Kempen Hizbut Tahrir Malaysia Di Kuala Lumpur: Siapa Pertahankan Islam?

KUALA LUMPUR, 13 April 2013: Pada hari Sabtu baru-baru ini, sekumpulan syabab (pemuda) daripada Hizbut Tahrir Malaysia Cawangan Kuala Lumpur telah mengadakan program kempen penegakkan Syariah dan Khilafah di sekitar ibukota, yang bermula di hadapan Masjid India di Jalan Masjid India dan berakhir di hadapan kompleks membeli-belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman. Kempen yang membawa tema ‘Siapa Pertahankan Islam?’ ini telah disertai oleh 20 anggota Hizbut Tahrir Malaysia dengan diketuai oleh Saudara Khairul Eddy sebagai pengarah program.

Acara yang bermula  pada jam 2 petang itu dimulakan dengan ucapan umum ringkas oleh saudara Abdul Rahman Imtiyaz dengan berlatarbelakangkan panji hitam ar-rayah Rasulullah SAW, di hadapan pintu pagar Masjid India. Dalam seruan tersebut, saudara Rahman mengingatkan kaum Muslimin bahawa sejak runtuhnya Daulah Khilafah Islamiyyah terakhir di Turki, umat Islam telah dipecahbelahkan oleh penjajah kepada 57 buah negara kecil yang lemah dan diperintah oleh sistem demokrasi. Dengan sistem demokrasi ini, hampir 90 tahun umat Islam sedang bermimpi dan berkhayal untuk menjadi umat yang terbaik sepertimana yang dijanjikan oleh Allah SWT. Melalui sistem ini, umat Islam Islam terus dijajah, dimiskinkan, dibunuh, diseksa, dirogol, dihina, ditindas dan dipermainkan. Saudara Rahman turut mempersoalkan umat, mengapa harus kita masih lagi mengambil, menerapkan dan mempertahankan perlembagaan dan sistem tinggalan penjajah yang ada sedangkan Islam telah pun lengkap sebagai sebuah sistem pemerintahan negara. Umat Islam diingatkan bahawa sejak runtuhnya Daulah Khilafah, barat tanpa henti memastikan bahawa seluruh umat Islam sentiasa berpegang teguh dengan demokrasi. “Selama mana umat Islam berpegang teguh dengan demokrasi, selagi itu Islam tidak akan tertegak sebagai sebuah kuasa dunia sepertimana Daulah Khilafah dahulu. Selagimana umat berpegang dan memperjuangkan demokrasi, selagi itu Islam tidak akan dapat diterapkan secara kaffah, walaupun  yang naik memerintah adalah sebuah parti yang bernama Islam”, teriak Rahman dalam penyampaiannya.

Umat diseru agar kembali kepada Islam sebagai satu-satunya deen yang benar  yang telah terbukti sebagai sebuah sistem yang berjaya menyatukan umat manusia yang terdiri daripada ratusan bangsa dan agama, merentasi pelbagai benua serta memerintah dunia selama lebih daripada 1300 tahun dengan merangkumi dua pertiga dunia.  Umat juga diperingatkan bahawa Negara Islam Khilafah tidak akan ditegakkan melalui keganasan terorisme bersenjata ataupun sistem demokrasi. Sebaliknya, satu-satunya jalan untuk menegakkan kembali Negara Islam adalah melalui jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasul Junjungan melalui Khilafah ala minhajin nubuwwah (Khilafah di atas jalan kenabian).

Selain ucapan umum, edaran risalah juga dilakukan oleh para syabab Hizbut Tahrir kepada para pengunjung yang lalu-lalang dan yang mendengar seruan. Di samping itu, sesi beramah mesra dan memberi penerangan ringkas juga dibuat kepada umat yang berminat dengan kempen Syariah dan Khilafah yang sedang dijalankan yang terdiri daripada para peniaga dan para pembeli di sekitar kawasan tersebut.

Walaupun program ini dilakukan secara ringkas dan santai, respon yang diberikan oleh umat sangat memberangsangkan. Ramai yang berpusu-pusu datang untuk mengambil risalah daripada para syabab untuk mengetahui dengan lebih dekat tentang Hizbut Tahrir dan aktiviti yang dilakukan. Malah, terdapat sebilangan umat yang apabila mengetahui bahawa Hizbut Tahrir tidak terlibat dengan pilihanraya umum demokrasi negara, ada yang memuji dan meminta agar diteruskan usaha dakwah ini dengan lebih meluas ke seluruh negara. Program ini berjalan dengan aman tanpa sebarang gangguan atau halangan daripada mana-mana pihak termasuklah pihak berkuasa yang turut menyaksikan kempen ini dijalankan. Program kempen ‘Siapa Pertahankan Islam?’ melalui ucapan umum dan edaran risalah ini berakhir dengan jayanya di hadapan Sogo pada jam 5.30 petang.