangan dan menjadi sasaran mudah entiti Yahudi. Dengan ketiadaan tentera Syria, entiti Yahudi beranggapan mereka tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk menumpaskan Hizbollah. Maka entiti Yahudi melancarkan serangan mereka ke atas Lebanon pada Julai 2006 dengan alasan hendak mendapatkan semula seorang tenteranya yang ditawan oleh Hizbollah. Tetapi, sekali lagi mereka gagal untuk menumpaskan Hizbollah. Sebenarnya entiti Yahudi telah merancang serangan tersebut sejak beberapa tahun yang lalu ketika mereka kalah di tangan Hizbollah dan dihalau keluar dari selatan Lebanon pada 1999.
Pembunuhan Gemayal jelas bukanlah suatu taktik Mossad. Ini adalah kerana Mossad tidak melakukan pembunuhan terhadap pemimpin politik melalui tembakan terbuka. Mossad adalah suatu badan perisik entiti Yahudi , dan mereka tidak pernah melakukan pembunuhan melalui tembakan terbuka. Ini berlainan dengan tentera entiti Yahudi, yang melakukan pembunuhan melalui tembakan terbuka, seperti pembunuhan ke atas pemimpin Hamas iaitu Syeikh Ahmad Yassin dan Dr. Rantisi yang dibunuh oleh tentera entiti Yahudi semasa serangan di Palestin.
Rakyat Lebanon sebenarnya marah kepada kerajaan mereka sendiri. Justeru, pembunuhan Gemayal mungkin berpunca daripada kemarahan rakyat Lebanon terhadap kerajaan Lebanon. Ini adalah kerana, Gemayel dibunuh melalui tembakan terbuka, bukan melalui letupan bom kereta. Rakyat mengatakan kerajaan Lebanon adalah pro-Amerika, dan mereka keluar beramai-ramai untuk melakukan protes besar-besaran. Memang benar bahawa kerajaan Lebanon adalah pro-Amerika.
Ini berdasarkan kepada apa yang dapat diperhatikan semasa serangan entiti Yahudi terhadap Lebanon pada Julai 2006. Hanya pejuang Hizbollah yang bermati-matian mempertahankan Lebanon daripada serangan dan pencerobohan tentera-tentera entiti Yahudi ketika itu manakala tentera Lebanon langsung tidak menghulurkan bantuan kepada Hizbollah.
Setelah pengunduran entiti Yahudi daripada kawasan selatan Lebanon, Hizbollah sekali lagi telah memainkan peranan utama di dalam menghulurkan bantuan memulihkan keadaan. Mereka membantu mereka-mereka yang memerlukan bantuan seperti mangsa-mangsa di hospital, membersihkan runtuhan-runtuhan bangunan yang telah musnah akibat perang. Kerajaan Lebanon samada lambat menghulurkan bantuan atau langsung tiada di dalam membantu mangsa perang.
Kerajaan Lebanon tidak mahu membabitkan diri di dalam perjuangan Hizbollah atau usaha-usaha yang mereka lakukan untuk mempertahankan Lebanon. Ini adalah kerana, kerajaan Lebanon khuatir ianya akan dilihat oleh Amerika sebagai menyokong pejuang Hizbollah. Puak Hizbollah telah disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh Amerika. Oleh itu, semasa entiti Yahudi menyerang Lebanon , kerajaan Lebanon tidak menolong Hizbollah dalam mempertahankan Lebanon dari serangan entiti Yahudi .
Oleh kerana tindak tanduk kerajaan Lebanon yang tidak mahu mempertahankan rakyatnya dari serangan entiti Yahudi , rakyat naik marah lalu memprotes kerajaan Lebanon . Sementara puak Hizbollah pula melakukan protes dengan menarik diri daripada parlimen Lebanon dan turun ke dalam masyarakat untuk bersama-sama dengan rakyat Lebanon di dalam menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan Lebanon .
Wallahu alam