Kemiskinan Haid: Tangani punca, selesailah simptomnya

Isu ‘period poverty’ atau kemiskinan haid merujuk kepada kesukaran yang dihadapi oleh wanita, khususnya mereka yang berada dalam kelompok berpendapatan rendah, bagi mendapatkan tuala wanita (sanitary pad) demi memenuhi keperluan sanitasi mereka ketika datang haid.

Isu ini semakin mendapat perhatian apabila diketengahkan oleh beberapa pihak yang melihat kerajaan kurang memberikan perhatian terhadap isu ini. Buat julung kalinya juga isu ini telah diberikan perhatian dalam pembentangan Bajet 2022, yang menyaksikan seramai 130,000 remaja wanita dari kumpulan B40 bakal menerima kit asas kebersihan diri percuma setiap bulan.

Dalam pada itu, Ketua Pejuanita Muda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr. Nurul Ashikin Mabahwi pula menyeru agar inisiatif ini diperluas kepada semua wanita B40 terutama pelajar sekolah. Menurutnya lagi, bantuan tuala wanita percuma dapat menangani dua perkara iaitu isu ponteng sekolah dan mengandung dengan kerap, kedua-duanya kerana mereka tidak mampu membeli tuala wanita (The Malaysian Insight, 29/10/2021).

Dari sudut yang berbeza, terdapat pula pihak yang melihat pengumuman bantuan tersebut dalam bajet tahun ini sebagai suatu permulaan kepada pelaksanaan polisi yang bersifat ‘gender-sensitive’ atau peka terhadap isu berkaitan kedua-dua jantina khususnya wanita yang seringkali dipinggirkan.

Sesungguhnya, kemiskinan haid ini merupakan salah satu realiti yang seringkali terlepas dari perhatian umum. Namun, perlu disedari bahawa kemiskinan haid ialah salah satu simptom kepada permasalahan yang lebih mengakar dalam masyarakat akibat penerapan sistem kapitalis yang bersifat menindas serta memupuk sikap individualistik.

Maka, penyelesaiannya tidak sewajarnya terhenti pada inisiatif dalam menangani simptom semata-mata. Sebaliknya, segenap upaya perlu dikerah bagi merealisasikan perubahan sistemik dengan mencampakkan sistem rosak yang sedang mencengkam kehidupan kita pada hari ini.

Islam Sebagai Penyelesaian

Tidak seperti Kapitalisme, Islam sebagai sebuah mabda’ (ideologi) telah hadir dengan pakej sempurna dalam menangani isu kemiskinan – dari akar sehinggalah ke pucuknya. Islam memberikan penekanan terhadap kewajipan bapa dan suami dalam memenuhi nafkah keperluan anak-anak perempuan dan isteri mereka secara makruf, yakni dengan cara yang baik. Pemenuhan nafkah ini meliputi keperluan-keperluan asas seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal.

Firman Allah (swt),

وَعلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ لاَ تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلاَّ وُسْعَهَا لاَ تُضَآرَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلاَ مَوْلُودٌ لَّهُ بِوَلَدِهِ وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَلِكَ

“… Kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang baik. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kemampuannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan ayah kerana anaknya, ahli waris pun berkewajipan demikian…” [TMQ al-Baqarah (2): 233].

Sekiranya seorang ayah itu tidak berkemampuan, maka tanggungjawab bagi memenuhi keperluan ini jatuh kepada ahli waris mereka, sebagaimana yang telah dijelaskan dalam ayat tersebut. ‘Waris’ merujuk kepada pihak yang berhak menuntut atau mendapatkan harta dalam hal faraid apabila seseorang meninggal dunia.

Sekiranya waris dan kerabat seseorang itu tidak berkemampuan untuk memenuhi keperluannya, atau dalam situasi seseorang itu hidup sebatang kara tanpa waris mahupun kerabat, maka tanggungjawab tersebut jatuh kepada negara.

Syariat Islam menetapkan bahawa penyaluran bantuan oleh negara ini dibuat secara bersasar, dengan menjadikan terpenuhnya keperluan-keperluan asas sebagai sandaran. Di samping itu, peranan negara juga meliputi penyediaan prasarana serta suasana kondusif yang memupuk kemandirian rakyat bagi memenuhi keperluan-keperluan lainnya.

Dengan terlaksananya mekanisme sebegini secara menyeluruh, kaum wanita tidak lagi perlu memilih antara membeli tuala wanita atau membeli makanan. Anak-anak gadis kita juga tidak lagi terpaksa ponteng sekolah hanya kerana ketidakmampuan bagi mendapatkan tuala wanita.

Malangnya, pada hari ini mekanisme yang ditunjukkan oleh Islam ini telah dipinggirkan khususnya oleh pemerintah. Di tengah-tengah kesempitan serta penderitaan akibat penerapan sistem Kapitalis yang mencengkam, sikap individualistik memburukkan lagi keadaan.

Lebih malang lagi, apabila terdapat pula pihak yang melihat inisiatif-inisiatif yang menangani simptom dalam sistem hari ini sebagai satu perjuangan yang dianggap mapan dan mampu menyelesaikan permasalahan secara tuntas.

Sedangkan hakikatnya, penyelesaian simptomatik ini bukanlah suatu yang bersifat lestari kerana masalah akan berlarutan seandainya punca sebenarnya, iaitu penerapan sistem yang rosak ini tidak diperhatikan serta ditangani.

Kegagalan dalam mengenal pasti akar permasalahan akan memunculkan usaha-usaha yang bukan sahaja tidak mampu menyelesaikan sesebuah masalah, bahkan menjadikan kemelut yang melanda ini berpanjangan serta memburukkan lagi keadaan.

Lebih menyedihkan lagi, apabila ada pula pihak yang melihat isu kemiskinan haid ini dari kacamata perjuangan feminis yang dikatakan cuba mendukung aspirasi pemberdayaan wanita melalui kesetaraan gender.

Tanpa mereka sedari, sesungguhnya Islam jauh lebih memuliakan wanita serta memandang mereka sebagai sebahagian daripada ummah secara inklusif. Islam juga menggariskan peranan, hak, dan tanggungjawab masing-masing bagi lelaki dan wanita selari dengan fitrah mereka.

Isu kemiskinan haid ini, sepertimana masalah-masalah lain yang dihadapi oleh umat manusia, akan hanya dapat ditangani dengan melaksanakan perubahan sistemik menuju kepada penerapan Islam secara kaffah. Hanya dengan penerapan Islam secara sepenuhnya barulah firman Allah (swt) akan terealisasi;

وَمَآ اَرْسَلْنٰكَ اِلَّا رَحْمَةً لِّلْعٰلَمِيْنَ

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam” [TMQ al-Anbiyaa’ (21): 107].