Kemenangan Yang Akan Mengekalkan Sistem Sekular
PORT DICKSON 11 Okt. – Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dengan memperoleh 8,013 undi menewaskan Pas. Majoriti yang diperoleh calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad meningkat kepada 5,435 undi berbanding 2,333 undi pada Pilihan Raya Umum 2008. BN menang di semua lapan daerah mengundi termasuk tiga daerah yang dimenangi pembangkang pada Mac tahun lalu.
Calon Pas, Zukefly Mohamad Omar hanya memperoleh 2,578 undi. Pas kalah di semua 18 saluran mengundi. Keputusan Pilihan Raya Kecil N31 itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Wahab Shamsuddin pada pukul 8 malam di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD). Sebanyak 82 peratus pengundi di Bagan Pinang hari ini keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing. Segala bentuk provokasi dan pergaduhan yang timbul menjelang hari pengundian tidak menghalang pemilih untuk keluar mengundi sekaligus melonjakkan sokongan kepada BN. Kemenangan itu juga memecahkan kebuntuan BN yang tewas di enam pilihan raya kecil di Semenanjung. BN hanya menang satu kerusi iaitu di DUN Batang Air, Sarawak. Ketika pengumuman dibuat, Mohd. Isa turut berada di dalam dewan sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta pemimpin BN yang lain. Pengumuman kemenangan beliau turut dirai dengan sorakan penyokong BN yang berada di luar dewan.
Sumber: Utusan Malaysia 11/10/09
BN Menang Dan Sudah Pasti Akan Terus Mengekalkan Sistem Kapitalisme Sekular
Kemenangan besar BN dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang semalam tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada Islam sebenarnya. Ya, UMNO sudah pasti gembira dengan kemenangan tersebut setelah sebelum dari ini mereka kalah dalam beberapa pilihan raya kecil, ditambah pula dengan jumlah majoriti yang besar. Pilihan raya kecil ini juga telah memaparkan 1001 macam cerita dan peristiwa. Kejadian pergaduhan, provokasi, cabar mencabar dan seumpamanya telah dapat kita saksikan di sepanjang tempoh kempen dijalankan.
Wahai umat Islam! Kemenangan kepada UMNO bermakna sekular akan terus hidup di dunia umat Islam. Jika PR menang sekalipun kita akan dapat melihat bahawa sistem sekular itu tidak dapat dihapuskan. Ini kerana tidak kira siapa pun yang menang dalam sistem demokrasi yang ada pada hari ini mereka akan tetap bertindak bersandarkan ketundukkan mereka kepada demokrasi yang faktanya adalah sistem yang menafikan peranan Allah SWT sebagai pembuat hukum. Ya! Pastinya demokrasi akan terus hidup dan cahaya Islam akan terus diketepikan selagi mana umat Islam terus tertipu dengan sistem ciptaan Barat ini.
Wahai umat Islam! Barat telah menghapuskan sistem Khilafah dan memaksakan sistem sekular demokrasi bagi kalian. Umat Islam saling merebut kekuasaan demokrasi dan lupa serta meninggalkan perjuangan untuk mengembalikan semula kehidupan Islam. Oleh itu, kemenangan BN ini sebenarnya tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada Islam.
Wahai para pejuang dari gerakan Islam yang berjuang atas landasan demokrasi! Tinggalkan kebusukan demokrasi yang menipu itu. Raihlah kemuliaan dan kemenangan Islam dengan berjuang menegakkan kembali Khilafah di atas tariqah Rasulullah SAW.